Pidato (Pertandingan) : Teks Pendidikan

Teks Pidato:Pendidikan

Bismillahirrahmannirrahim,

Diketuk pintu tentunya tetamu,
Tetamu datang membawa ikan,
Dari mana datangnya ilmu,
Kalau bukan melalui pendidikan

Terima kasih Yang Berbahagia saudara pengerusi majlis, kombinasi para juri yang arif lagi bijaksana sebagai penegak keadilan, penjaga masa yang budiman dan seterusnya hadirin-hadirat warga dewan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam 1 Malaysia pembuka bicara.

Pendidikan amat signifikan dalam mencanai rakyat yang berkognitif. Rakyat yang berilmu ialah rakyat yang akan mendapat pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan di samping modus hidupnya yang lebih baik. Atas pedoman yang sama, maka berdirinya saya pada pagi yang berbahagia ini, tidak lain dan tidak bukan, untuk menyampaikan pidato yang berbunyi Transformasi Pendidikan Negara.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato agar hadirin terbuka minda, agar hakim tidak terpinga-pinga, dan saya petah berkata-kata. Transformasi bolehlah ditakrifkan sebagai perubahan, manakala pendidikan diintepretasikan sebagai perihal mengajar, mendidik dan mengasuh dan perkataan negara bererti masyarakat yang menduduki provinsi tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan. Maka, prakarsa transformasi pendidikan dirungkai sebagai perubahan dalam sistem pendidikan diyakini mampu meningkatkan produktiviti.

Persoalannya, apakah cabaran dan tanggungjawab mengubah sistem pendidikan negara ke arah kemajuan negara?

Maka, indikator pertama;
Transformasi Pendidikan Prasekolah, Budaya Inovasi Dijulang.
Hadirin Sekalian,
Dalam intipati-intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), telah ditekankan bahawa akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan harus diperluaskan. Pendidikan prasekolah dapat dijelaskan sebagai pendidikan yang tidak formal serta kaedah pembelajaran dan pengajarannya menggunakan pendekatan belajar melalui bermain. Hal tersebut menitik beratkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, berdasarkan PPPM, kementerian akan memastikan semua kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan berpeluang mengikuti pendidikan awal tanpa mengira status sosioekonomi mereka. Konvensyen Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Prasekolah Kebangsaan 2013 di Subang Jaya, Selangor bertujuan menghasilkan model PdP menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek sebagaimana yang terkandung dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Selain itu juga bertujuan dalam memberi fokus menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan telah membuka langkah kanan dalam menaiktarafkan pendidikan negara terutamanya di peringkat prasekolah.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Indikator kedua;
Tansformasi Pendidikan Industri Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.
Kementerian Pelajaran telah menaiktarafkan pendidikan Vokasional kepada sistem pendidikan Kolej. Pendedahan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran khususnya tenaga kerja dalam negara dipertingkatkan apabila pendidikan Kolej Vokasional dan Teknik dijadikan teras. Oleh itu, maka mudahlah pelajar mendapatkan pekerjaan sebagai tenaga mahir dan separuh mahir dalam sektor perindustrian, perdagangan dan pertanian. Prakarsa kerajaan terutamanya melaksanakan program formal pendidikan kolej vokasional dan teknik melalui agensi-agensinya iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia Dan Sukan, dan MARA, telah melahirkan tenaga mahir dan separa mahir dalam bidang teknikal dan vokasional disamping pengetahuan teknologi.Hal ini jelas menunjukkan bahawa sistem pendidikan kolej vokasional dan teknik dapat dipertingkatkan melalui pendedahan awal ketika usia remaja lagi.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Indikator ketiga;
Transformasi Pendidikan Dicanai, Sistem Pendidikan Negara Diperkasa.
Tranformasi pendidikan juga dapat dilakukan dengan memantapkan sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK dapat dijelaskan sebagai satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dalam pelbagai aspek. Perlaksanaan dasar-dasar seperti dasar 1 Murid 1 Sukan serta dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), telah membabitkan perubahan dalam bentuk kandungan penjadualan waktu dan memberikan penekanan kepada pembelajaran yang menyeronokkan selain memberikan penekanan lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Anugerah Tokoh Kanak-kanak, Pingat Hang Tuah, Olahragawan dan Olahragawati serta Tokoh Nilam Kebangsaan telah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan keberkesanannya dalam penerapan nilai murni melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini berhasil. Hal ini jelas menunjukkan melalui sistem pendidikan negara berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan akan melahirkan seorang modal insan, ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berbakti.

Nah! Sudang terang lagi bersuluh, secara izharnya, prakarsa cabaran dihadapi dengan efisien dan bukan bersifat evasif menuntut kepada tanggungjawab yang jujur, dan penghayatan pendidikan secara holistik. Apabila kesemua ramuan ini kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama seiring dengan hasrat kerajaan merintis peluang yang lebih luas ke arah keberhasilan rakyat yang berpendidikan tinggi dan berdaya saing di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025). Akhir kata, maka benarlah bahawa Canai Cabaran, Galas Tanggungjawab Transformasi Pendidikan Negara.

Pergi ke pasar menjual sayur,
Menjual sayur hasil dari kebun,
Maafkanlah jika diriku tidak menghibur,
Salah dan terkasar kumohon ampun.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply