Pidato : Soalan

Soalan :

Tuliskan syarahan yang bertajuk Pentingnya Menjaga Kebersihan di Sekolah

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Pada pagi ini saya ingin 

menyampaikan syarahan yang bertajuk Pentingnya Menjaga Kebersihan Sekolah.

Hadirin yang dihormati,          

Kebersihan penting dalam hidup seseorang insan. Hidup yang bersih menerajui hidup yang sihat. Selain kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal, kebersihan sekolah juga perlu dititikberatkan.

            Sekolah ialah tempat untuk menimba ilmu pengetahuan dan membentuk sahsiah murid. Persekitaran yang bersih memudahkan penerimaan pelajaran yang diajar. Kesannya, suasana kelas yang kondusif merangsang murid untuk mengikuti pembelajaran.

Hadirin yang dikasihi,                                                                                                                                Sekolah yang bersih menimbulkan suasana yang ceria dan selesa. Suasana ini merangsang murid untuk berfikiran positif dan mempunyai minda yang tenang. Oleh itu, murid-murid dapat menjauhkan diri daripada gejala negatif.

           

          Selain itu, sekolah yang bersih dapat meningkatkan imej sekolah di mata masyarakat. Hal ini kerana masyarakat menilai sekolah bukan sahaja dari segi kelakuan dan pencapaian murid, tetapi juga persekitaran sekolah yang bersih. Dengan itu ibu bapa dan anggota masyarakat akan berasa seronok untuk berkunjung ke sekolah yang sentiasa bersih.

            

         Akhir sekali, menjaga kebersihan sekolah itu penting adalah untuk memupuk rasa kecintaan murid terhadap sekolah. Contohnya, murid-murid sentiasa bekerjasama menjaga kebersihan kelas dan persekitaran sekolah dan tidak membuang sampah merata-rata. Hal ini akan membentuk murid-murid yang sayang akan sekolahnya.

Hadirin yang dimuliakan,

            Jelaslah kebersihan sekolah patut dijaga. Oleh itu sama-samalah kita menjaga kebersihan sekolah demi kebaikan bersama.

Sekian, terima kasih.

Pidato Memartabat Bahasa Melayu

            Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

            Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, guru-guru, rakan-rakan pelajar dan seterusnya hadirin sekalian.

            Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk Memartabatkan Bahasa Melayu. Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas, bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

            Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,

            Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,

            Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,

            Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya, pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.

            Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Teks Pidato Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Bismilahhiramannirahim

         Kalau tidak kerana bintang,

         Tak akan bulan kelihatan tinggi ,

         Kalau tidak kerana pidato,

         Tak akan saya berada disini.

        Datang bahtera dari Medan ,

        Singgah sebentar di laluan Kerai,

        Salam satu Malaysia saya hulurkan ,

        Kepada warga dewan pembuka tirai.

Assalamualikum  W.B.H      

       Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang sentiasa peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin dan hadirat yang saya hormati.

  

        Jauh berlayar si pedagang Cina ,

            Singgah di Melaka menjual sutera .

        Bahasa melayu bahasa perantara ,

            Tonggak utama perpaduan negara

Hadirin dan hadirat yang dihormati

            Cogan kata Hidup Muafakat Membawa Berkat merupakan antara cogan kata yang dicipta untuk menyedarkan orang ramai akan peri pentingnya muafakat dalam kehidupan masyarakat yang berbilang kaum seperti di negara kita. Kata orang, permuafakatan bererti perpaduan. Situasi ini dapat dihuraikan oleh bidalan bersatu teguh bercerai roboh. Keadaan ini membawa kebaikan dan kejayaan kepada seluruh anggota masyarakat berkenaan. Sesungguhnya, negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia berpaksikan pada perpaduan untuk meneruskan kelangsungan keharmonian di dalam negara. Saya yakin bahawa perpaduan penting dalam sesebuah negara. Dalam usaha melonjak status negara berpendapatan tinggi dan bagi merealisasikan dasar transformasi kerajaan, soal perpaduan tidak boleh dipandang enteng kerana bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Usaha membina negara bangsa yang bersatu padu ini sebenarnya boleh dilakukan jika setiap rakyat mengerti akan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai tonggak perpaduan setiap rakyat di Malaysia. Oleh itu, izinkan saya untuk menjelaskan dengan lebih terperinci tentang wacana ilimiah kita pada hari ini yang bertajuk Bahasa Melayu Tonggak Perpaduan Bangsa Malaysia.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.

Hadirin yang dihormati,

          Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata pujangga pendeta Zaaba yang berbunyi bahasa menunjukkan bangsa. Apabila kita melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan semangat kecinaan, kemelayuan ataupun keindiaan.

          Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan ah

          Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu

          Pelatlah dengan pengaruh bahasa natif,asalkan setiap kaum di Malaysia dapat bermesra dan bertukar-tukar maklumat dan fikiran hanya dengan menggunakan bahasa Melayu. Langkah Dewan Bahasa memasukkan entri perkataan baharu setiap kali edisi baharu terbit merupakan langkah yang patut dipuji kerana perkataan pinjaman daripada bahasa Cina dan India yang mengalami proses kemalaysiaan sememangnya dapat mewujudkan perpaduan. Apa yang penting, setiap kaum di Malaysia tidak akan kekok untuk berbicara dalam bahasa kebangsaan. Apabila tidak kekok berbicara, sudah tentulah juga tidak kekok untuk bermesra. Apabila sudah bergaul mesra, nyatalah bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk itu akan terbina kukuh di bawah payung Satu Malaysia. Berdasarkan hujah ini, nyatalah bahawa bahasa Melayu itu merupakan medium untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyrakat di Malaysia.

Hadirin yang dikasihi,

          Dalam lautan ilmu yang memenuhi pustaka di Malaysia, sudah tentulah bahasa Melayu turut menjadi bahasa penyebaran ilmu pengetahuan. Berdasarkan data yang saya peroleh daripada Arkib Negara, saya amat kagum dengan pencapaian bahasa Melayu kerana hampir 800 buah buku ilmiah ditulis dalam bahasa Melayu oleh rakyat Malaysia sendiri. Untuk pengetahuan hadirin, ilmu pengetahuan merupakan perkara yang sangat penting untuk memupuk perpaduan. Masarakat yang tidak berilmu ibarat masyarakat yang tidak bertamadun. Apabila tidak bertamadun, sudah tentulah masyarakat bertindak membuta-tuli mengikut hati dan naluri. Oleh itu, sudah tentulah kucar-kacir akan menodai keamanan sesebuah negara. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan segunung pernghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana mengembalikan mandat kepada bahasa Melayu dalam pengajaran Sains dan Matematik. Sesungguhnya, langkah ini dapat merapatkan jurang pendidikan antara murid-murid di luar bandar dan di kawasan bandar. Dalam soal keharmonian, sudah tentulah kita tidak mahukan sebarang jurang bertatah di dalam kehidupan masyarakat. Pada pendapat saya, jurang itu boleh memecahbelahkan perpaduan. Apabila bahasa Melayu kembali dalam pengajaran subjek kritikal ini, sudah tentulah jurang itu dapat dirapatkan. Ketika jurang pendidikan itu dirapatkan, sudah tentulah perpaduan dapat dipupuk dari alam persekolahan lagi. Selain dasar baharu itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia melaksanakan program Memartabatkan Bahasa Melayu, memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMBMI) dilihat sebagai wahana yang sangat utama untuk menjadi tonggak perpaduan. Pengisiannya jelas menunjukkan bahawa betapa prihatinnya pihak kerajaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu dan betapa arifnya kerajaan tentang peranan bahasa Melayu sebagai tonggak perpaduan.

Hadirin yang dirahmati,

          Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan bahasa kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.

Sekian, terima kasih.

Mantan Perdana Menteri Malaysia , Tun Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata,Bangsa yang mulia dan terhormat bukan sahaja bangsa yang kaya dengan intelek tetapi kaya dengan sikap berbudi bahasa.Kata-kata ini membuat saya terpanggil untuk merungkaikan melalui sebuah pidato yang berpaksikan tajuk Budi Bahasa Amalan Mulia.

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan kehakiman intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia dengan masanya, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

Assalamualikum  salam sejahtera dan salam satu Malaysia ,

Sidang saksi yang saya hormati,

Izinkan saya puteri Toh Sajak  merungkaikan maksud pidato  saya pada hari ini.

Budi bahasa merujuk kepada tutur kata ,kelakuan , sopan santun dan tatatertib . Dengan kata lain setiap gerak laku , tutur kata , tata cara hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain,  mahupun pergaulan masyarakat terangkum dalam konsep budi bahasa.

Sidang saksi yang saya muliakan

Sesunnguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya ,peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ingatlah falsafah hdup yang bertunjangkan nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia

Meninjau dari skop yang lebih luas , amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun dan memiliki tahap tatasusila yang tinggi. Bagi merealisasikannya subjek pendidikan moral dan pendididkan Islam memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada murid-murid seawal mereka di bangku persekolahan.Bak kata perpatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Banyak implikasi akan timbul jika masalah budi bahasa tidak dihiraukan . Gejala tidak menghormati orang tua akan membawa kepada kesan buruk seperti wujud perasaan dendam,kasar,tidak segan silu melakukan perkara-perkara buruk,tutur bahasa yang kasar dan tidak sopan.Ini semua berlaku akibat terpengaruh dengan pelbagai budaya yang tidak sihat,terikut-ikut dengan budaya barat sehingga lupa kepada nilai-nilai murni dan adat resam timur yang akhirnya mempengaruhi imej,watak dan penampilan diri seseorang. Mengamalkan budaya bahasa yang baik dan nilai-nilai murni mencerminkan seseorang itu memiliki budi pekerti tinggi.

Amalan berbudaya bahasa menzahirkan rasa hormat antara satu sama lain,contohnya orang muda menghormati orang tua,anak menghormati ibu bapa,murid menghormati guru.Dengan jelasnya kita dituntut menghormati orang tua dan menyayangi orang muda.Firman Allah s.w.t: dalam surah Al-Hajh ayat 24 bermaksud,

Dan mereka diberi petunjuk (didunia) dengan mengucapkan kata-kata yang baik serta diberi petunjuk ke jalan Allah yang maha terpuji.

Dewasa ini amalan budi bahasa dikalangan masyarakat kita semakin luntur nilai-nilai budaya bahasanya.Ini disebabkan oleh tuntutan mengejar kebendaan,pangkat hingga menafikan nilai-nilai murni.Dengan terhakisnya nilai-nilai murni menyebabkan masyarakat luntur akhlaknya.Kita mestilah berusaha untuk menaikkan kembali budaya Melayu dipersada dunia dengan budi pekerti yang mulia. Budi bahasa perlu diterapkan dalam apa jua keadaan agar budaya dan agama kita dinilai sebagai yang terbaik.

Sidang penonton penuh santun,

Bahasa melambangkan bangsa.Justeru ia perlu diterapkan dalam apa jua keadaan dan masa agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik.Kita hendaklah membudayakan budi bahasa samada ditempat kerja,jalan raya,rumah dan masjid.Kita juga perlu sentiasa mempamerkan imej diri yang positif dalam segala tindakan samada cara berfikir,melahirkan perasaan,pertuturan dan perlakuan.Hanya dengan cara itulah kita dapat membentuk satu budaya kerja yang mantap dan berkesan.

Jika suasana ini dapat diwujudkan,maka kemesraan akan wujud,saling hormat-menghormati antara satu sama lain,tanpa memperkecilkan dan meremehkan pandangan orang lain.

Tegak rumah kerana sendi,

Rosak sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi,

Rosak budi runtuhlah bangsa.

Sidang saksi yang dihormati,

Kesimpulannya,untuk memastikan amalan berbudi bahasa ini subur dalam setiap masyarakat pada setiap masa, maka semua pihak perlulah  memainkan peranan masing-masing.Setiap ibu bapa adalah model dan sewajarnya menunjulkan sikap yang terbaik ketika berkomunikasi dengan anak-anak.Ibu bapa perlu menyemai sikap berbudi bahasa yang cemerlang samada percakapan atau perbuatan.

Media massa diharapkan dapat memainkan peranan penting ke arah melahirkan generasi berbudi  bahasa melalui penyebaran maklumat kepada pengguna.Pemantauan hendaklah dilakukan dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa untuk memastikan budaya berbudi bahasa dapat dihayati oleh masyarakat.

Marilah sama-sama kita menerapkan amalan budi bahasa dalam komunikasi,ucapan,pertuturan,panggilan,pergaulan dan perlakuan samada dalam keluarga,masyarakat,mahu pun di tempat kerja.

Apa tanda Melayu jati

Adat dan syariat dipegang mati

Apa tanda Melayu beradat

Budi bahasa dipegang erat

.

Sekian terima kasih.

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk Faedah Bergotong-royong:.

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk Faedah Bergotong-royong.

Hadirin sekalian,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.

Sekian, terima kasih.

loading...

Leave a Reply