Teks Pidato Hasan : Bismilahhiramannirahim

Bismilahhiramannirahim

Kalau tidak kerana bintang,

Tak akan bulan kelihatan tinggi ,

Kalau tidak kerana pidato,

Tak akan saya berada d isini.

Datang bahtera dari Medan ,

Singgah sebentar di laluan Kerai,

Salam satu Malaysia saya hulurkan ,

Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum W.B.H

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, yang anggun lagi berseri pensyarah pembimbing Puan Norzana,dan seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang saya kasihi sekalian. Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Guru berkualiti, Transformasi Direalisasi.

Menurut kamus Dewan Edisi ketiga, Guru Berkualiti dapat didefinisikan sebagai pendidik yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam bidang yang diceburi khususnya dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Guru berkualiti juga dapat diertikan mereka yang sentiasa berdedikasi dan bermotivasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang secara berterusan. Lantaran itu, kecemerlangan yang ada pada guru itu akan membawa perubahan kepada sistem pendidikan negara.

Manakala transformasi pula dapat didefinisikan sebagai perubahan penukaran sesuatu perkara. Kata direalisasi pula dapat ditafsirkan sebagai suatu perkara yang dapat ditunaikan atau dijayakan. Secara kesimpulannya di sini dapat didefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini Guru berkualiti, Transformasi Direalisasi merujuk kepada guru yang memenuhi keperluan pelajar dalam pelbagai aspek sama ada dari segi pengajaran dan pembelajaran, sahsiah, kemahiran, kepakaran dan pengurusan yang baik. Profesion keguruan ini menjadi agen utama bagi memanifestasikan perubahan-perubahan yang positif dalam usaha membangunkan negara Malaysia dan seisinya secara holistik. Justeru itu, akan saya buktikan pada hari ini, transformasi-transformasi yang mampu dilaksanakan oleh guru yang berkualiti dalam melaksanakan tugas dengan tanggunjawab dalam mendidik modal insan yang menjadi asas kepada penggerak negara.

Saudara dan saudari sekalian,

Peranan guru dan pendidik sebagai agen transformasi amat jelas diperlukan untuk menyemarakkan aspirasi negara dalam usaha melaksanakan transformasi negara ke arah melahirkan modal insan berprestasi tinggi. Guru berkualiti transformasi berkualiti jika dilihat secara halus, maka kita akan nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah. Guru sebagai penjana transformasi perubahan pendidikan negara perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan. Perlaksanaan KSSR, SPPK dan MBMMBI yang mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan diharap dapat merealisasikan transformasi pendidikan yang diingini.

Guru adalah pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.

Lantaran itu, guru haruslah bersiap sedia untuk berubah dan mendepani gelombang inovasi yang sentiasa melanda lapangan pendidikan selaras dengan perkembangan global dan dunia tanpa sempadan.

Guru perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif . Guru yang berkualiti berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.

Hadirin sekalian,

Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.

Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.

Guru yang berkualiti selaku agen perubahan perlu memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif. Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah-kaedah baru sejajar dengan perkembangan negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran: "Penting skali dalam soal ini ialah supaya tenaga guru di mana-mana saja mereka berada memahami tentang konsep transformasi yang telah pun dilancarkan oleh kerajaan untuk membawa satu perubahan yang lebih besar kepada negara kita. Untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi dalam tahun 2020."

Dengan kata lain, di bahu hampir 408 ribu guru di seluruh negara itu juga sebenarnya, selaku ejen perubahan dalam pendidikan negara.

Datuk Abdul Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran: "Tuntutan atau jangkaan daripada ibu bapa atau masyarakat ialah tinggi kepada guru. Itu mungkin satu cabaran pada kami kaum guru.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, suka saya ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa guru berkualti amat memainkan peranan yang penting bagi mencapai transformasi pada negara. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa guru berkualiti menjadi tunggak kepada negara. Jika guru tiada maka, pincanglah pembangunan pendidikan negara kita. Oleh itu, sayangilah guru kita, hormatilah guru kita kerana tanpa mereka siapalah kita. Akhir kata, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah. Guru berkualiti transformasi direalisasi.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply