Skrip Pidato : Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan

Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan

YANG kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa. Begitulah indahnya tajuk syarahan yang akan saya sampaikan Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan. Seuntai kasih sekalung budi pengacara majlis, kombinasi hakim yang arif lagi berkarisma, dif-dif kehormat dan warga dewan yang saya muliakan, salam mesra dan salam perpaduan. Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan secara keseluruhannya membawa maksud bahasa merupakan elemen penting yang menjadi tunjang kepada perpaduan rakyat di negara kita. Hadirin yang saya kasihi, Faktor utama yang menjadi teras kepada terbinanya perpaduan hari ini ialah bahasa yang digunakan bersama. Hal yang demikian kerana sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa komunikasi semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Oleh itu, nyatalah bahasa iaitu bahasa Melayu menjadi komponen penting perpaduan yang membawa kepada kemerdekaan. Hadirin yang budiman, Perkara 152 Perlembagaan Negara ada mengkanunkan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Ini membuktikan sejak dahulu pemimpin pelbagai kaum telah sepakat perlu adanya satu

bahasa yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat. Hubungan yang intim akan terjalin apabila semua rakyat berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan satu bahasa. Kita bukan sahaja berkongsi negara, malahan kita sanggup berkongsi bahasa atas nama perpaduan bak kata pepatah Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Hadirin sekalian,

Malaysia telah membuka mata dunia apabila rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama dapat bersatu dan hidup aman damai di bawah satu Jalur Gemilang.

Cuba fikir sejenak, mampukah negara kita menikmati kemajuan dan kemakmuran tanpa bahasa? Tentunya tidak, hadirin sekalian. Sejarah telah membuktikan bahawa tanpa perpaduan negara akan menemui kehancuran. Justeru, perpaduan antara kaum amat penting untuk menjamin kemajuan dan kestabilan serta kesejahteraan rakyat. Oleh itu, bahasa bukan sahaja pemangkin untuk mengintegrasikan warga negara kita, malahan merupakan aset penting untuk menjana kemajuan dan kestabilan yang berterusan. Sidang hadirin, Perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan, apa lagi yang kita tunggu? Mari, marilah kita bersatu dengan satu bahasa demi keutuhan negara tercinta. Sekian, terima kasih.

Hidup Muafakat Membawa Berkat

Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing, Bulat air kerana pembentung, Bulat kata kerana muafakat.Salam perpaduan dihulurkan untuk semua. Terima kasih tuan pengerusi majlis, yang saya hormati, dif-dif kehormat, panel hakim yang arif lagi bijaksana serta sentiasa menegakkan paksi kebenaran, warga pendidik yang budiman seterusnya hadirin yang saya kasihi. Hidup Muafakat Membawa Berkat begitulah nada lirik syarahan saya pada hari ini.Tuan-tuan dan puan-puan,, Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia adalah berpaksikan permuafakatan yang lahir dari nurani yang suci. Kita perlu berkerjasama dan saling membantu tanpa mengira ras dan warna kulit. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi kerana pesanan nenek moyang masih segar dalam ingatan. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan terbinanya amalan berkerjasama antara kaum, maka akan wujudlah perpaduan dan kesejahteraan hidup. Tanpa sikap tolak ansur dan bekerjasama, perbalahan dan pergeseran kaum mudah berlaku.Sidang dewan yang saya kasihi, Masih ingatkah anda wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh bekas Perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad? Dalam cabaran yang kelima telah dinukilkan dengan jelas iaitu untuk membangunkan masyarakat yang bertoleransi. Ini bermakna rakyat

Malaysia yang pelbagai kaum bebas mengamalkan adat istiadat, budaya dan agama tanpa sekatan dan kongkongan. Masyarakat Tionghua tanpa canggung memakai baju kurung dan kebaya. Begitu juga masyarakat Melayu betapa anggun mengenakan ceongsam dan sari. Keadaan inilah yang menonjolkan keunikan negara

Malaysia yang maju dan dibangunkan oleh rakyat yang berbilang kaum dan agama.Hadirin yang saya hormati,Dalam hidup berjiran tetangga kita perlu mewujudkan masyarakat yang saling mengambil berat antara satu dengan yang lain tanpa memikirkan budaya dan agama. Yang buta dipimpin, yang sakit diziarahi.Susah senang sesama jiran ditangani bersama. Bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dipinggirkan daripada sanubari. Justeru, marilah kita sama-sama mengutamakan hal-hal kekeluargaan dan kemasyarakatan yang mendasari semangat kejiranan. Saranan ini bertepatan dengan dasar kebudayaan yang menggalakkan keharmonian perhubungan antara kaum. Jiran sepakat membawa berkat.Warga dewan yang setia,Generasi hari esok adalah pewaris kepemimpinan hari ini. Institusi pendidikan memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri. Seandainya sikap individualisitik dan materialistic wujud di kalangan pelajar maka berkemungkinan akan melahirkan prejudis terhadap rakan etnik yang lain. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan, unsur-unsur negatif ini dapat ditangani demi kepentingan perpaduan nasional. Akhirnya marilah kita bersama-sama bersatu mengekal dan mengukuhkan permuafakatan.Sebelum saya mengundur diri, renunglah madah ini Jangan biarkan kudis menjadi sopak, sopak pula menjadi kusta. Sekian, terima kasih.

Sains dan Teknologi Pencetus Perpaduan

Terima kasih pengacara majlis, salam perpaduan sya hulurkan kepada panel hakim yang adil lagi teguh dipaksi kesaksamaan, dif-dif jemputan yang budiman, seterusnya hadirin sekalian.Tampilnya saya pada hari ini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk Sains dan Teknologi pencetus perpaduan. Sebelum saya menyambung hujah-hujah, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan ini. Sains adalah satu disiplin ilmu, teknologi ciptaan secara sistematik dan terkini, pencetus diertikan sebagai menerbitkan dan perpaduan bermaksud penggabungan. Maka frasa Sains dan Teknologi Pencetus Perpaduan dapatlah ditakrifkan sebagai ciptaan peralatan yang moden dan canggih dapat menerbitkan rasa persahabatan yang akrab dan jitu.Hadirin sekalian,Hari ini dunia menjadi semakin sempit. Jarak bukan lagi penghalang kepada perhubungan sejagat. Ini kerana terciptanya peralatan yang berteknologi tinggi, kita boleh berkomunikasi secara lisan atau tulisan. Antara peralatan komunikasi tersebut ialah komputer dan telefon selular. Dengan menggunakan ciptaan moden ini perhubungan akan bertambah akrab tanpa mengambil masa yang lama atau mengira tempat untuk berhubung. Walau di pelosok mana kita berada, komunikasi dapat diteruskan, terserahlah kepada kita untuk mengoptimumkannya, tepuk dada, tanya selera. Ciptaan moden seperti kereta, kapal terbang dan monorel pula dapat membawa kita lebih pantas ke destinasi tertentu untuk menziarahi kaum keluarga, rakan dan taulan. Jika dahulu jarak tertentu memakan masa yang lama untuk tiba, tetapi kini jarak yang sama masa yang singkat diperlukan. Kemudahan berziarah ini boleh melahirkan perpaduan terutama jika dilakukan pada saat rakan ditimpa musibah. Amalan berziarah pada musim perayaan akan menjadi lebih rancak dengan adanya kemudahan ini. Begitulah hebat dan bermanfaatnya sains dan teknologi dalam memupuk perpaduan.Melalui komputer juga kita dapat mengetahui tentang adapt, resam, budaya dan kepercayaan kaum yang lain. Apabila kita sudah mengetahui maka kita akan menghormatinya pula. Di samping itu, dengan sendiri kita akan menjauhkan diri daripada bercakap atau menulis tentang sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan emosi rakan kita daripada kaum yang lain. Dengan itu, unsur-unsur yang mengganggu gugat perpaduan dapat dihindarkan.Warga dewan yang dihormati,Dunia hari ini berada di hujung jari anda, bukan sahaja mencari maklumat, malah membeli belah juga boleh dibuat tanpa bergerak ke mana-mana. Anda hanya perlu duduk dan melayari laman-laman web yang tersedia ada. Kini tiada lagi penat berjalan.Hadirin sekalian,Sebelum saya mengakhiri syarahan ini, saya menyeru agar semua yang ada di dewan ini menggunakan sains dan teknologi bagi merapatlan perpaduan sesama warga negara ini.Sekian, terima kasih

Wawasan Negara Membentuk Perpaduan

Sebelum kata membawa bicara, sembah dan salam hamba pohonkan Terima kasih tuan/puan pengerusi majlis, yang dihormati panel hakim yang arif lagi bijaksana, warga pendidik dan seterusnya sidang dewan yang dikasihi sekalian. Salam sejahtera pembuka bicara. Wawasan Negara Membentuk Perpaduan, begitulah tajuk syarahan saya pada hari yang berbahagia ini.Hadirin sekalian,Merujuk Kamus Dewan, wawasan merupakan satu pandangan jauh yang berkaitan dengan perkembangan masa hadapan bagi mencapai matlamat sebuah organisasi atau negara. Perpaduan pula membawa maksud, bergabung menjadi satu atau sepakatWawasan negara membentuk perpaduan, bermaksud gabungan keseluruhan sembilan cabaran Wawasan 2020 yang telah dilancarkan oleh bekas Perdana menteri kita tun Doktor Mahathir pada 28 Februari 1991, ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu.Warga dewan sekalian,Wawasan 2020 merupakan satu cetusan idea untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dan maju mengikut acuannya sendiri. Dengan lain perkataan, kita mahu maju setanding dengan negara-negara lain dan pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri ke-Malaysiaan kita. Fikirkan sejenak, mampukah negara mencapai dan mengecapi kemewahan tanpa perpaduan? Tentunya tidak. Hadirin sekalian, sejarah telah membuktikan bahawa, tanpa perpaduan negara akan menemui kehancuran Justeru, cabaran pertama dalam Wawasan negara adalah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu dan maju yang mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama.Sidang dewan yang dihormati, Usaha-usaha mengintegrasikan rakyat melalui pelbagai program seperti pelancaran bulan citrawarna, pendidikan komuniti dan rakan muda adalah contoh-contoh aktiviti yang dapat menyumbang ke arah pembentukan perpaduan bangsa Malaysia, bak kata pepatah, Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat Masyarakat Malaysia diharapkan dapat bersaing secara dinamik dan kental dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan.Justeru, janganlah kita kembali menjadi Pak Kaduk, ayam menang, kampung tergadai, atau ibarat ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.Akhir kata, mari marilah kita bersama-sama menghayati wawasan negara yang kita impikan. Sekian sahaja syarahan saya. Saya sudahi dengan serangkap pantun buat semua.Sungguh jelita si puteri rupawan, Dikagumi putera jauh dan dekat; Wawasan negara membentuk perpaduan, Utuh perpaduan sejahteralah rakyat. Sekian, terima kasih.

Satu Bangsa Satu Negara

KATA disusun indah bahasa, Bibir tersenyum manis bicara, Satu bangsa satu negara, Lambang perpaduan rakyat Malaysia.Terima kasih pengacara majlis, panel hakim yang sentiasa menegakkan keadilan, para tetamu yang budiman, seterusnya hadirin yang dihormati.Apakah yang dimaksudkan Satu Bangsa Satu Negara? Satu bermakna tunggal, bangsa pula dimaksudkan sebagai ras atau keturunan dan negara pula adalah suatu lingkungan kawasan yang berdaulat dan bersempadan. Justeru, frasa Satu Bangsa Satu Negara dapatlah disimpulkan sebagai sebuah negara yang hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Tidak dua, tidak tiga.Negara kita

Malaysia sedang menuju ke arah negara maju sebagaimana digariskan oleh pucuk pimpinan negara. Pada tahun 2020,

Malaysia akan muncul berdiri sama tegak dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain. Antara elemen utama mencapai cita-cita tersebut ialah perpaduan di antara bangsa yang terdapat di

Malaysia. Justeru, pemimpin kita ingin mewujudkan konsep satu bangsa satu negara.Sidang hadirin sekalian, Konsep satu bangsa satu negara bermakna semua bangsa yang terdapat di negara ini hanya dikenali sebagai bangsa

Malaysia. Tanpa mengubah anutan atau kepercayaan, bangsa Malaysia diharapkan menjadi lambang kepada negara

Malaysia yang bersatu.Apabila ini menjadi kenyataan diharapkan tiada lagi masalah perkauman yang timbul. Semua warga Malaysia merasakan diri mereka sama

tara di bumi bertuah ini. Lalu, jadilah kita bagai aur dengan tebing bukanlah seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.Anasir luar juga tidak boleh menimbulkan perasaan iri hati antara warga, kerana kita sudah sehati sejiwa, seia sekata, perumpamaan ada berkata, bukit yang tinggi sama didaki, lurah yang dalam sama dituruni. Keselamatan negara juga menjadi tanggungjawab bersama. Sebagai satu bangsa yang bersatu tiada lagi yang terkecuali secara sengaja atau tidak, dalam mempertahankan negara ini apabila diserang secara fizikal atau ekonomi. Sejarah telah membuktikan bagaimana kita sebagai warganegara berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan ketika negara dilanda kegawatan ekonomi suatu ketika dulu.Satu bangsa bukanlah bermakna kita meninggalkan anutan dan kepercayaan masing-masing. Tetapi ianya hanya satu lambang perpaduan sesama rakyat

Malaysia. Senario ini sama dengan penggunaan bahasa

Malaysia sebagai bahasa rasmi negara kita.Sidang dewan yang dimuliakan,Bukanlah hanya di

Malaysia yang mengamalkan konsep satu bangsa satu negara. Bahkan, negara rantau Asia yang lain seperti negara Thailand dan

Indonesia turut mengamalkan konsep yang sama. Percayalah hadirin sekalian tanpa tenaga dan fikiran, seluruh warga

Malaysia tidak akan ke mana-mana. Biar gelora membadai, biar mentari hangus membakar namun Satu Bangsa Satu Negara tetap dipertahankan.

Leave a Reply