Pidato Amira : PIALA DIRAJA SEKOLAH RENDAH

KARNIVAL BAHASA MALAYSIA

PIDATO PIALA DIRAJA SEKOLAH RENDAH

PERINGKAT BAHAGIAN MUKAH 2014

NAMA SEKOLAH:SK KAMPUNG BALAN, DALAT

NAMA PESERTA:AMIRA HANIS BINTI HARUN

NO. SURAT BERANAK:SK 093822

UMUR:12 TAHUN

TAJUK PIDATO:SEMANGAT 1 MALAYSIA

TEKS PIDATO:

Bismillahirrahmannirrahim,

Suatu ketika, tanggal 2 April 2009, Perdana Malaysia yang ke-6, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, dalam ucapannya semasa memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia, beliau menyatakan, berpaksikan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Gagasan 1 Malaysia bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Semangat 1 Malaysia.

Hadirin yang dimuliakan,

Bagi menjelaskan maksud utamanya, saya akan mendefinisikan tajuk Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Semangat bermaksud perasaan hati atau jiwa untuk mencapai sesuatu. Manakala 1 Malaysia bermaksud rakyat Malaysia tidak kira bangsa, warna kulit, rupa paras, tua atau muda, kaya atau miskin saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa iaitu Bangsa Malaysia.

Lalu, saya simpulkan frasa Semangat 1 Malaysia sebagai perasaan atau semangat untuk mencapai matlamat seperti yang digariskan dalam Gagasan 1 Malaysia.

Sidang dewan yang budiman,

Tajuk pidato ini saya perincikan bersandarkan kepada tiga cetusan minda utama. Cetusan minda yang pertama. Semangat persaudaraan membawa kejayaan negara tercinta. 1 Malaysia adalah lahir daripada semangat setiakawan. Walaupun berbeza asal keturunan, kepercayaan agama dan akar budaya, rakyat Malaysia berpegang pada satu prinsip yang sama iaitu Rukun Negara. Kita berdiri, berfikir, bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dalam hal bangsa Malaysia, menuntut rakyat berfikir melepasi sempadan kaum dan etnik masing-masing. Kewujudan satu bangsa dapat membentuk sikap menghormati, ikhlas, saling mempercayai dan persaudaraan. Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Berita Harian, 26 Jun 2013, menyatakan bahawa natijah yang dituntut daripada amalan kebersamaan ialah rasa saling menghormati sesama kita bahawa segala tindakan kita perlu mengutamakan kepentingan negara.

Warga dewan yang berwibawa,

Cetusan minda yang kedua, dengan untaian kata Kemajuan ekonomi dinikmati, kemakmuran sama dikecapi. 1 Malaysia dapat membangunkan ekonomi negara. Pelancong dan pelabur asing mengenali rakyat Malaysia yang berintergriti tinggi. Kini, Malaysia menerokai bidang sains angkasa, bioteknologi dan teknologi nano. Menurut laporan Kementerian Telekomunikasi Antarabangsa, Malaysia mencatatkan nilai digital 0.57, bermakna kita telah mendahului kemudahan akses digital dalam kalangan negara ASEAN.

Justeru, 1 Malaysia telah meningkatkan taraf ekonomi negara menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain.

Sidang hadirin yang mendengar,

Cetusan minda terakhir saya dengan gagasan bicara 1 Malaysia sebagai penjana pencapaian Wawasan 2020. Mantan Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Mahathir Mohammad dalam blognya, mahathir-mohamad.blogspot.com, pada 7 Oktober 2010, ada menyatakan bahawa 1 Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Dewasa ini, kita dapat melihat ketandusan kasih sayang yang semakin membarah yang seterusnya membawa kepada persengketaan yang sukar dikawal sama ada di negara Malaysia sendiri mahupun pada peringkat global. Justeru, bertepatan dengan 3 prinsip teras 1 Malaysia iaitu Penerimaan, Kenegaraan, dan Keadilan Sosial yang seterusnya akan melahirkan ikatan kasih sayang dan mengukuhkan lagi nilai ini. Secara tidak langsung, matlamat 1 Malaysia akan berjaya menerobosi hasrat wawasan 2020 melalui penjayaan cabaran ke-7 iaitu melahirkan masyarakat yang penyayang.

Hadirin yang bervisi,

Sebelum kata-kataku di hujung bicara, kusimpulkan kesemuanya di bawah untaian kata pujangga Seorang kita kuat, bersama kita hebat. Konklusinya, saya mengajak sidang hadirin sekalian untuk sama-sama menghayati gagasan 1 Malaysia yang bertujuan untuk melahirkan nilai perpaduan dan telusurilah semangat 1 Malaysia dengan melangkah bersama, senada dan seirama berpandukan cita-cita untuk menjayakan misi dan aspirasi 1 Malaysia yang berteraskan prinsip Rukun Negara. Gunung sama didaki, lurah sama dituruni.

Akhir kata, hadirin sekalian, julangi semangat, 1 Bangsa, 1 Matlamat, 1 Malaysia !!!

Sekian, puteri berwawasan mengundur diri. Assalamualaikum.

0

Incoming search terms:

  • Pidato piala diraja
loading...

Leave a Reply