Pidato : Sekalung Apresiasi Buat Saudara Pengemudi Acara,

Sekalung apresiasi buat saudara pengemudi acara, barisan panel hakim yang berkarisma lagi tinggi inteleknya, penjaga masa yang setia dengan detik-detik berharga, serta sidang hadirin nadi pembangunan Negara.

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera, salam perpaduan, salam satu Malaysia.

Hadirin yang saya hormati,

Sebelum lautan isi saya renangi, ayuh kita hayati definisi gagasan 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak. Menurut epistimologi kamus dewan frasa gagasan bermaksud buah fikiran yang dijadikan saranan ataupun suatu cita-cita. Manakala, secara konseptualnya, 1 malaysia bermaksud pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, dan India yang hidup dalam satu rumpun dalam keadaan aman bagi melahirkan negara yang cemerlang. Maka, gabungan indah frasa-frasa tersebut mengajak kita bersama-sama untuk merungkai berkaitan usaha-usaha kerajaan dalam merealisasikan gagasan 1 malaysia.

Hadirin sekalian,

Menerusi cetusan minda saya yang pertama, institusi pendidikan pemangkin gagasan satu Malaysia. Untuk menyemai semangat perpaduan kaum dalam kalangan pelajar, hendaklah dilaksanakan daripada kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, kerajaan telah merancang untuk menubuhkan Sekolah Wawasan dimana di dalamnya terdiri daripada 3 buah sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan sejak kecil lagi. Selain itu, Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) juga merupakan langkah bijak kerajaan untuk menyemai perpaduan dalam kalangan pelajar. Hal ini kerana setiap penyertaan diwajibkan untuk disertai oleh 3 kaum yang berbeza. Bersatu tenaga membina nilai integriti perpaduan kaum. Maka jelaslah dibawah institusi pendidikan Melayu, Cina, India bersatu untuk membentuk Negara bermutu.

Sidang dewan yang budiman,

Berganjak kepada cetusan minda saya yang kedua, penglibatan generasi muda tunjang gagasan 1 Malaysia. Memandangkan semangat perpaduan yang semakin pudar dalam kalangan generasi muda, maka kerajaan telah mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada 14 Febuari 2003. Program ini telah disertakan dengan 4 modul asas iaitu kenegaraan, fizikal, pembinaan karekter dan khidmat komuniti. Melalui modul-modul inilah semangat perpaduan dapat diterapkan secara terus dalam diri generasi pewaris ini. Secara tidak langsung nilai-nilai unggul dari aspek jasmani,emosi,rohani, dan intelek dapat disemai dalam diri generasi muda. Pemupukan nilai ini haruslah dilaksanakan secara berterusan bagi menjamin perpaduan yang mantap antara kaum. Oleh itu jelaslah disini bahawa melalui penglibatan generasi muda dapat membentuk Negara yang bersatu.

Sidang dewan pencetus arus kegemilangan,

Meniti cetusan idea saya yang terakhir, bahasa sebagai medium perpaduan Negara. Bahasa merupakan bahan utama yang menjadi komunikasi penting bagi melahirkan sesuatu tindakan. Cuba kita bayangkan sekiranya pelbagai kaum seperti melayu, cina dan india dapat menguasi bahasa dengan mantap maka perpaduan yang sedia ada menjadi lebih utuh dan kukuh. Kerajaan menggalas tanggungjawab yang penting bagi memastikan sesuatu bahasa itu terus menjadi medium perpaduan dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, kerajaan telah mencanang kempen budi bahasa. Kempen ini telah mendapat sokongan penuh daripada pelbagai kementerian di Malaysia antaranya Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan lain-lain. Pada masa yang sama, program ini telah disertai daripada pelbagai kaum, bangsa dan pelbagai usia tua, muda, mahupun remaja. Kesannya dapat melahirkan insan yang berakhlak mulia, saling menghormati dan dapat menguasai bahasa sebagai bahasa perpaduan. Oleh itu jelaslah melalui bahasa dapat memupuk perpaduan lantas merealisasikan gagasan 1 malaysia.

Warga dewan sekalian,

Secara holistiknya melalui institusi pendidikan, penglibatan generasi muda, bahasa sebagai medium perpaduan menjadi elemen utama dalam usaha kerajaan bagi merealisasikan gagasan 1 malaysia bukan sahaja bayangan tetapi menjadi kenyataan. Justeru sebagai rakyat Malaysia, ayuh kita bersatu padu berganding bahu tanpa mengenal jemu bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk membentuk Negara yang bersatu dan disegani seantero dunia.

Sekian, terima kasih.

Bismillahirrahmanirrahim, assalamualaikum w.b.t. salam sejahtera, salam satu Malaysia. 1 pengguna 1 suara

Bingkisan barakah buat peneraju acara, barisan panel hakim yang berkarisma lagi tinggi inteleknya, penjaga masa yang setia dengan detik-detik berharga. hadirin pencetus arus kegemilangan negara.

Agenda melebarkan minda menyusuri pidato BELILAH BARANGAN BUATAN MALAYSIA

Sidang pertiwi pengguna bestari,

Maudhuq bicara hari ini cukup indah, ayuh kita telusuri dan hayati bersama, pemahaman secara konseptual menjadi pembuka agenda utama agar pemahaman kita menjadi jelas dan nyata. Kempen belilah barangan buatan Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pedagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan merupakan agenda perdana negara yang bertujuan menggalakkan pengguna tempatan mencintai, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Maka maudhuq pidato saya pada hari ini, belilah barangan buatan Malaysia mengajak kita bersama2 merungkai berkaitan langkah, manfaat dan kesan penggunaan barangan negara tercinta. Oleh itu saya cerakinkan maudhuq kepada 4 agenda utama, buat tatapan minda anda semua.

Warga dewan pengguna budiman,

Meniti cetusan idea minda pertama, pengiktirafan antarabangsa anjakan kualiti barangan negara. Adakah kita sedar bahawa standard kualiti barangan Malaysia tidak kurang hebatnya setanding dan setara dengan barangan import dunia. Memetik harapan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat dengan kempen gempar negara, tabiat rakyat dapat diubah segara, barangan tempatan pilihan utama. Mengapa kita perlu membeli barangan antarabangsa semata-mata kerana jenamanya sedangkan kualiti barangan tempatan negara kita jauh bermutu dan bernilai, ditambah dengan harga yang berpatutan dan menjimatkan. Bukti jelas dapat dilihat apabila Kompleks Padiberas Nasional (bernas) Sekinchan selangor telah dianugerahkan MS ISO 2009 oleh Sirim Bhd kerana kejayaan mereka mengurus dan mengeluarkan beras yang bermutu tinggi diterima dunia. Maka slogan belilah barangan buatan Malaysia ini, bukan anganan kosong semata-mata, sebaliknya impian penuh bermakna.

Sidang saksi pengguna bervisi,

Meniti cetusan idea minda kedua, kitaran ekonomi seimbang pendapatan negara berkembang. Apabila pengguna membeli barangan berkualiti negara maka menyebabkan kitaran ekonomi dalam negara seimbang dan sentiasa berterusan, urusan jual beli penuh harmoni, terjalin indah ikatan hakiki dengan membeli barangan tempatan terkini. Lantas ekonomi negara dapat terus dijana. Impak jelas utama, krisis ekonomi dunia terus melanda, namun Malaysia masih berbangga, tiada gerun tiada berduka ekonomi kukuh negara, menjadi penyelamat utama. Kerana apa? Kerana pengguna bijak nusa memilih barangan buatan Malaysia. Oleh itu jelas bahawa urusan ekonomi seharian pengguna merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Hadirin yang dihormati,

Meniti cetusan idea minda ketiga, barangan tempatan jadi pilihan kadar import dikurangkan. Selaku pengguna bijak, kita sewajarnya menyokong barangan tempatan. Hal ini menyebabkan kadar import barangan luar negara dapat dikurangkan. Lantas, senario ini dapat mengelakkan kebocoran kitaran ekonomi ke luar negara dan menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Malaysia. Bukti realitinya dapat dilihat ketara, Korea Selatan, rakyatnya yang begitu berbangga dengan membeli dan menggunakan barangan buatan negara mereka berbanding barangan import. Keadaan ini telah mengubah persepsi antarabangsa yang dahulunya negara ini tersenarai sebagai antara negara termiskin dunia. Namun, dalam masa 4 dekad, Korea Selatan berubah cepat, bergelar negara hebat menjadi salah satu negara paling kaya dan tercanggih di dunia dengan nilai ekonomi Trilyunan dollar. Oleh itu jelas, penggunaan barangan tempatan, kadar import dikurangkan, ekonomi negara mapan.

Pendengar berhemat pengguna berjimat,

Meniti cetusan minda terakhir, sokongan padu pengguna platform utama usahawan bumiputera. Adakah kita sedar tidak mungkin kita dapat merasa nikmatnya barangan tempatan berkualiti negara tanpa hadirnya usahawan bumiputra berjaya. Oleh itu selaku pengguna, menjadi tanggungjawab diri, membantu bangsa pertiwi memajukan sesebuah industri. Impaknnya, usahawan kita dapat menambah kapasiti pengeluarannya dan terus mengekalkan pekerja mereka. Tamsilnya jelas yang dapat dilihat, Perusahaan Otomobil Nasional (proton) telah diiktiraf dan menembusi pasaran dunia. Kadar jualan meningkat 30% pada tahun pertama kerana sambutan galakan pengguna Malaysia sehingga menembusi pasaran antarabangsa; China, India mahupun nusantara. Oleh itu jelas dengan menyokong dan membeli barangan tempatan negara, membantu usahawan bumiputra melonjak ke arah persada dunia.

Hadirin yang dimuliakan,

Secara tuntasnya berani saya mengatakan bahawa, dengan menyokong barangan buatan malaysia, melahirkan pengguna yang bijak dan berhemat mengamalkan ikutan berjimat cermat, di samping dapat memangkin ekonomi negara. Ayuh kita menjadi penguna bijak dengan merealisasikan kempen belilah barangan buatan Malaysia ini, bertepatan dengan tema, kuasa pengguna: 1 pengguna, 1 suara agar Malaysia lahir sebagai negara terbaik, dijunjung ditabik di persada seantero dunia. Belilah barangan buatan Malaysia, 1 pengguna 1 suara.

Sekian, wassalam

Leave a Reply