PIDATO : Mohammad Hazwan Asyraf

Mohammad Hazwan Asyraf

930706-07-5217

T1 Tesl 1

Bahasa Melayu Pemangkin Perpaduan Nasional

Assalamualaikum warahmatullahhiwabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian. Berdirinya saya di atas pentas yang berwarna warni ini pada pagi yang mulia ini adalah bertujuan untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk. Bahasa Melayu Pemangkin Perpaduan Nasional.

Yang kurik itu kundi

Yang merah itu saga

Yang cantik itu budi

Yang indah itu bahasa

Indahnya Bahasa Melayu, begitu halus sehingga menusuk kalbu. Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara Malaysia. Melihat kepada pengiktirafan yang diberi kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya mengangkat bahasa ini sebagai Teras Perpaduan Bangsa Malaysia.

Secara konseptual Bahasa Melayu Teras Perpaduan Bangsa Malaysia bolehlah didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan dan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara ini.

Hadirin yang dihormati sekalian

Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Dalam Kitab Sejarah Melayu telah menyebut bagaimana para pedagang bertungkus lumus untuk mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu. Manakala dalam konteks hubungan antarabangsa pula surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa Melayu yang akan mengajar mereka. Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna sehingga ke peringkat antarabangsa.

Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957. Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termaktub dalam Perkara 152, perenggan 1 sebagai bahasa bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka.Maka sejak itu Bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.

Hadirin yang dihormati sekalian.

Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi. Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Buktinya Datuk Seri Mohd Najib telah bertutur dalam Bahasa Melayu sepenuhnya di sebuah Universiti di China semasa lawatan beliau ke sana. Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem yang sama untuk semua.

Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.

Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa. Dunia semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya dengan bahasa Melayu. Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan istilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika bahasa ini amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada bahasa Sanskerit.

Namun begitu, harus diingat juga dalam keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinosaur yang akhirnya pupus kerana gagal untuk menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran. Maka menyedari hakikat itu DBP telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan, perbankan, komputer dan internet.

Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain. Ini kerana Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing menerima nasib malang.

Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan. Keadaan ini telah menjadikan Bahasa Melayu akan terus dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain.

Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum. Buktinya yang jelas ialah dengan adanya pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis (PBSUB) bagi SRJKC dan SRJKT dan pidato bahasa Melayu antarabangsa. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja. Pemilihan Bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan telah melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa

Sidang hadirin sekalian,

Penggunaan bahasa rojak dengan agak meluas dikalangan generasi muda amat membimbangkan kerana kehadirannya mampu melunturkan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lambang penyatuan dan identiti bangsa Malaysia. Bahasa rojak merupakan bahasa campuran pelbagai bahasa etnik dan bahasa Inggeris, kewujudannya seiring dengan kerancakan perkembangan dunia Teknologi maklumat yang menjadi agen penyebar bahasa rojak.Jika keadaan ini dibiarkan ,ianya akan melunturkan penggunaan bahasa Melayu dan jati diri khususnya masyarakat Malaysia. Keadaan ini sepatutnya dibendung dari awal dan perlu ada usaha membenteras penggunaannya daripada terus menjadi ancaman dan pencemaran kepada bahasa Melayu yang berdaulat.

Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dahulunya terpecah kepada begitu banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan. Bahasa Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan chating. Kata-kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan zaman telah digantikan dengan mel elektronik, dan menelefon telah digantikan dengan SMS dan MMS.

Bagi saya ini satu perkembangan yang menakjubkan sekaligus menunjukkan bahawa bahasa Melayu sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan semua ini.

Kesimpulannya, keistimewaan yang dimiliki oleh bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca membolehkannya ditutur oleh semua kaum dan melayakkannya mewakili seluruh etnik di Malaysia. Walaupun masih terdapat kekurangan yang perlu dipenuhi untuk memastikan bahasa Melayu benar-benar berwibawa dan menjadi bahasa penyatuan kaum di Malaysia namun kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat dilihat dalam beberapa usaha yang dijalankan oleh kerajaan. Keteguhan sesebuah negara bergantung kepada perpaduan rakyatnya. Perpaduan kaum yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuh untuk memastikan suasana negara yang aman,makmur, selesa dan harmoni dapat dipertahankan. Peranan bahasa Melayu dalam membina perpaduan kaum perlu dipertahankan dan dipertingkatkan seiring dengan kemajuan yang dicapai oleh negara. Kehadiran elemen-elemen yang tidak sihat ini dapat dilihat dengan jelas, misalnya bahasa rojak yang menjadi pencemaran terhadap penggunaan bahasa Melayu. Mengapa bahasa rojak ini wujud? siapa agen penyebarnya? Saya rasa jawapan semuanya ada pada kita, tepuklah dada, tanyalah selera. Sekian, terima kasih.

Leave a Reply