Contoh Skrip Pidato : Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,

Yang dihormati tuan Pengerusi Majlis,

Yang berusaha Guru-guru Besar,

Barisan hakim yang arif lagi bijaksana,

Guru-guru,rakan-rakan serta hadirin yang saya kasihi sekalian.

Assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Warga dewan yang saya muliakan,

Sebelum bahtera melayari samudera,sebelum kata terungkai bicara,izinkan saya terlebih dahulu mengupas tajuk pidato saya pada pagi ini iaitu Bersatu Menambah Mutu.Menurut Kamus Dewan Edisi ketiga,bersatu membawa maksud bergabung menjadi satu manakala mutu bererti kualiti atau taraf nilaian untuk sesuatu. Oleh itu, ungkapan Bersatu Menambah Mutu bermaksud bergabung menjadi satu untuk menambahkan taraf nilaian atau kualiti sesuatu perkara. Hal ini hanya dapat dicapai sekiranya sesuatu perkara itu dilakukan secara bermuafakat dan bersatu-padu.

Penduduk di negara kita terdiri daripada berbilang kaum.Walaupun setiap kaum bebas mengamalkan adat dan menganuti agama masing-masing,kita masih dapat hidup dengan aman. Apakah rahsianya? Resepi semula jadinya ialah semangat

pemuafakatan dan bersatu- padu di kalangan rakyat dan pemimpin. Semangat ini mewujudkan hubungan yang erat dan harmoni,yang dapat memacu kegemilangan negara .

Hadirin yang dihormati,

Semangat perpaduan amat penting untuk mengelakkan daripada wujudnya konflik yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat. Masyarakat yang sentiasa bertelagah mengundang padah. Segala yang direncanakan oleh kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kerjasama dalam bidang politik antara pemimpin dengan pemimpin amat diperlukan untuk melahirkan perpaduan dalam kepimpinan negara. Para pemimpin bersama-sama mengerah tenaga dan mengeluarkan idea untuk melakukan yang terbaik tanpa perbezaan pendapat dan perselisihan faham demi kepentingan rakyat.

Selain itu, kerjasama antara rakyat dengan pemimpin perlu dipupuk. Rakyat wajib akur akan arahan pihak atasan yang bertindak sebagai ketua. Tidak timbul masalah rasa tidak puas hati jika semua pihak mengamalkan budaya kerjasama yang

akhirnya akan mengukuhkan semangat bersatu-padu di kalangan rakyat.

Kadangkala, kejadian yang tidak diingini boleh berlaku tanpa diduga. Peristiwa

ombak tsunami pada 26 Disember 2004 akan sentiasa terpahat dalam memori pahit

rakyat dan pemimpin.Peristiwa terbaru pula ialah banjir besar yang melanda negara. Dalam konteks peristiwa pahit ini, tersemat contoh semangat kerjasama dan bersatu-padu dalam kalangan pemimpin dan masyarakat Malaysia .Pelbagai lapisan rakyat dan para pemimpin negara tampil untuk menghulurkan sumbangan tenaga,material mahupun motivasi. Para pemimpin sedaya upaya merancang projek-projek pemulihan

dan rakyatlah yang merealisasikannya. Dengan peruntukan yang diberikan oleh

kerajaan ,sumbangan badan korporat ,orang perseorangan dan kerjasama badan

bukan kerajaan (NGO),maka terdirilah rumah-rumah sementara dan petempatan baru

untuk mangsa-mangsa bencana alam itu.Hal ini jelas menunjukkan bahawa segala

usaha yang dilakukan secara bersama dan bersatu akan menambahkan mutu.

Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Genenasi hari ini pemimpin hari esok. Generasi hari ini yang kebanyakannya masih di bangku sekolah atau di institusi pengajian tinggi wajib diterapkan nilai-

nilai perpaduan dan semangat kekitaan sejak awal lagi.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa kaedah bagi memupuk dan

mengukuhkan semangat perpaduan di kalangan pelajar. Antara langkah-langkah tersebut ialah berbangga menjadi warganegara Malaysia serta memupuk dan menghayati perasaan muhibah dan semangat toleransi di sekolah.

Hal ini dapat menimbulkan sentimen perpaduan dan semangat kerjasama

serta membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Apabila situasi ini berjaya

diwujudkan,maka kukuhlah semangat kerjasama dan kecintaan mereka dalam

membangunkan negara pada masa akan datang.

Semangat kekitaan merupakan asas kerjasama dan bersatu-padu. Semangat ini boleh dipupuk melalui kegiatan kokurikulum di mana setiap pelajar tanpa mengira kaum, bangsa dan agama bekerjasama dan bersatu dalam meraih kejayaan. Tidak ada istilah kau dan aku dalam sebuah pasukan bolasepak umpamanya,sebaliknya istilah kita yang digunakan. Maka tepatlah slogan yang dilaung-laungkan iaitu Bersatu menambah Mutu.

Warga dewan yang dimuliakan,

Sebelum pentas melabuhkan tirai,izinkan saya menutup bicara.

Sekian,wabillahi taufik wal hidayah,assalammualaikum warahmatullahiwabarakatuh. Terima kasih.

loading...

Leave a Reply