Tajuk Pidato Warga Tua Warga Berharga 2014

KELUARGA BAHAGIA ANDA SEJAHTERA

Kategori

:

Keratan Akhbar

 

 

rujuk : http://www.bharian.com.my

 

Oleh Amran Zakaria

WARGA emas menjadi sebahagian aset penting negara dan kehadiran mereka wajar dimanfaatkan. Kelebihan yang ada pada mereka ialah mampu memberi sumbangan kepada agama dan negara, terutama membabitkan aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

Pengalaman dan kepakaran dimiliki warga emas tidak ada nilainya walaupun kemungkinan dari segi teorinya, golongan muda boleh belajar di mana-mana pusat pengajian yang menyediakan kajian mengenai mereka.

Justeru, generasi muda jangan bersifat bongkak dan sombong apabila berdepan warga emas. Hormatilah mereka kalau kita minta dihormati apabila sampai masanya nanti. Hidup di dunia laksana roda yang berpusing. Yang muda tidak akan muda selama-lamanya.

Oleh itu, golongan muda jangan alpa ketika meniti kehidupan pada usia puncak yang menyeronokkan. Mahu atau tidak kita akan menempuhi hari tua yang amat mencabar dan cukup sensitif. Episod senja ini kalau drama kehidupan, adalah episod terakhir dalam kehidupan manusia yang begitu berharga untuk dilalui.

Daripada 26 juta rakyat Malaysia, tujuh peratus atau 1.75 juta adalah warga tua atau warga emas. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikategorikan sebagai warga emas. Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), warga emas adalah di kalangan mereka berusia 65 tahun ke atas.

Negara ini akan mengalami penuaan penduduk pada 2020 apabila peratusan penduduk warga emas berumur 65 tahun ke atas akan meningkat kepada tujuh peratus atau 2.1 juta daripada jumlah penduduk 33.4 juta.

Sementara jangka hayat penduduk tempatan juga terus meningkat dengan lelaki meningkat daripada purata 66.5 tahun pada 1980 kepada 70.8 tahun pada 2003. Jangka hayat wanita pula dari 71.0 tahun kepada 75.5 tahun dalam tempoh sama.

Pada 2020, jangka hayat lelaki diunjurkan 75.4 tahun dan wanita 80.4 tahun. Ini bererti jumlah penduduk wanita akan melebihi lelaki. Justeru, keperluan sosial serta ekonomi mereka perlu diambil kira dalam perancangan dasar yang lebih peka kepada kesan penuaan yang berbeza bagi warga emas lelaki dan wanita.

Warga emas dianggap aset penting negara dan hakikat ini tidak boleh ditolak, sebaliknya perlu dimanfaatkan. Walaupun sudah semakin berusia, sumbangan bagi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara menerusi pengalaman, kepakaran serta kemampuan boleh terus dihulurkan.

Golongan berkenaan memang kaya dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh dan dipupuk melalui pendidikan awal, hidup berkeluarga, berkerjaya dan bersosial. Pada usia emas ini kita akan merasakan sesuatu perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini.

Secara lumrahnya pada ketika itu, kita akan berada dalam serba kekurangan berbanding masa muda sama ada dari segi kekuatan fizikal, daya ingatan dan juga emosi. Oleh itu, seeloknya bagi mereka yang dikurniakan umur panjang agar dapat memanfaatkan nikmat usianya dengan sebaik-baiknya untuk terus berusaha memperbaiki diri dengan berbuat ketaatan dan melakukan amal perbuatan yang diredai Allah.

Semakin bertambah umur manusia itu bererti semakin kurang jangka hayatnya dan semakin hampir pula kepada ajalnya. Dalam melalui hari-hari tua, kita perlu mengubah sikap ke arah kebaikan dan menghindari dari kelalaian.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Abi Bakraah daripada bapanya, sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam katanya: Wahai Rasulullah, manusia bagaimanakah yang baik sifatnya? Sabda Rasulullah, siapa yang panjang umurnya dan baik amalannya, pemuda itu bertanya lagi: Manusia bagaimanakah yang buruk sifatnya? Sabda Baginda: Siapa yang panjang umurnya dan buruk amalannya". (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Banyak amalan baik untuk diamalkan oleh mereka yang dikurniakan umur panjang. Antaranya ialah sentiasa mengingati mati kerana ia akan mendorong kita untuk sentiasa mengerjakan amal salih dan meninggalkan perkara sia-sia.

Di samping itu, warga tua juga digalakkan agar memperbanyakkan taubat dan istighfar kerana taubat dan istighfar itu adalah jalan ke arah mendekatkan diri kepada Allah yang mendorong manusia untuk membuat segala amal bakti dan kebajikan, seperti disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Daripada Jabar bin Abdullah katanya Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami, sabdanya: Wahai manusia! Bertaubatlah kamu kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah kamu mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk dan adakanlah perhubungan antara kamu dengan Tuhan kamu dengan memperbanyakkan zikir kepada-Nya". (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Sebenarnya, peringatan sebegini ada benarnya kerana diakui hati orang tua itu lebih kepada berangan-angan dan bernafsu untuk mengumpulkan seberapa banyak harta. Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Daripada Abi Hurairah RA menyatakan bahawa telah bersabda Rasulullah SAW Hati orang tua itu mudah untuk mencintai dua perkara iaitu panjang angan-angan (harapan) dan suka membanyakkan harta." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Orang yang berangan-angan panjang itu akan merasakan diri mereka seolah-olah kekal hidup di dunia ini yang akan menyebabkan mereka lalai untuk mengingati Allah. Mereka yang dilanda penyakit ini akan lalai untuk menyediakan bekalan untuk menuju akhirat, sentiasa mengikut hawa nafsu dan sering lupa kepada mati sehingga bertangguh-tangguh dalam mengerjakan amal salih.

Mereka yang panjang angan-angan ini selalunya lebih mengutamakan kepentingan dunia daripada kepentingan akhirat.

Sesungguhnya warga tua mempunyai hak untuk mendapat kasih sayang dan penghormatan. Dalam hal ini Rasulullah SAW memerintahkan umatnya untuk menghormati orang tua dan menganjurkan untuk menjaga hak mereka.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis Baginda yang bermaksud Dari Anas bin Malik katanya telah bersabda Rasulullah SAW: Tiada seorang pemuda yang menghormati dan memuliakan seseorang yang tua usianya melainkan Allah akan menentukan baginya orang lain yang akan menghormati kelak apabila dia pula mencapai usia tua." (Hadis Riwayat At-Tirmizi).

Sememangnya perhatian terhadap warga emas adalah satu kewajipan yang tidak boleh diabaikan, yang akan menjadikan kita sebagai orang yang mengenang budi, yang akan menjadikan harapan sepanjang zaman. Tanpa mereka, hidup kita mungkin menjadi sia-sia kerana restu dan reda mereka akan menjadi sebahagian keberkatan dan kerahmatan Allah terhadap kita.

Dengan apa daya sekalipun kita hendaklah berusaha untuk menjaga hati mereka di samping memberi bantuan moral dan kewangan. Hendaknya kita melakukan yang terbaik untuk mereka ketika mereka melalui sisa-sisa hidup yang sedikit berbaki itu.

Menjadi amalan yang ditarbiyah oleh agama untuk kita berterusan menghormati dan menjaga kebajikan mereka. Biarlah kasih sayang yang dicurahkan kepada warga tua dirasai mereka dengan sempurna. Jangan sesekali mengabaikan dan mensia-siakan mereka.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (Damai)

Tajuk Pidato : Sayangi Warga Emas
Nama Sekolah : Sk. Taman Tasik
Telefon : 03-42919397
Pemidato : Nur WadIhah bt. Kamarulzaman

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan Para Hakim yang bijaksana,
Penjaga masa yang setia dengan waktunya,
Guru-guru yang berdedikasi lagi dihormati,
Seterusanya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Assalamualaikum w.m.h salam sejahtera, salam perpaduan.

Berdirinya saya di sini pada hari ini adalah untuk sama-sama membawa minda hadirin merenung seketika tentang tajuk dan kupasan pidato yang akan saya utarakan iaituSayangi warga emas

Sebelum bahtera kata berlayar ke lautan bicara terlebih dahulu izinkan saya mentakrifkan tajuk pidato agar mudah difahami. Sayang ungkapan yang cukup puitis lazimnya ditujukan kepada orang yang kita kasihi atau mereka yang sedang bercinta. Manakala warga emas merupakan kategori penduduk malaysia yang berumur 60 tahun ke atas , Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu warga emas golongan berusia 65 tahun ke atas.
Istilah warga emas lebih sesuai diguna pakai kerana ia memberi imej yang berharga dan dihormati kepada golongan warga tua.

Kehadiran warga emas dalam sesebuah keluarga selalu dikaitkan dengan kesusuhan apatah lagi kebanyakan warga emas mengalami masalah kesihatan dan tidak berupaya mengurus diri sendiri . Ada juga warga emas yang mengalami penyakit lumpuh, Alzheimer, atau pelbagai penyakit lain. Kesusahan ini memaksa ahli keluarga warga emas bertindak diluar tabii dengan menghantar mereka ke rumah seri kenangan atau tempat jagaan orang-orang tua manakala anak-anak atau cucu-cucu mereka sibuk mencari harta.

Hadirin hadirat sekalian,
7 peratus daripada 25 juta rakyat Malaysia terdiri daripada warga tua atau warga emas. sebenarnya Warga emas merupakan aset penting negara dan hakikat ini tidak boleh disangkal, sebaliknya ia perlu dimanfaatkan. Walaupun sudah semakin berusia rambut pun semakin putih namun, sumbangan bagi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara menerusi pengalaman, kepakaran serta kemampuan boleh terus dihulurkan tidak hairanlah peribahasa ada menyebut mereka makan garam terlebih dahulu daripada kita. Golongan warga emas sememangnya kaya dengan pelbagai pengalaman yang diperoleh dan dipupuk melalui pendidikan awal, hidup berkeluarga, berkerjaya dan bersosial.
Hadirin dan Hadirat teruskan membuka minda,
Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berpendapat amat merugikan jika kita tidak memanfaatkan sepenuhnya pengalaman warga emas untuk dijadikan panduan hidup
Selain itu kita telah dididik untuk sentiasa menghormati dan menyayangi warga emas serta menjaga tutur kata, tingkah laku dan bersopan. Amat wajar kita mempertingkat dan memperhebatkan sifat serta nilai murni ini agar terus kekal dan menjadi amalan harian generasi muda.
Jadilah seorang yang prihatin, mengasihi dan menyayangi golongan warga emas yang telah menabur budi serta berjasa kepada keluarga, bangsa dan negara. Pihak berwajib sentiasa prihatin terhadap golongan tua dan sebagai bukti Bantuan kewangan Warga emas.diberikan untuk menjamin warga emas menikmati kehidupan selesa.Malaysia adalah antara negara rantau Asia paling awal menggubal Dasar Warga Emas Negara pada tahun 1995, kemudian mewujudkan Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Kebangsaan serta Pelan Tindakan Dasar Warga Emas Negara yang kini diguna pakai untuk semua program warga emas.Sebagai meneruskan keprihatinan terhadap warga emas, Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan satu bahagian baru iaitu Bahagian Warga Emas dan Keluarga di Jabatan Kebajikan Masyarakat.warga emas diberikan perhatian berkaitan isu pusat jagaan harian , sindrom terpinggir warga emas, skim pencen pesara, had umur bersara, beban kewangan, , kemudahan kaunter khas dan kadar istimewa pengangkutan awam dan hotel.
Hadirin Hadirat yang dikasihi sekalian,
Menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat, kerajaan juga mahu keluarga sendiri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga emas dalam keluarga mereka. Menghantar warga emas ke rumah kebajikan hanya wajar dilakukan sebagai jalan terakhir, bukan pilihan utama.
Khidmat Bantu di Rumah turut disarankan kerajaan. Ia membantu warga emas tinggal bersama ahli keluarga atau terus tinggal dalam komuniti dengan mendapat khidmat sokongan menerusi pekerja sukarela terlatih. .Program itu akan berkesan jika ramai individu ikhlas dan sukarela membantu warga emas, sekali gus menyemarakkan konsep masyarakat penyayang dan kebajikan tanggungjawab bersama.Bahtera sudah sampai ke pelabuhanya,
Sebelum menlabuhkan tirai pidato saya, petiklah kesimpulan dari gagasanya untuk renungan dan reformasi bersama:

1. Warga emas merupakan asset berharga kepada negara
Jangan dipersiakan pengalaman dan pandangan mereka.
2. Pelbagai usaha kerajaan lakukan untuk memartabatkan warga
Emas dan menghargai jasa mereka.
3. Sebagai pendokong aspirasi Negara sayangilah warga emas.

Sekian Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. Sekian terima kasih.

Ke arah warga emas produktif

Oleh Rosmah dain
Gambar Jeffri Iran dan Izham Jaafar

Negara memerlukan komuniti warga emas yang prihatin, proaktif, progresif dan produktif, serta hidup secara bermaruah untuk menikmati kualiti hidup serta menyumbang secara bermakna. – Gambar hiasan

Negara memerlukan komuniti warga emas yang prihatin, proaktif, progresif dan produktif, serta hidup secara bermaruah untuk menikmati kualiti hidup serta menyumbang secara bermakna. – Gambar hiasan

Percayalah, dengan izin Tuhan dan dipanjangkan umur, seseorang itu pasti mencapai tahap usia emas.

Sebaik sahaja mencapai tahap ini, iaitu 55 tahun dan ke atas status individu itu akan berubah dan dikenali sebagai warga emas yang sudah tentunya kaya dengan pengetahuan dan pengalaman.

Malangnya sindrom warga emas yang seringkali dikaitkan dengan kemurungan, kelesuan, tahap kesihatan yang lemah, kesunyian, keras kepala, banyak kerenah dan sebagainya, sering dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk menidakkan kepentingan penglibatan golongan ini dalam sesuatu situasi.

Malah, kelebihan mereka dari segi pemikiran dan pengalaman tidak lagi diambil peduli apabila menyatakan sesuatu pendapat sama ada kepada ahli keluarga, pembuat dasar dan ketetapan.

Apa yang lebih mengharukan ada di kalangan mereka meneruskan sisa-sisa usia mereka di rumah-rumah orang tua dalam keadaan kesunyian.

Menurut Presiden Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia, Syed Barkat Ali Syed Ali, 69, kini dianggarkan 1.7 juta penduduk di negara ini berusia lebih daripada 60 tahun iaitu merangkumi 7 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk.

Katanya, dijangka menjelang tahun 2035, kadar ini akan meningkat kepada 15 peratus memandangkan keupayaan pendidikan dan kemajuan tahap kesihatan yang tinggi membolehkan ramai hidup dengan umur yang panjang.

Justeru, sudah tentu bila satu-satu negara masyarakat warga tuanya melebihi 15 peratus, negara itu akan dianggap negara yang sudah mula tua kerana negara itu mempunyai kadar warga tua yang ramai, katanya.

Sebelum ke arah itu, katanya, warga tua perlu menganjurkan proses ke arah faktor penuaan yang lebih aktif dengan menekankan mentaliti, fizikal dan melibatkan diri dalam kemasyarakatan, sosial dan bebas daripada penyakit.

Tambah Syed Barkat Ali, kajian di negara maju seperti di Amerika Syarikat, hanya kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada masyarakat warga emas mereka tidak mampu bergerak dan memerlukan bantuan orang lain, yang bermakna 70 peratus lagi dapat menjalankan kehidupan mereka secara sihat.

Kalau kajian itu dipadankan dengan situasi di negara ini, bagaimanakah pula caranya warga emas ini untuk dilibatkan dalam pembangunan sosial bagi melahirkan masyarakat warga emas yang cergas dari semua aspek?

Sudah pasti tidak banyak kajian dilakukan dalam usaha untuk melibatkan warga emas dalam aspek pembangunan sosial dan faktor pembangunan insan.

Biarpun umum mengetahui, warga tua adalah merupakan aset kepada negara, golongan ini ada ilmu, sabar, tahu perhubungan antara manusia dan ada pengalaman.

Mereka boleh melakukan kerja-kerja mendidik secara tidak formal kepada anak-anak remaja atau cucu-cucunya kerana mereka berkeupayaan menjadi penghubung antara generasi yang boleh menegur salah dan silap pembawaan generasi muda, katanya.

Seterusnya, peranan warga tua ialah menjadi sukarelawan yang berusaha secara berterusan untuk menggembeling segala sumber yang ada bagi menganjurkan transformasi yang membawa kebaikan maksimum kepada golongan yang terbesar, dalam masa yang singkat dengan kos yang paling optimum semata-mata mencari keredaan Allah.

Kelebihan warga tua ini dianggap sebagai penjaga nilai kebangsaan (custodian of national values) dan pengikat kasih sayang keluarga dalam pengukuhan komuniti.

Untuk itu warga emas itu sendiri perlu berusaha ke arah menjadi warga tua yang lebih baik dengan mengekalkan nilai-nilai murni yang ada dalam peradaban mereka.

Minda mereka perlu selari dengan keadaan semasa dan sentiasa peka dengan perkembangan dan mahu pula mengadaptasi perkara-perkara terkini. Justeru sentiasa mencari ilmu perlu diterapkan dalam apa jua keadaan.

Bagi generasi muda perlu diajar bagaimana untuk menghormati warga emas yang ternyata mempunyai pengalaman yang berharga dalam diri mereka, jelasnya.

Berbalik kepada Usiamas, Syed Barkat Ali yang berasal dari Kulim, Kedah ini, menyatakan, misi Usiamas itu sendiri mahukan suatu komuniti warga tua yang prihatin, proaktif, progresif dan produktif, serta hidup secara bermaruah untuk menikmati kualiti hidup serta menyumbang secara bermakna kepada penambahbaikan masyarakat melalui inisiatif untuk mempromosi dan memperkukuhkan nilai-nilai murni.

Ia juga bertujuan menjadi organisasi terunggul yang memperkasakan warga tua supaya mencapai potensi mereka yang maksimum melalui pelaksanaan program penyelidikan, pengembangan, latihan, advokasi dan khidmat komuniti.

Jelasnya, pertubuhan ini yang didaftarkan pada 31 Disember 2001 oleh pengasasnya, Profesor Datuk Dr. Abdullah Malim Baginda, yang sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Amal Usia Emas Malaysia. Kini mempunyai 70 ahli yang berdaftar dan 30 sukarelawan terlatih.

Aktiviti yang mula dijalankan ialah Program Sahabat Warga Emas yang berkonsepkan dari sebuah program yang sama di Korea, iaitu Helpage.

Program ini merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang menjalankan aktiviti mencari sukarelawan atau melatih sukarelawan untuk lawatan ke rumah orang tua yang tinggal bersendirian dan tidak cergas di bawah nama program Homehelp.

Kini bersama dana sumbangan Helpage, Program Sahabat Warga Emas mencari warga tua yang perlu untuk diberi bantuan dan menghiburkan mereka dengan kunjungan secara berkala.

Kita ambil senarai warga emas dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menerima bantuan untuk diselidiki latar belakang sebelum mengunjungi mereka.

Kunjungan seperti ini dilakukan dengan harapan warga emas ini tidak rasa tersisih dan mampu menghiburkan mereka, jelasnya. Jika anda ingin menjadi sukarelawan Program Sahabat Warga Emas atau ingin mengetahui maklumat mengenai Persatuan Kebajikan Usiamas Malaysia, boleh menghubungi talian 03-4042 2201 atau e-mel, usiamas1@streamyx.com atau www.usiamas.org.my.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm#ixzz36qOW51HH
Utusan Melayu (M) Bhd

Jun 23, 2007 mindabahasa

Di  Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran.  Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.  Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.  Ini merupakan satu tanggapan yang salah.  Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.  

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.  Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.  Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini.  Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua.  Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.  Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini?  Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara.  Golongan ini boleh terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Yang utama ialah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh mencabar ini.  Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang jahat.  Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.  Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.  

Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.  Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.  Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya.  Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.  Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. 

Sesungguhnya, warga tua lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.  Walaupun sumbangan yang diberikan itu kelihatannya kecil, golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil kerana sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Hal ini kerana sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada kemudian hari.  Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.  Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana sikap tersebut akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. 

Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah sakit.  Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian.  Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan juga adalah amat digalakkan.  Mereka harus prihatin dengan apa yang dimakan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang.  Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.  

Kesimpulannya, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi.  Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini.  Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama dan negara.  Marilah kita bersedia mulai sekarang untuk menghadapi usia emas dengan penuh gemilang.

WARGA EMAS

GOLONGAN WARGA EMAS IALAH MEREKA YANGDITAKRIF SEBAGAI PENDUDUK BERUMUR 60 TAHUNKEATAS.

DI MALAYSIA, WARGA TUA TERUS MENINGKATDARI SETAHUN KESETAHUN. PADA TAHUN 1999,JUMLAH PENDUDUK DI NEGARA INI ADALAHSEBANYAK 21.8 JUTA ORANG DAN 6.5%DARIPADANYA ADALAH WARGA TUA. DIJANGKAKANPADA TAHUN 2020 NANTI, JUMLAH WARGA TUAADALAH SEBANYAK 11.3% DARIPADA JUMLAHKESELURUHAN PENDUDUK DI NEGARA INI.

Grace (1992) mengkategorikanzaman tua kepada empat peringkat yaitu :

Warga tua pada peringkat awal(umur 60-69tahun)

Warga tua pada peringkat pertengahan(umur 70-79tahun)

Warga tua pada peringkat lewat(umur 80-89tahun)

Warga tua pada peringkat sangat lewat(umur 90-90tahun keatas)

Ke arah penghalusan iman dan

penyuburan jiwa menuju penghujung usia

Warga emas atau warga tua secara umumnya dikategorikan sebagai individu yang berumur melebihi 60 tahun dan ke atas. Biarpun rata-rata golongan ini telah bersara, dan menghabiskan hampir sepenuh masanya di rumah sahaja, namun tidak bererti golongan ini sekadar bersikap pasif atau dilabelkan sebagai kurang produktif.
Warga emas seharusnya terus diberi peluang untuk bergiat aktif melibatkan diri dalam pembangunan negara mengikut kebolehan dan keupayaan masing-masing, kerana peranan mereka bukan sahaja sebagai ‘penerima’ bahkan mereka juga boleh memberi sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Jadi, warga emas seharusnya dibelai dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Warga emas mempunyai satu pengalaman yang mampu dipelajari oleh semua orang. Warga emas mampu memberi nasihat dan pandangan terhadap sesuatu perkara yang berlaku kerana mereka telah mengalami semua perkara yang bakal dialami oleh masyarakat. Kita harus menjaga warga emas setelah mereka menjaga kita selama ini. Antara tips-tips yang boleh dikongsi adalah :-

Norsibah Haji Apong

Warga Tua Warga Emas (Hijau)

 Dahi berkedut

 badan bongkok 

baju lusuh

kain berubah warna 

Berjalan tak seperti dahulu

 penglihatan tak seterang dahulu 

pertuturan tak selancar dahulu 

semuanya berubah mengikut waktu 

Di mana anak di mana cucu

di mana tempat mengadu

di mana tempat berkongsi kasih sayang  

Pada usia emas hargailah warga tua 

Elakkan dari terabai 

jagalah hati

Warga tua sering dikaitkan dengan mereka yang berumur lebih daripada 55 tahun yang juga dikenali sebagai warga emas. Populasi warga ini semakin hari semakin bertambah di negara ini terutama di kawasan bandar. Pertambahan jumlah penduduk warga tua ini menyebabkan negara memerlukan satu perancangan baru untuk menjadikan kehidupan warga ini lebih baik dan ceria setelah penat bekerja memajukan negara. Maka, ada beberapa langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menceriakan warga emas.

Kerajaan boleh mengumumkan bahawa semua warga tua boleh menikmati pelbagai kelebihan yang boleh meringankan beban kewangan seperti pucuk diminta ulam dicinta. Antaranya, pemberian diskaun tambang pengangkutan awam, kos hospital dan juga pembelian barangan yang sering diperlukan oleh mereka. Langkah kerajaan ini sudah pasti akan meringankan beban kewangan mereka terutama kos rawatan yang begitu mahal. Pengumuman dasar ini sudah pasti akan menjadikan warga tua lebih ceria kerana sedar bahawa negara terus menghargai mereka walaupun mereka sudah tidak lagi bekerja. Jelaslah, kerajaan harus mengumumkan satu dasar yang boleh menceriakan lagi kehidupan warga emas ini.

Selain itu, kerajaan juga boleh menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan mereka. Penganjuran lawatan ke tempat-tempat menarik khas untuk warga tua harus dilakukan dengan kerap seperti setiap hujung minggu dan sebagainya. Aktiviti seperti ini mampu menjadikan kehidupan warga tua lebih menarik dan tidak menjemukan mereka serta dalam masa yang sama mampu untuk meningkatkan semangat mereka untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan kerana mereka bergaul dengan rakan-rakan seusia. Sebenarnya, usaha melakukan lawatan ini menjadikan kehidupan mereka lebih berharga dan mampu memberikan satu matlamat untuk mereka meneruskan kehidupan kerana yang tua sentiasa didahulukan.

Pembinaan rumah warga tua harus diperbanyakkan terutama di kawasan bandar

kerana sudah ada peningkatan permintaan terhadap ruang buat warga emas ini. Keadaan kehidupan bandar yang penuh cabaran dan tekanan hidup yang tinggi menjadikan warga emas sasaran mudah tersisih. Kesannya, segelintir anak menggunakan alasan terlalu sibuk lalu menghantar orang tua mereka ke rumah bantuan kerajaan ini bagai kacang lupakan kulit. Kemudahan yang disediakan di rumah orang tua ini juga perlulah lengkap dan bersesuaian dengan keadaan fizikal dan kemampuan kewangan warga tua supaya kehidupan mereka lebih ceria. Sesungguhnya, semakin banyak rumah orang tua didirikan semakin bermaknalah kehidupan warga tua kerana mereka mempunyai tempat untuk berlindung pada masa akan datang.

Sesungguhnya, langkah yang paling efektif untuk menjadikan kehidupan golongan ini bermakna ialah sikap masyarakat terhadap kumpulan umur ini harus berubah menjadi lebih positif dan murah hati. Kita sering menyaksikan banyak pihak terutama golongan muda yang menganggap orang tua sebagai penyibuk, tidak memahami perasaan orang muda, lambat bergerak dan sebagainya. Pandangan yang sebegini menyebabkan sering berlaku perbezaan pendapat antara golongan muda dengan tua yang membawa renggangnya hubungan antara mereka. Jelaslah, masyarakat terutama warga belia harus menerima hakikat bahawa lumrah hidup akan menyaksikan yang tua menjadi muda lalu belajar memahami golongan tua ini.

Kesimpulannya, warga tua bukanlah seperti surat khabar lama yang harus dibuang setelah penat menabur budi selama ini kepada negara dan golongan muda. Kumpulan masyarakat ini berhak menerima layanan yang terbaik mungkin daripada negara dan masyarakat tanpa sebarang alasan. Semua pihak harus sedar dan menerima kenyataan bahawa tanpa warga tua tiadalah warga muda. Bayangkan jika anda sudah tua dan anda pula yang disisihkan.

 

CARA-CARA MENGHARGAI WARGA TUA

Warga tua merujuk ibu, bapa,datuk atau nenek,bapa saudara atau ibu saudara yang sudah berumur. Mereka merupakan golongan yang paling berjasa kepada keluarga, masyarakat dan negara. Warga tua telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan untuk membesarkan anak-anak. Namun, pada hari ini, warga tua sering diabaikan ibarat peribahasa melukut di tepi gantang dan jasa mereka dilupakan oleh masyarakat.
Ahli keluarga perlu menyayangi warga tua. Warga tua yang terdiri daripada ibu melahirkan zuriat dan berperanan mengurus rumah tangga serta mendidik anak-anak. Manakala bapa membanting tulang empat kerat mencari rezeki membesarkan anak-anak. Pengorbanan ibu bapa perlu diingati serta dibalas dengan sebaik-baiknya. Sebagai anak kita perlu menjaga ibu bapa kita ketika mereka tua serta uzur.Anak-anak tidak seharusnya menghantar mereka ke rumah orang tua-tua.
Di samping itu, guru menjadi suri teladan menasihati pelajar agar menghormati ibu bapa serta warga tua.Kita perlu memberi perhatian dan sering mendampingi mereka. Selain itu, anak-anak perlu bertutur dengan sopan apabila berkomunikasi dengan ibu bapa mereka kerana kasih ibu membawa ke syurga dan kasih bapa sanggupkah berpisah berkorban nyawa. Sewajarnya anak-anak tidak mengabaikan warga tua tersebut.
Seterusnya, kerajaan dan pihak swasta turut berperanan menghargai warga tua. Kerajaan dan pihak swasta berganding bahu seperti aur dengan tebing menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga tua. Sebagai contohnya, pembinaan rumah penjagaan warga tua yang mempunyai pelbagai kemudahan penjagaan. Di samping itu, warga tua turut mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan dengan kadar bayaran rendah di hospital kerajaan atau klinik swasta. Keperihatinan tersebut menunjukkan sikap mengambil berat tanpa mengira pangkat, demi keselesaan warga tua.
Media massa tidak terkecuali dalam usaha menghargai warga tua. Media massa seperti surat khabar dan televisyen serta Internet boleh menyiarkan cerita-cerita berkaitan penderitaan hidup warga tua. Contohnya rancangan yang disiarkan oleh TV3 Bersamamu, menunjukkan terdapat pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan khususnya kepada warga tua yang daif. Hal ini menyedarkan kita tentang pentingnya warga tua dalam hidup kita. Oleh itu, kita tidak boleh mengabaikan warga tua.
Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu berusaha untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga tua. Tanpa mereka siapalah kita,jangan sesekali kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, suatu hari nanti, kita juga pasti tua.Kita tidak boleh mengabaikan warga tua kerana merekalah yang sanggup berkorban melahirkan, membesarkan,dan mendidik anak-anak hingga berjaya dalam hidup.

DASAR PENGHARGAAN WARGA EMAS
Diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memberi penghargaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada warga emas yang telah berjasa kepada Negeri Pulau Pinang tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.

SYARAT KELAYAKAN
Berusia 60 tahun dan ke atas;
Berdaftar sebagai pengundi di Negeri Pulau Pinang; dan Berdaftar dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

KAEDAH PELAKSAAN
Pemberian Wang Tunai Sebanyak RM100. Warga emas yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri dan memenuhi kriteria akan diberikan wang tunai sebanyak RM100 selepas tarikh akhir pendaftaran.

KELUARGA IMPIAN SAYA

Rumahku, syurgaku, ungkapan keramat ini memanifestasikan peri pentingnya setiap ahli dalam sesebuah keluarga memainkan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin sehingga menjelmakan kebahagiaan yang menjadikan rumah seumpama syurga. Semua insan mengidamkan sebuah keluarga yang bahagia, tidak terkecuali saya. Dalam sebuah keluarga yang bahagia nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan seharian ahli-ahlinya. Tidak lengkap jika setiap ahli keluarga hanya melakukan kerja sendiri tanpa mempedulikan ahli keluarga yang lain kerana sikap saling membantu bagai aur dengan tebing harus diamalkan dalam sesebuah keluarga. Hal ini dapat diibaratkan seperti makan nasi tidak berlauk. Sukar untuk dipercayai jika seseorang itu mengatakan bahawa dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia lagi harmoni. Kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan itu kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita akan menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan.

Sesungguhnya setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipan masing-masing demi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia. Ibu bapa haruslah memainkan peranan penting untuk membina keluarga yang harmoni dan mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk sahsiah anak-anak. Ibu bapa jugalah yang akan memberikan bekalan yang terbaik kepada anak-anak seperti ilmu pengetahuan dan penerapan nilai-nilai murni. Anak-anak pada era globalisasi ini semakin cepat menerima apa-apa yang dipelajari, maka anak-anak ini perlu dibaja dengan perkara yang baik dan berfaedah serta membuahkan hasil. Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa mereka supaya menjadi sehelai kain batik yang cantik lagi menarik. Sewaktu anak-anak masih kecil, ibu bapalah yang menjadi guru mereka kerana merekalah guru yang pertama dan terdekat yang boleh membimbing anak-anak supaya menjadi insan yang berwawasan apabila dewasa kelak. Anak-anak akan meniru jejak langkah ibu dan bapa mereka sejak kecil lagi kerana mereka merupakan idola anak-anak mereka semasa kecil dan hal ini dapat diibaratkan seperti bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Haruslah diingatkan bahawa setiap tingkah laku yang dipamerkan oleh ibu bapa pasti ada yang akan menjejaki langkah mereka. Tuntasnya, benarlah bahawa ibu bapa haruslah membentuk sahsiah anak-anak mereka untuk menjadi insan yang cemerlang dari segi fizikal mahupun rohani mereka dan ciri keluarga beginilah yang menjadi impian saya.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka yang mana intan, yang mana kaca, iaitu mereka bijak membezakan antara perbuatan yang baik dan sebaliknya. Hal ini disebabkan oleh kedapatan anak-anak yang bersifat lurus bendul yang tidak berupaya membezakan antara perbuatan yang baik dan perbuatan yang buruk. Dalam konteks ini ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka tentang realiti menempuh kehidupan yang diredai Tuhan. Ibu bapa harus mengawasi pergaulan anak-anak di luar rumah kerana dikhuatiri mereka terlampau bebas sehingga terjerumus ke lembah dunia yang penuh dengan masalah sosial dan susila yang meruncing sedangkan mereka masih berumur setahun jagung, setampuk darah pinang. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak mereka agar tidak bergaul dengan rakan yang buruk akhlaknya kerana hal tersebut akan menggelapkan masa depan mereka. Tidak cukup jika kasih sayang yang diberikan seperti bena tak bena. Sebaliknya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang mereka dengan secukupnya selain menganggap anak-anak seperti menatang minyak yang penuh. Didikan agama harus ada dalam diri seseorang. Ibu bapa wajib memastikan anak-anak mereka memperoleh didikan agama tersebut kerana tanpa pegangan agama yang kukuh kita akan tersesat seperti layang-layang yang terputus talinya. Ibu bapa haruslah menerapkan ajaran agama ini sejak anak-anak masih kecil lagi. Hal ini kerana hati anak yang tidak dicemari dosa mudah untuk dipupuk kerana melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Ironinya, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya mereka tidak tersesat ketika menempuh belantara kehidupan. Dalam benak saya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam keluarga yang menjadi idaman saya.

Anak-anak akan kehilangan semangat untuk melakukan sebarang kerja seharian jika ibu bapa tidak meluangkan masa dengan mereka walaupun hanya untuk bertanyakan khabar. Lantaran itu, ibu bapa haruslah menitikberatkan perkara ini dan haruslah berusaha sedaya mungkin untuk meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Meluangkan masa bersama-sama ahli keluarga tidak bererti mereka hanya melakukan aktiviti di luar rumah, bahkan usaha tersebut boleh juga dilakukan di dalam rumah sepeti membincangkan masalah yang membelenggu pemikiran anak-anak di samping menyelesaikannya. Ibu bapa haruslah mengambil berat terhadap anak-anak dengan bertanyakan masalah yang dihadapi, perkembangan pelajaran di sekolah dan kehidupan sosial mereka. Ibu bapa tidak seharusnya memperlihatkan sikap rakus dalam mengejar fatamorgana dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Wang ringgit bukanlah penyelesaian bagi setiap masalah yang dihadapi tetapi kasih sayang yang ikhlas dari lubuk hati yang suci itu adalah penting bagi menjana keluarga bahagia. Tidak salah jika ibu bapa mencari rezeki pada siang hari, tetapi jika sering pulang lewat petang sehingga mengabaikan makan minum anak-anak, tentu mereka akan makan hati. Peribahasa Arab pernah mengatakan bahawa anak-anak yang kurang memperoleh kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah meluangkan masa mereka bersama dengan anak-anak agar mereka tidak kesunyian di samping dapat membina keluarga bahagia.

Menjadi anak yang derhaka ialah perkara yang dilarang sama sekali dalam mana-mana ajaran agama. Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak haruslah menuruti perintah ibu bapa mereka. Anak-anak hendaklah belajar dengan penuh kesungguhan dan mendapat keputusan yang cemerlang kerana pencapaian trsebut dapat membanggakan ibu bapa untuk membalas jasa mereka. Anak-anak seharusnya memuliakan maruah diri dan maruah keluarga dengan tidak melibatkan diri dengan aktiviti yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, dan menagih dadah. Anak-anak sewajarnya mendengar nasihat ibu bapa, bukannya menjadikan diri mereka tidak ubah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tidak sepatutnya jasa ibu bapa yang tidak terbalas itu dilupakan begitu sahaja. Sebagai insan yang bergelar anak kita haruslah mengenang jasa mereka kerana kita ditegah untuk menjadi seperti kacang lupakan kulit. Anak-anak haruslah mengambil alih tugas ibu bapa yang dahulu menjaga kita sewaktu kecil dan kini tugas itu diambil oleh generasi muda untuk menjaga ibu bapa mereka yang sudah uzur yang sudah tidak boleh menguruskan diri mereka lagi. Jika ibu bapa boleh menatang kita seperti menatang minyak yang penuh, mengapa kita sebagai anak tidak boleh melakukan hal yang sama? Hal ini disebabkan oleh mereka masih tidak bijak untuk menghargai seseorang yang telah berjasa kepada diri mereka sedangkan ibu bapalah yang telah membimbing, mendidik dan menjaga mereka sejak mereka kecil lagi. Seandainya tiada ibu bapa,siapa kita pada hari ini? Akhir sekali,anak-anak harus mentaati perintah ibu bapa agar keluarga bahagia dapat dibina. Sejujurnya, inilah antara ciri yang perlu ada dalam sebuah keluarga yang menjadi idaman saya.

Haruslah menjadi kewajipan dalam institusi kekeluargaan untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain. Ahli keluarga sewajarnya mengelakkan daripada mencetuskan pertelingkahan, terutamanya antara ibu bapa dengan anak-anak kerana keluarga bahagia tidak seharusnya ada sikap sepeti ini dan hal ini boleh mencemarkan nama baik keluarga secara tidak langsung. Ramai orang mengatakan bahawa keluarga yang bahagia ialah keluarga yang harmoni, aman dan damai. Sebagai ahli keluarga yang prihatin dan mengambil berat terhadap keluarga, mereka haruslah mewujudkan situasi ini dalam keluarga agar keluarga kita dihormati oleh masyarakat luar dan tidak dipandang serong serta dipandang hina. Ahli keluarga haruslah bahu-membahu antara satu sama lain. Seandainya dalam keluarga itu ada seorang yang lemah dalam subjek matematik, haruslah dibantu oleh adik beradik yang lain kerana sikap bantu membantu ialah sikap yang baik dan mulia. Orang yang kedekut ilmu selalunya merupakan orang yang rugi kerana mereka tidak ingin membantu memajukan generasi akan datang, malah mereka lebih rela melihat generasi akan datang dipijak oleh penjajah. Kita haruslah mengamalkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Tegasnya, setiap ahli keluarga haruslah mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk membina keluarga bahagia di samping membangunkan generasi akan datang agar sesebuah institusi keluarga itu menjadi keluarga yang dihormati.

Keseluruhan di atas merupakan antara ciri keluarga bahagia yang menjadi impian saya, terutamanya setelah saya dewasa dan membina keluarga sendiri. Semuanya akan menjadi kenyataan sekiranya saya berjaya dalam bidang pelajaran yang sudah pasti akan menjadikan masa hadapan saya cerah kerana kedudukan ekonomi saya yang stabil. Selain itu, saya dan pasangan yang menjadi suri kehidupan saya akan memikul tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin agar anak-anak akan menjadikan kami sebagai rol model mereka. Dengan keizinan daripada Yang Maha Esa, mudah-mudahan impian saya akan tercapai. Lebih jauh lagi, saya mesti berussaha dengan penuh kesungguhan agar impian tidak tinggal sebagai mimpi pada siang hari kerana tanpa usaha tiadalah kejayaan. Semoga fajar yang menyingsing pada sekurang-kurangnya sepuluh tahun akan datang memberikan sinaran paling gemilang dalam kehidupan saya berkeluarga.

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Berderap seiring berjalan pulang,

Mawar disisip hiasan si dara,

Remaja kini berperibadi cemerlang,

Menjadi tunjang aspirasi negara.

Pantun di atas menerangkan bagaimana seorang pelajar yang cemerlang dapat memberikan kebaikan kepada negara. Hal ini demikian kerana pelajar cemerlang mampu merealisasikan aspirasi negara dan seterusnya bakal menerajui tampuk pemerintahan negara. Sehubungan dengan itu, setiap pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menjadi pelajar yang cemerlang, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi menjadi pelajar yang cemerlang, pelbagai kriteria yang positif perlu dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.

Ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang pelajar cemerlang ialah mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Seorang pelajar yang mempunyai peribadi yang unggul akan sentiasa menjaga hubungan baik sesama manusia tidak kiralah ketika bersama keluarga, guru mahupun rakan-rakan.Sebagai contoh, pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati dan menyayangi guru mereka. Mereka juga sentiasa berlapang dada untuk membantu rakan-rakan dalam pelajaran. Sifat sombong dan angkuh tidak pernah wujud dalam kamus hidup seorang pelajar yang cemerlang. Mereka sentiasa mengamalkan sikap bermurah hati dan tidak pilih kasih dalam pergaulan dengan membeza-bezakan bangsa, agama dan prestasi akademik kerana menyedari bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah. Sahsiah dan peribadi pelajar yang cemerlang yang unggul disenangi oleh orang di sekelilingnya kerana mereka tetap bergaul mesra kerana tidak bersikap seperti kera sumbang. Oleh itu, jelaslah bahawa pelajar cemerlang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul.

Seterusnya, pelajar yang cemerlang sentiasa mengikut ajaran agama. Setiap agama di dunia ini menganjurkan manusia melakukan kebaikan tidak kiralah agama Islam, Kristian, Hindu mahupun Buddha. Pelajar yang cemerlang sentiasa menjadikan agama sebagai panduan hidup. Agama menjadi landasan yang paling ampuh dalam membentuk diri pelajar yang cemerlang seperti kata seorang cendekiawan, permulaan hidup seseorang manusia adalah mengenal Tuhan dan agamanya. Pelajar yang cemerlang akan sentiasa mempunyai nawaitu yang suci dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Sebagai contoh, seorang pelajar Islam yang cemerlang sentiasa menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu dengan menunaikan solat serta sentiasa berdoa untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, jelaslah bahawa agama menjadi pegangan pelajar yang cemerlang agar mereka tidak terpesong daripada matlamat sebenar hidup di dunia ini serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Selain itu, pelajar yang cemerlang sentiasa menyedari hakikat bahawa masa itu emas dan tidak mensia-siakan setiap saat yang dimilikinya. Mereka sentiasa mengisi masa terluang dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku, mengulang kaji pelajaran, dan beriadah. Mereka juga menyediakan jadual aktiviti harian yang fleksibel agar aktiviti yang mereka lakukan seimbang daripada aspek jasmani dan rohani. Penyediaan jadual aktiviti harian amat penting bagi memastikan pelajar tidak hanya menghabiskan masa selama 24 jam di meja belajar sahaja. Pelajar yang cemerlang juga sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca buku sekiranya mempunyai masa yang terluang. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari melalui pembacaan, mereka akan dapat meluaskan horizon pemikiran mereka dan seterusnya menjadikan diri mereka seorang pelajar yang cemerlang. Mereka juga sentiasa menyiapkan setiap tugasan yang diberi dan tidak menangguhkannya. Mereka juga tidak mengamalkan sikap seperti pahat dengan penukul dalam proses menuntut ilmu. Oleh hal yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa bijak dalam mengisi setiap saat dan minit dalam kehidupan mereka agar tidak berakhir dengan penyesalan.

Di samping itu, ciri pelajar yang cemerlang termasuklah sentiasa memberikan tumpuan ketika guru sedang mengajar. Hal ini demikian kerana, perhatian dan tumpuan yang diberikan menjadi salah satu medium pembentukan pelajar yang cemerlang di samping meningkatkan pemahaman mengenai subjek yang dipelajari. Sebagai contoh, seseorang pelajar haruslah memberi sepenuh perhatian dan fokus ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Mereka harus menghargai setiap detik waktu dalam proses tersebut kerana masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya,maka ia akan memotong kita. Tumpuan dan perhatian pelajar di dalam kelas sahaja menjadi salah satu ciri pelajar cemerlang malahan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam sesuatu subjek yang dipelajari. Tambahan lagi, sekiranya mereka menerapkan ciri yang berikut dalam diri mereka, mereka akan disenangi oleh para guru. Para guru akan berasa senang hati ketika mengajar seterusnya memberi keberkatan kepada pelajar tersebut untuk memperoleh kejayaan dalam pelajaran, peperiksaan bahkan dalam kerjaya mereka pada masa akan datang. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang cemerlang sentiasa memberikan tumpuan semasa guru sedang megajar di dalam kelas.

Bukan itu sahaja, pelajar yang cemerlang juga mempunyai wawasan hidup. Hal ini demikian kerana wawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka. Sebagai contoh, mereka yang cemerlang sentiasa mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Selain itu, wawasan hidup mampu mengajar mereka erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam hidup berikutan mereka akan lebih teliti dan kreatif dalam menyusun masa belajar dan melakukan aktiviti seharian. Wawasan hidup merupakan ciri dominan pada diri pelajar cemerlang kerana apabila mereka berwawasan, mereka sentiasa berusaha gigih kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Pelajar yang mempunyai wawasan juga lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Walaupun mereka mungkin menemui kegagalan dalam sesuatu perkara, mereka tidak akan mudah bersedih malahan menjadikan kegagalan tersebut sebagai batu loncatan untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa hadapan. Wawasan hidup juga mampu menjauhkan diri daripada sifat menangguhkan kerja dalam kalangan pelajar cemerlang. Setiap pekerjaan haruslah dilakukan hingga selesai, bak kata peribahasa, alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sifat negatif tersebut tidak akan lagi menjadi penghalang kepada diri mereka dalam menempa kejayaan hidup. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa pelajar yang berwawasan merupakan pelajar yang cemerlang.

Sementara itu, untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, setiap pelajar hendaklah sentiasa aktif melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti kokurikulum di sekolah, bakat dan kebolehan para pelajar akan terserlah dan dapat terus digilap untuk mencapai kejayaan. Tamsilannya, para pelajar akan sentiasa melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang diadakan oleh unit beruniform, serta kelab dan persatuan seperti berkawad dan berkhemah. Dalam konteks ini, para pelajar bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan mereka malah turut dapat mencerdaskan otak mereka kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Para pelajar juga haruslah menyertai sebarang pertandingan bagi mengenal pasti potensi diri sama ada melalui unit beruniform mahupun akademik. Contohnya, pelajar yang cemerlang akan menyertai pertandingan yang dapat menguji minda serta pemikiran mereka seperti pertandingan perbahasan, forum dan catur. Oleh hal yang demikian, setiap pelajar perlu bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan seimbang.

Intihnya, kriteria-kriteria yang positif perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam semua skop kehidupan. Pelajar yang cemerlang mampu berfikir luar daripada kotak pemikiran dan seterusnya mampu merealisasikan aspirasi negara. Hal ini demikan kerana, pelajar yang cemerlang merupakan pemacu jentera negara dan akan menerajui tampuk pemerintahan negara pada masa hadapan. Oleh itu, generasi pelajar yang cemerlang perlu dipupuk sejak kecil lagi bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

KEPERLUAN WARGA TUA

Di malaysia, warga tua sering dibiarkan dan ditempatkan di rumah orang-orang tua. Definisi warga tua ialah  orang yang berusia 60 tahun ke atas. Mereka ini sering dibiarkan sendirian oleh anak-anak walaupun terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa ialah tanggungjawab seorang anak. Mereka yang mempunyai kerjaya sering menghantar ibu mereka ke rumah kebajikan untuk melepaskan diri mereka daripada tanggungjawab. Adakah tindakan insan yang berjaya ini wajar? Mereka sepatutnya lebih peka terhadap keperluan ibu bapa mereka yang telah lanjut usia berbanding mengejar harta dunia yang tidak akan kekal lama. Oleh itu, terdapat pelbagai keperluan yang diperlukan oleh warga tua.

Perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak merupakan salah satu keperluan warga tua. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua hidup bersendirian selepas salah satu pasangan meninggal. Mereka ini bersifat sensitif dan mudah terasa apabila di pinggirkan dan dibiarkan oleh anak-anak tanpa bertanya khabar .Dengan kehadiran anak-anak dan cucu, kekosongan dalam hidup warga tua itu dapat diisi. Mereka tidak menginginkan harta atau apa-apa kerana mereka hanya menginginkan perhatian dan kasih sayang daripada anak-anak dan cucu. Anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua atas alasan sibuk bekerja dan tiada masa untuk diluangkan bersama adalah anak-anak yang tidak mengenang jasa. Walaupun, di rumah orang-orang tua mereka terjaga dan terdapat kemudahan yang lengkap , namun jauh di sudut hati mereka inginkan layanan dan kasih sayang daripada anak-anak sendiri. Oleh itu, perhatian dan kasih sayang merupakan keperluan utama warga tua.

Seterusnya, mereka memerlukan tempat tinggal yang selesa untuk didiami. Hal ini demikian kerana rumah yang sudah usang seperti dinding berlubang, atap bocor, lantai berlubang dan sebagainya mengundang pelbagai jenis binatang atau serangga berbisa. Keadaan rumah seperti ini tidak sepatutnya didiami oleh warga tua kerana boleh mengancam nyawa mereka. Sebagai warga komuniti yang perihatin, kita boleh membuat kerja amal untuk membersihkan rumah warga tua dengan bantuan agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. Bantuan yang di berikan dapat meringankan beban warga tua seperti, makanan, tilam, kerusi roda bagi yang tidak berkemampuan untuk berjalan dan sebagainya untuk meneruskan kelansungan hidup. Dengan itu, keselesaan warga tua amat penting untuk menjamin kehidup yang lebih bermakna bagi mereka.

Seterusya, mereka juga memerlukan teman berkomunikasi untuk meluahkan perasaan. Hal ini demikian kerana, kebanyakan warga tua tinggal bersendirian dan tiada teman untuk berbicara dan berkongsi rasa. Mereka juga seperti insan muda yang inginkan teman untuk berbual dan bercerita. mereka kadang kadang ingin meluahkan  kekecewaan mereka terhadap anak-anak mereka kerana alpa dengan tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa ketika tua. Mereka tiada tempat untuk mengadu jika sakit, tiada suara untuk menenangkan mereka ketika menghadapi musibah dan tiada tangan untuk membantu mereka ketika susah. Mungkin mereka hanya mampu menangisi nasib mereka di dalam hati. Anak anak sewajarnya meluangkan masa bersama ibu bapa walaupun sekejap untuk bertanya khabar atau mendengar luahan hati daripada ibu bapa mereka. Jika mereka sabar dan sentiasa mendengar luahan dan rintihan kita sejak kecil lagi, mengapa kita tidak mampu untuk mendengar luahan serta rintihan ibu bapa kita apabila mereka sudah tua? Jadi , anak anak boleh berkomunikasi dengan ibu bapanya supaya ibu bapa tersebut dapat meluahkan perasaan mereka.

 Tuntasnya, semua pihak boleh membantu untuk menyedikan keperluan kepada warga tua. Namun, setiap anak wajib mengutamakan keperluan ibu bapa semasa tua jika mereka masih hidup kerana mereka amat memerlukannya. Warga tua sebenarnya tidak inginkan harta kekayaan mereka hanya kasih sayang dan perhatian daripada anak anak. Kadang kala sikap mereka ibarat bayi kecil yang baru dilahirkan. Inginkan dirinya disayangi, dibelai dan ditemani. Sikap mereka yaNg mudah kecil hati akan terubat dengan keikhlasan kita menjaganya. Jadi, kita harus menghargai mereka sementara mereka masih ada.jangan tunggu hingga mereka tiada baru hendak tercari cari..

Leave a Reply