Teks Pidato Pra U

FAKTOR-FAKTOR MASALAH GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA DAN KESAN-KESANNYA.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Cetusan barakah saya tujukan kepada tuan Pengerusi Majlis.

Kombinasi kehakiman intelek berkarisma.

Guru-guru, sahabat-sahabat seperjuangan dan seterusnya saentaro dewan sekalian.

Mendiang Keyiki Kobayashi Nahashuni Ikitachi, seorang ahli falsafah Jepun pernah bermadah, kami bangsa Jepun Berjaya kerana kami bangun dari sebuah kehancuran dan kami bangkit bersama-sama golongan remaja minda kelas pertama

Hah ! kata-kata tersebut jelas memperlihatkan kepada kita bahawa betapa pentingnya golongan muda di dalam sesebuah negara.

Hadirin sekalian,

Gejala sosial boleh ditakrifkan sebagai salah satu bentuk perilaku yang menyimpang tanpa mengikut nilai-nilai kesopanan dan norma-norma ketimuran dalam kalangan masyarakat. Misalnya, gangterisme, vandalisme, buli, merempit, melepak dan sebagainya. Masalah ini sebenarnya kian parah melanda golongan remaja di Malaysia dan perkara ini terbukti, berdasarkan statistik indeks gejala sosial Malaysia yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia Cawangan Khas Bukit Aman mendapati bahawa ,Malaysia kini berada di tangga ke-38 dunia yang mencatatkan kes gejala sosial yang tertinggi dalam kalangan remaja. Oleh itu, persoalannya kini timbul di ruang legar pemikiran kita, apakah faktor-faktor yang menyebabkan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja dan juga kesan-kesannya.

Antara faktor yang menyebabkan masalah gejala sosial ini terus berlaku ialah kerana pengaruh rakan sebaya. Remaja yang mempunyai jati diri yang kukuh akan bijak memilih kawan untuk membantunya mencapai kejayaan. Sebaliknya, remaja yang lemah pegangan hidup ini akan memudahkan seseorang itu terpengaruh dengan rakan-rakan yang mempunyai sikap dan perilaku negatif. Pepatah cina ada menyebut, di dalam rumah kita bergantung kepada ibu bapa. Di luar rumah kita bergantung kepada rakan.. Misalnya, disebabkan mereka terlalu taksub dengan rakan-rakan mereka, sudah pasti mereka akan menurut segala tindak- tanduk rakan-rakan seperti melepak, merokok, berfoya-foya dan sebagainya. Seperti kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa lebih 70% berpendapat bahawa pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama masalah gelaja sosial terus menjadi-jadi dan menganggap perlakuan sosial seperti itu merupakan satu trend dalam kehidupan kini. Maka tidak terkejutlah sekiranya ada yang sanggup membelasah sahabat mereka hanya kerana sahabat itu tidak mahu untuk menyertai kelab gengterisme seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan baru-baru ini.

Hadirin sekalian,

Institusi kekeluargaan yang rapuh juga menjadi penyebab masalah ini terus berlaku. Hal ini kerana, ibu bapa tidak sewajarnya mengamalkan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing malah sewajarnya memberi didikan agama dan membentuk peribadi yang mulia anak-anak mereka supaya anak-anak bijak untuk menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Malahan, sikap ibu bapa yang tidak peduli dan mengambil tahu pergerakan anak mereka seperti dengan siapa anak mereka berkawan ketika di luar rumah juga merupakan titik tolak kes ini terus berlaku. Selain itu, akibat kurang perhatian dan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak, maka ini akan menyebabkan anak-anak mereka akan mencari alternatif lain untuk mengisi kegersangan kasih sayang. Oleh itu, anak mereka akan lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan dan mengikut segala perbuatan sosial yang melampaui batas. Pendek kata, sekiranya ibu bapa bersikap sambil lewa dalam mendidik anak-anak, ini juga akan menjadi salah satu faktor masalah sosial terus mencatatkan kes yang tertinggi dalam kalangan remaja di Malaysia.

Selain itu, pengaruh media massa dan internet juga merupakan faktor kes gejala sosial dalam kalangan remaja terus menular. Hal ini kerana, melalui media massa dan teknologi yang semakin canggih, ini akan menyebabkan golongan belia mudah terdedah kepada banyak maklumat. Namun, tidak semestinya maklumat itu sesuai untuk semua peringkat umur. Paparan adegan-adegan negatif dari filem barat telah menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba mengikut apa yang telah ditonton. Bukan itu sahaja, internet juga turut menyumbang kepada pemaparan negatif. Misalnya melalui laman sesawang YOUTUBE. Melalui internet, remaja yang berfikiran kurang sihat dengan mudahnya mengakses maklumat-maklumat yang boleh menjerumus kearah pemikiran negatif. Contohnya mengakses dan menonton gambar-gambar atau video-video lucah dan sebagainya. Oleh itu, kesannya akan mengakibatkan remaja itu sendiri berani untuk mencuba segala perlakuan yang telah ditonton. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Hadirin yang dimuliakan,

Seperti kata pujangga setiap penyakit pasti ada penawarnya. Tetapi dalam konsep ini, setiap masalah pasti ada kesannya. Masalah gejala sosial sememangnya mendatangkan kesan buruk terhadap individu, keluarga, masyarakat, dan negara. Antaranya ialah kesan terhadap individu itu sendiri. Sekiranya seseorang itu terjebak dalam najis gejala sosial, individu tersebut telah mencorakkan dirinya dengan perkara-perkara negatif dan akan dipandang serong oleh masyarakat sekeliling. Bukan itu saja, institusi kekeluargaan juga turut terkena tempiasnya iaitu kesannya akan mewujudkan ketidak harmonian dalam kekeluargaan sehingga memperjudikan masa depan anak-anak mereka yang hidup terbiar.

Kesimpulannya, masalah gejala sosial dalam kalangan remaja semakin hari semakin membimbangkan dan masalah ini juga berlaku kerana telah didorong oleh beberapa faktor dan turut menerima kesan-kesan negatif yang boleh memusnahkan harapan negara dalam menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Oleh sebab itu, bagi meminimakan masalah gejala sosial dalam kalangan remaja Malaysia, semua pihak perlulah bersinergi bagai aur dengan tebing supaya negara kita pada masa hadapan dapat melahirkan sebuah golongan remaja minda kelas pertama bahkan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dan usaha ini perlulah berterusan dan bukan hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Akhir kata saya berbangga dengan diri saya kerana saya terhindar dengan gejala sosial yang melampaui batas. Anda pula bagaimana? Tepuk dada tanyalah minda.

Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara

Sekian.

Leave a Reply