PIDATO : Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, Barisan Hakim

  Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang berpegang teguh pada paksi keadilan, penjaga detik yang patuh pada waktu, para dif jemputan,guru-guru, hadirin dan hadirat seterusnya rakan-rakan yang dihormati sekalian. Assalamualaikum warahmahtullahhi wabarokatuh dan salam sejahtera.

           

           Berdirinya saya di pentas yang indah ini adalah untuk menyampaikan pidato saya yang berbunyi MALAYSIA NEGARAKU  yang bermaksud sebuah Negara yang menjadi tempat sesuatu masyarakat termasuk saya bernaung dan diperintah oleh sebuah kerajaan.

Hadirin dan hadirat sekalian,

          

           Detik 31 Ogos 1957 mencatatkan sejarah yang tidak dapat kita padam dari kamus sejarah Negara apabila pada tarikh keramat itulah Negara kita telah mencapai kemerdekaan apabila bendera Union Jack telah diturunkan dan buat pertama kalinya  bendera Malaysia berkibar  serta lagu Negaraku berkumandang. Kibaran Jalur gemilang yang diiringi lagu Negaraku telah membakar semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia kerana itulah tanda kemegahan Negara kita. Bertitik tolak dari itulah Negara Malaysia kian membangun.

 Pembaharuan demi pembaharuan, kejayaan demi kejayaan telah dicapai oleh Malaysia di bawah naungan Yang dipertuan Agong dan tampuk pimpinan pemimpin-pepimpin yang berkarisma. Sebagai buktinya sepanjang tempoh 50 tahun negara mencapai kemerdekaan,Malaysia berjaya menempa nama di pesada dunia setanding dengan negara-negara maju yang lain. Jalur gemilang telah berjaya menawan puncak Everest dan Kutub Utara malahan juga ke ruang angkasa apabila Dr. Sheikh Muzzafar berjaya menjadi rakyat Malaysia yang pertama ke angkasa lepas. Tidak mustahil menjelang tahun 2020, Malaysia mampu menjadi sebuah Negara maju.

Hadirin sekalian,

            Malaysia Negaraku yang tercinta, penduduknya yang berbilang bangsa hidup bersatu padu menjadikan Malaysia sebuah Negara yang aman dan damai. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah sentiasa bersyukur akan kesejahteraan Negara kita. Rakyat Malaysia sering mengamalkan sikap tolong menolong ibarat aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit. Sebagai contohnya semasa bencana Tsunami, rakyat Malaysia telah memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat sama ada di Malaysia atau pun di Indonesia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

            Pepatah Melayu pernah berkata tak kenal maka tak cinta justeru, pada tahun 2007 Malaysia telah menganjurkan Tahun Melawat Malaysia. Malaysia menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. Ketika inilah negara mempamerkan keunikkan yang terdapat di Malaysia iaitu dari segi kebudayaan dan juga adat resam masyarakat majmuknya. Pelbagai perayaan disambut antaranya Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali,  Pesta Kaamatan dan Thaipusam yang turut disertai oleh pelancong-pelancong asing. Selain itu, terdapat juga pelbagai makanan yang lazat seperti sate,laksa,nasi dagang dan sebagainya.

Disamping itu, banyak destinasi pelancongan yang menarik diperkenalkan antaranya Pulau Langkawi yang terkenal dengan Lagenda Mahsuri, Melaka dengan Kota Afamosa, Sabah dengan Gunung Kinabalu yang merupakan gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, Tanah Tinggi Cameron, Menara KLCC, Eye On Malaysia dan lain-lain lagi. Setiap tempat pelancongan itu mempunyai keistimewaan masing-masing. Inilah kelebihan Malaysia Negaraku yang tercinta.

Hadirin sekalian,

          

              Sempena Tahun Melawat Malaysia juga, pelbagai permainan dan tarian tradisional diperkenalkan antaranya gasing, wau bulan, sepak raga, congkak, wayang kulit, kuda kepang, boria, dikir barat dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, nama Malaysia terus meniti di bibir pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, bersopan santun serta peramah. Rakyat Malaysia juga tidak loket dengan senyuman. Sesuai dengan adat ketimuran yang menjadi amalan rakyat di Negara ini. Faktor inilah menyebabkan Malaysia disanjung oleh Negara-negara  luar.

Kita juga harus berbangga dengan terciptanya kereta buatan Malaysia seperti kereta waja, satria, dan wira yang mendapat tempat di luar Negara.  Saya bangga menjadi anak Malaysia. Malaysia Boleh! Malaysia Boleh!

Hadirin dan hadirat sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:

                        Pulau Tioman Pulau Pangkor

                        Tak lupa juga Tasik Pedu

                        Indah permai aman dan makmur

                        Itulah Malaysia Negaraku.

Sekian, wabilahhitaufiq walhidayah wasalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang adil lagi menegakkan kebenaran, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah Cara-cara memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Hadirin yang dihormati,

Kanak-kanak seperti kain putih. Terpulanglah kepada cara didikan ibu bapa untuk membentuk anak mereka. Jika ibu bapa ingin melihat anak mereka minat membaca buku, maka biasakanlah diri mereka dengan buku-buku. Ibu bapa mestilah memperuntukkan sejumlah wang pada setiap bulan untuk membeli buku bagi anak-anak mereka. Penuhkanlah bilik mereka dengan pelbagai jenis buku. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka ke kedai buku atau ke pameran buku jika berkesempatan.

Selain itu, ibu bapa dan anggota keluarga yang lain juga perlu menjadi contoh kepada anak mereka dalam semua perkara. Jika anggota sesebuah keluarga suka membaca buku, maka tidak hairanlah jika anak mereka juga akan suka membaca buku. Ibu bapa mestilah mengurangkan hobu lain dan serlahkan minat membaca buku atau majalah agar anak-anak meneladani tabiat suka membaca buku yang ditonjolkan oleh ibu bapa.

Bagi ibu bapa yang prihatin terhadap perkara ini, mereka bolehlah mengambil inisiatif untuk menanam minat membaca pelabagai bahan bacaan dalam kalangan anak mereka. Bacakan buku untuk anak mereka sebelum mereka tidur. Hal ini demikian kerana anak-anak akan dapat menyimpan perkara terakhir sebelum mereka tidur.

Selain itu, ibu bapa atau orang yang terdekat boleh member hadiah atau pujian kepada kanak-kanak sebagai galakan. Hal ini akan merangsang minat kanak-kanak untuk membaca dengan lebih kerap lagi. Hadiah yang diberi semasa menyambut keramaian seperti hari jadi juga mestilah berupa buku yang menjadi idaman atau kegemaran anak-anak.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyatakan bahasa jika hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungmya. Sekian, terima kasih.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Puan Pengetua Sekolah Kebangsaan Mahmud, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan yag dikasihi sekalian. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan syarahan bersempena dengan Minggu Keselamatan Jalan Raya SMK Mahmud. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah Keselamatan di jalan raya tanggungjawab bersama.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, sejak kebelakangan ini, kes kemalangan di jalan raya semakin menjadi-jadi. Hal ini semakin serius, terutamanya pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Perkara ini mungkin sekali berlaku kerana sikap pengguna jalan raya yang mementingkan diri sendiri. Pemandu yang tidak sabar untuk sampai ke destinasi yang dituju dengan segera memungkinkan mereka melanggar undang-undang yang telah ditetapkan seperti memandu melebihi had laju.

Selain itu, sikap kurang sopan pengguna jalan raya menyumbangkan pertambahan kes kemalangan di jalan raya. Sikap ini termasuklah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, berhenti di bahu jalan sesuka hati tanpa sebab-sebab kecemasan, dan tidak menghormati pemandu lain seperti berlumba di atas jalan raya. Hal ini menyusahkan diri sendiri dan orang lain juga.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Keselamatan di jalan raya merupakan tanggungjawab kita bersama. Kita tidak boleh mengikut perasaan semasa menggunakan jalan raya. Jalan raya bukanlah tempat untuk menunjukkan kehebatan diri atau tempat untuk bermaharajalela. Hal ini demikian kerana terdapat ribuan pengguna lain yang turut menggunakan jalan raya. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan hak orang lain. Oleh itu, untuk menjamin keselamatan di jalan raya, kita haruslah bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain. Kita tidak patut melakukan perkara yang dapat menyusahkan orang lains eperti berlumba di jalan raya. Hal ini akan mengakibatkan pelbagai masalah bukan sahaja kepada diri sendiri, malahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Untuk menjadikan jalan raya sebagai tempat yang selamat digunakan, kita sebagai pengguna jalan raya juga boleh memainkan peranan yang penting. Hal ini adalah dengan mematuhi undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan, mematuhi lampu isyarat, dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Walaupun perkara ini kecil di mata kita, namun dapat memberikan impak yang negatif sekiranya tidak dipatuhi.

Selain itu, sikap mementingkan diri sendiri juga mestilah dikikis. Walaupun kita ingin sampai ke destinasi yang dituju dengan segera, namun kita tidak harus mengetepikan perasaan dan hak pengguna jalan raya yang lain, seperti memotong kenderaan lain sesuka hati. Selain menyusahkan orang lain, hal ini dapat membawa kemudaratan kepada diri sendiri,

Akhir sekali, ingatlah bahawa keselamatan di jalan raya terletak di tangan semua pengguna jalan raya. Undang-undang harus dipatuhi bukan diingkari. Jika diingkari, padah yang akan diganti. Oleh hal yang demikian, kita mestilah bersama-sama memastikan jalan raya sentiasa selamat dan kemalangan tidak akan berlaku. Patuhilah slogan Berhati-hati di jalan raya dan Pandu cermat jiwa selamat.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Cempaka, para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati sekalian. Pada pagi ini, saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk, Kepentingan Bersukan.

Otak yang cerdas ada pada badan yang sihat. Kata-kata ini menunjukkan bahawa kesihatan badan adalah pemangkin kepada seluruh sistem badan. Bersukan ialah satu daripada cara untuk menyihatkan badan. Kita dapat melihat perbezaan antara orang yang aktif bersukan dengan orang yang kurang bersukan. Orang yang aktif bersukan akan kelihatan bertenaga, ceria dan awet muda. Orang yang tidak aktif bersukan pula akan kelihatan mudah letih dan lemah.

Bersukan dapat mengisi masa lapang juga. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada membuang masa dengan sia-sia. Kita dapat berkumpul bersama-sama dengan rakan dengan cara yang sihat. Hubungan sesama kenalan dapat dipererat menerusi aktiviti bersukan. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terjebak dengan gejala yang kurang sihat seperti lepak dan lumba haram.

Hadirin yang dihormati,

Amalan bersukan dapat menyatupadukan rakyat di negara kita. Jika kita lihat dalam sesuatu permainan, pemain-pemain yang terlibat bukan hanya dimonopoli oleh satu-satu kaum saja. Contohnya, dalam permainan bola sepak. Dalam satu pasukan itu terdiri daripada pelbagai kaum. Hal ini dapat menyemaikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Di sekolah, murid-murid digalakkan menyertai aktiviti sukan. Menerusi aktiviti sukan, murid dapat mengetengahkan kebolehan dan seterusnya mewakili sekolah. Dalam pasukan juga ada seorang ketua yang akan memimpin pasukan ini. Hal ini dapat memupuk sikap kepemimpinan dalam kalangan murid di samping bijak mengatur strategi agar pasukan yang dipimpin memperoleh kejayaan sekali gus melatih murid agar lebih berdisiplin, menepati masa, dan saling bekerjasama.

Oleh itu, jelaslah bahawa bersukan banyak mendatangkan faedah. Pada era ini, sukan telah diiktiraf oleh pihak kerajaan dengan terdirinya sekolah sukan, universiti yang menawarkan kursus dalam bidang sukan dan imbuhan yang memberangsangkan. Jadikanlah aktiviti sukan sebagai aktiviti riadah yang menyihatkan selain bidang kerjaya yang menjamin imbuhan yang lumayan.
Sekian, terima kasih.

Incoming search terms:

  • tajuk pidato jalan raya
loading...

Leave a Reply