Pidato Sejarah : Perjuangan Kemerdekaan

Perjuangan Kemerdekaan

Assalamualaikum w.b.t. salam sejahtera, salam Perak aman jaya dan salam 1 Malaysia !

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis,

kombinasi dif-dif kehakiman,

saudari penjaga masa yang cakna dengan randiknya,

warga pendidik yang bermisi,

seterusnya warga intelektual penerus wawasan Negara !

Memetik kata-kata bapa kemerdekaan kita, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, Merdeka itu adalah suatu perkqara yang bukan mudah untuk diperoleh, ianya memerlukan pengorbanan bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga ! bahkan nyawa sendiri juga ! Justeru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya. Perjuangan Kemerdekaan

Sebelum Tirai membuka bicara, sebelum bait kata melontar idea, terlebih dahulu izinkan saya menghuraikan definisi tajuk pidato saya secara konseptual dan holistik. Mengikut Kamus Dewan Edisi keempat, perkataan perjuangan bermaksud berjuang untuk merebut sesuatu, manakala perkataan kemerdekaan pula membawa maksud bebas. Namun secara holistiknya Perjuangan Kemerdekaan bermaksud berjuang untuk mendapatkan kebebasan sesebuah negara bagi membentuk negara bangsa.

Sidang dewan yang dikasihi sekalian,

Hayatilah citra bicara perdana, lontaran isi saya yang pertama iaitu jerit-perih pemimpin dan rakyat dalam mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dicapai menerusi pertumpahan darah sebagaimana negara-negara Asia lainnya, hal ini kerana kesanggupan, jerit-perih dan pengorbanan yang diberikan oleh rakyat pada masa itu dan sebelumnya amatlah besar. Jika dikira dari mula pendudukan Inggeris pada 1786 apabila Francis Light mula mengibarkan bendera penjajahan secara rasmi di bumi Tanah Melayu, penentangan menuntut kebebasan telah pun bermula walaupun hanya sekadar diperingkat wilayah. Bentuk-bentuk penentangan ini walaupun kecil dan sering dilabel oleh pihak Inggeris sebagai pengkhianat, lanun dan pemberontak namun semangat mereka telah menjadi rujukan kepada pejuang selepas itu. Nama-nama seperti Mat Kilau, Dol Said, Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Panglima Hitam, Tun Tan Cheng Lok, Tunku Abdul Rahman dan ramai lagi telah menjadi sebutan di bibir rakyat Malaysia dari generasi ke generasi. Pengorbanan mereka bukanlah kecil, tetapi demi negara tercinta, nyawa sanggup mereka pertaruhkan.

Sidang hadirin yang penuh intelektual,

Menyingkap fokus saya yang kedua, semangat nasionalisme membawa kepada kemerdekaan. Ya, melalui semangat NASIONALISME inilah yang telah menjadikan negara kita sebagai sebuah sebuah negara bangsa. Setelah dilabel sebagai bangsa yang lemah, malas dan tidak bertamadun, rakyat negara kita mula menunjukkan kesungguhan yang tidak berbelah-bagi apabila peluang untuk kemerdekaan mula terbuka selepas Perang Dunia Kedua tamat.

Desakan yang berupa tunjuk perasaan, bantahan, berkabung, perhimpunan gerakan kemerdekaan dan rundingan akhirnya membuahkan hasil. Akhirnya pihak Inggeris terpaksa mengaku bahawa penjajahan mereka sudah sampai masanya untuk berakhir pada tanggal 31 Ogos 1957. Bagi saya nasionalisme Melayu harus dipandang sebagai teras nasionalisme Malaya dan perjuangan kemerdekaan. Mengapa? Pertama, secara akar umbinya warisan politik dan budaya Melayu adalah wajah keseluruhan Tanah Melayu berabad lamanya. Kedua, selama lebih 500 tahun orang Melayu dijajah dan akhirnya orang Melayu bangkit menentang penjajah dengan penuh tenaga dan upaya. Ingin saya menyokong hujah di atas dengan merujuk kepada penulisan James Ongkili yang bertajuk The British and Malayan Nationalism, yang menyifatkan nasionalisme Malaya adalah kesinambungan daripada semangat nasionalisme Melayu 1946.

Sidang saksi yang bervisi,

Menyusuri aspirasi saya yang ketiga, iaitu sejarah memerdekakan kita, mengapa sejarah dikatakan memerdekakan kita? Mari kita merungkai persoalan ini. Sejarah menceritakan prihal pahlawan-pahlawan dahulu kala yang bertungkus-lumus untuk memerdekakan negeri masing-masing dari cengkaman penjajah. Mereka mempunyai semangat cinta akan negara yang membara, dan semangat kental itu tidak berakhir sehingga titisan darah terakhir mereka. Melalui sejarah yang telah dicipta oleh pejuang-pejuang terdahulu inilah yang menyebabkan Malaysia sehingga hari ini mampu mempertahankan kemerdekaannya. Mengapa pula? Kerana rakyat Malaysia mengambil secebis semangat kental pejuang terdahulu untuk dijadikan tangkal azimat demi memerdekakan negara dan mengekalkan kemerdekaan yang diperoleh. Semangat ini juga terus mengalir di dalam darah anak-anak merdeka dari generasi ke generasi. Pengetehuan mereka mengenai sejarah menjadikan mereka terus berusaha mengekalkan kemerdekaan kerana gusar sejarah akan berulang. Saya ingin memetik bait-bait kata mantan perdana menteri kita yang keempat Tun Dr. Mahathir Mohammad Orang yang tidak tahu sejarah akan mengulangi sejarah. Jelaslah sejarah merupakan kalam pedoman dan tauladan yang perlu menjadi penanda arah dalam titik kehidupan setiap individu.

Konklusinya, menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden. Pengorbanan pejuang-pejuang kebebasan dan mempertahankan kedaulatan negara haruslah kita kenang dengan ucapan terima kasih dan doa. Sesungguhnya tiada kemerdekaan tanpa perjuangan !

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-55.

Dirgahayu Malaysiaku! Dirgahayu Malaysiaku!

Sekian. Saya akhiri pidato saya dengan Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.b.t

Nukilan : Sara, Syafina, En Google

Leave a Reply