Pidato : Tajuk Cabaran Keluarga Hari Ini.

Tajuk Pidato: Cabaran Keluarga Hari Ini.

Bismillahhirahmanirrahim, Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada Encik Husin bin Abdul Rahman selaku Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Yang Berusaha Pengarah Insititut Perguruan Perempuan Melayu Melaka Puan Noorhayatee bt.Mohd. Noor, Ketua- ketua Jabatan, pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan guru pelatih sekalian. Alhamdullillah, bertemu kita pada pagi yang diberkati dalam majlis Pertandingan Pidato Peringkat Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.

Berdirinya saya di pagi indah ini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Cabaran Keluarga Hari Ini. Ia akan mengupas cabaran yang dihadapi oleh keluarga masa kini. Sebagaimana kita sedia maklum ,keluarga merupakan sesebuah institusi penting dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dan seimbang dari jasmani , emosi , rohani dan juga intelek. Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 dan juga menepati prinsip Islam Hadhari. Jika pincang sesebuah institusi keluarga, maka pincanglah masyarakat dan negara. Oleh yang demikian,kita mestilah memupuk dan memelihara keharmonian di dalam sesebuah keluarga bagi membentuk sebuah negara yang cemerlang,gemilang dan terbilang

Para hadirat sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin menyatakan definisi mengenai keluarga itu sendiri dalam konteks ilmiah.Menurut Dewan Siswa, Mac 1995, keluarga ialah sekumpulan ibu bapa dan anak-anak. Jika dibuat analisis lanjut,kita, institusi keluarga terdiri daripada bapa sebagai ketua, ibu sebagai timbalan ketua dan anak-anak. Menurut Kamus Dewan Edisi Baru Cetakan 1989,cabaran ialah sesuatu unsur atau faktor yang menguji dan sebagainya yang menguji kemampuan dan ketabahan.

Hadirin yang saya hormati,

Anak anak umpama kain putih ,ibu bapalah yang bakal mencorakkan anak ini sama ada bakal jadi Kristian atau Buddha seperti hadis Nabi Muhammad S.A.W. Menurut pandangan Saidina Umar Al Khattab pula jika ingin melihat nasib negara pada masa akan datang lihatlah pada generasi remaja pada masa kini. Berdasarkan hadis Bukhari dan Muslim, anak-anak dilahirkan dalam keadaan sedia untuk dididik oleh ibu dan bapa. Hasil didikan ini kelak bakal melahirkan manusia seperti Albert Enstein, Thomas Edison, Ibnu Sina, George Soros , dan sebagainya. Namun demikian menurut Islam, mendidik seorang anak bermula dari saat percantuman benih ibu dan bapa. Konsep ini berbeza sedikit dengan konsep ilmu secara global di mana anak dididik selepas ia dilahirkan ke dunia.

Di sini kita lihat betapa pentingnya keutuhan institusi keluarga kerana jika tiada penerapan ilmu kekeluargaan dan pendidikan agama maka keluarga itu akan mengalami kepincangan. Maksud kepincangan itu sendiri bermaksud ketidaktentuan dan tidak lengkap. Matlamat berkeluarga ialah untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Dalam memastikan hasrat murni tersebut, ada di antara pihak yang gagal dalam menentukan haluan hidup bekeluarga. Kegagalan ini mungkin berpunca daripada keluarga itu sendiri atau faktor persekitaran yang mendorong kepada keruntuhan institusi keluarga itu sendiri.

Para hadirat sekalian,

Pendidikan yang tinggi , status unggul kebijaksanaan serta hormat terhadap orang tua mulai pudar. Anak anak beranggapan mereka sudah mencapai pengertian dalam membuat sesuatu keputusan. Sifat keakuan telah mempengaruhi tindakan dan keputusan mereka. Keputusan penting seperti nikah kahwin , kerjaya dan cara hidup tidak lagi dirujuk kepada keluarga. Dulu hal hal sedemikian dipastikan dirujuk kepada keluarga bukan sahaja kepada ibubapa malah oleh datuk , nenek dan sanak saudara terdekat.

Hadirin yang saya hormati,

Seandainya kita lihat senario keluarga pada masa kini,kita tidak dapat menafikan keluarga hari ini menghadapi cabaran hidup yang lebih besar daripada dahulu. Dalam arus kemodenan dan era globalisasi,keluarga yang tidak mementingkan pendidikan akan terus ketinggalan dari segi penghayatan ilmu, manakala keluarga yang tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh akan terjerumus dengan segala macam gejala salah laku yang tidak bermoral. Sebenarnya, kunci kejayaan sesebuah keluarga yang berjaya ialah iman, ilmu dan amal.

Para hadirat sekalian,

Gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah ,masalah displin, seks bebas , rempit atau lumba haram , peningkatan kadar kes jenayah yang dilakukan oleh juvana dan sebagainya menuntut kita sama sama berperanan mengatasi permasalahan ini. Mengapa gejala ini semakin berleluasa dan membimbangkan ? Apakah nilai nilai murni yang diamalkan oleh kita sebagai bangsa Timur semakin terhakis dalam mengejar kemajuan material? Oleh itu sama samalah kita mencari jalan penyelesaiannya. Lihat sahaja kes kes yang tidak pernah kita dengar dan berlaku kini dalam masyarakat kita. Kes anak sanggup membunuh ibunya sendiri akibat pengaruh dadah , ibu bapa melacurkan anaknya sendiri , bapa merogol anak perempuannya sendiri dan banyak lagi yang tidak sanggup saya perkatakan di sini.

Apa yang ingin saya jelaskan disini ialah pengaruh media massa seperti televisyen, video, bahan bercetak dan laman laman web yang mengandungi unsur negatif begitu mudah sahaja diadaptasi dan mempengaruhi pemikiran anak anak. Perkara ini pula berterusan apabila mereka menjadi agen penyebaran kepada rakan sebaya mereka .Janganlah kita beranggapan bahawa yang datang dari Barat kesemuanya baik dan ketahuilah banyak perbezaan dari sudut budaya dan juga agama kita.Lihat sahaja bagaimana mereka memanggil nama ibu bapa mereka seperti John , Marie tidak seperti kita yang memanggil dengan gelaran ayah , ibu , bonda dan sebagainya.

Para hadirat sekalian,

Dalam mengatasi cabaran sedemikian , hanya perhatian dan kasih sayang mampu menjadi penawarnya. Luangkanlah masa walau beberapa jam sahaja kepada anak- anak dan beri tumpuan sepenuhnya kepada aktiviti seharian mereka. Apa yang paling penting , ketegasan dalam mendidik anak anak perlu berlandaskan ilmu agama dan fikiran yang rasional. Hassan Al Banna seorang tokoh terkemuka menyatakan tiga unsur yang menjadi tonggak dalam membina keluarga dan persaudaraan . Pertama ialah taaruf iaitu saling kenal mengenal , diikuti dengan tafahum iaitu saling memahami dan yang terakhir ialah takaful iaitu saling tolong menolong.

Para hadirat sekalian,

Fenomena dan gejala tidak sihat dalam masyarakat, pada terasnya berpunca daripada keretakan hubungan kekeluargaan. Cara kita menghargai keluarga perlu diubah. Ini bermakna kita bukan sahaja melengkapkan keluarga dengan keperluan material sahaja, namun apa yang paling penting ialah perhatian dan kasih sayang. Rata-rata bapa sebagai ketua keluarga perlu kembali memasnifestasikan hubungan kasih sayang dan mewujudkan jalinan komunikasi kekeluargaan. Perasaan mahu dihargai amat diperlukan kerana anak dan isteri mahu suara mereka didengari. Interaksi dua hala amat penting bagi mewujudkan komunikasi terbuka supaya kedua-dua pihak dapat memahami masalah masing-masing dan memberi peluang antara ahli keluarga merapatkan lagi hubungan sillaturrahim.

Hadirin yang dihormati,

Cuba kita fikirkan bersama benarkah anak-anak pada masa dahulu, iaitu pada zaman orang-orang tua kita lebih terpelihara akhlaknya ? Apakah asas didikan yang diguna pakai oleh mereka dahulu dalam mengajar anak-anak?. Jawapannya tentulah asas agama yang kukuh. Jika dahulu, anak-anak diterapkan dengan pendidikan agama yang sempurna dengan peranan ibu bapa sebagai teladan. Anak-anak pula dididik dengan ajaran yang tegas misalnya anak perempuaan tidak dibenarkan keluar rumah dan bergaul dengan lelaki yang bukan muhrim dan tahu akan batas-batas pergaulan. Mereka pada zaman dahulu juga tidak terdedah dengan segala macam pengaruh media massa yang merupakan agen sosialisasi yang mempunyai kesan yang kuat kepada diri anak-anak. Adakah cabaran keluarga pada masa dahulu tidaklah seberapa hebat jika hendak dibandingkan dengan masa sekarang? Sama-samalah kita fikirkan.

Para hadirat sekalian,

Menurut Saudari Asiah Ahmad dalam artikelnya yang bertajuk Cabaran Keluarga terbitan Dewan Siswa Mac 1995, beliau menyarankan empat cara bagaimana menanam minat terhadap keluarga. Cara pertama ialah kita perlu mengenali keluarga. Minat dalam ertikata ingin tahu, ingin bersama, ingin mengharungi apa jua bersama- sama selagi hayat dikandung badan. Walau apa pun yang terjadi dalam kehidupan yang pasang surut ini, minat terhadap keluarga sendiri perlu disemai supaya sentiasa segar. Apabila anak-anak sudah pandai berkawan, ibu bapa perlu mengambil tahu tentang siapakah kawan anak-anaknya. Pemantauan awal akan dapat menyelamatkan anak-anak daripada berkawan dengan kumpulan yang salah.

Kita sendiri sedia maklum dalam sistem sosial, peranan rakan sebaya amat berkesan.Jika remaja mendapat rakan yang rosak,kemungkinan mereka untuk terpengaruh dengan tingkahlaku negatif adalah besar. Selain itu, ibu bapa juga perlu memperkenalkan kawan-kawan mereka kepada anak-anak.Hal ini penting untuk anak-anak mengenal ibu bapa mereka daripada pandangan orang luar. Begitu juga ibubapa yang perlu mengenali dengan siapa rakan rakan anak mereka. Melalui hubungan ini juga anak-anak akan lebih menghargai ibu-bapa mereka.

Para hadirat sekalian,

Sekarang beralih pula ke langkah yang kedua iaitu komited terhadap keluarga. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah setakat seperti memberi keperluan asas. Perkara yang lebih penting ialah kasih sayang. Kasih sayang perlulah meliputi aktiviti-aktiviti membina kualiti keluarga, kualiti ibu dan bapa dan kualiti anak-anak. Disamping menekankan pencapaian cemerlang dalam pelajaran anak-anak, ibu bapa perlu memerhati keupayaan anak-anak dan segala usaha mereka dalam melakukan yang terbaik perlu dihargai. Selain itu, tugas-tugas ringan seperti membasuh pinggan,menyapu sampah dan mengemas katil juga perlu sentiasa diperhatikan supaya anak-anak merasa mereka dihargai.

Hadirin yang dihormati,

Langkah yang seterusnya ialah, mendorong ke arah mewujudkan keupayaan. Ia berkait rapat dengan kebolehan dan bakat setiap ahli keluarga. Ibu bapa perlu mengenalpasti setiap kebolehan,minat dan bakat anak-anak supaya mereka dapat mengembangkan potensi masing-masing. Walau bagaimanapun, anak-anak tidak boleh dibezakan dari segi keupayaan dan kebolehan kerana tahap masing-masing adalah berbeza. Setiap anak dianugerahkan Allah S.W.T dengan keistimewaan masing-masing. Berdasarkan minat dan kenal anak-anak sendiri,ibu bapa akan lebih berjaya mendorong anak-anak kearah pemupukan nilai-nilai murni terutamanya bagi remaja yang sedang mencari identiti diri.

Para hadirat sekalian,

Langkah seterusnya dalam mengukuhkan ukhwah kekeluargaan ialah mewujudkan program keluarga. Program keluarga adalah program santai atau program lawatan yang memerlukan kelapangan diri dan fikiran untuk dinikmati bersama. Ibu bapa perlu menggalakkan aktiviti seperti perkhemahan keluarga, sembahyang berjemaah,makan bersama dan lain-lain aktiviti riadah. Ada masanya keluarga boleh menonton program televisyen bersama-sama. Ini akan memberi peluang kepada setiap ahli keluarga lebih mengenali antara satu sama lain.

Hadirin yang dihormati,

Saya sekali lagi menekankan idea sistem kekeluargaan yang mantap dan teras sebagai asas kepada sebuah masyarakat yang kukuh dan berjaya amat penting.Usahlah kita melabelkan mereka dengan pelbagai tanggapan negatif seperti anak nakal , degil , bodoh dan sebagainya kerana setiap tutur kata yang lahir dari ungkapan ibubapa adalah doa. Saya juga ingin tegaskan di sini bahawa cabaran dalam membentuk keluarga yang harmoni pada masa kini adalah lebih hebat dan mencabar jika hendak dibandingkan dengan masa dahulu.

Sebelum saya mengakhiri pidato saya pada hari ini , saya ingin membuat satu kesimpulan bahawa ibu bapa adalah faktor terpenting dalam mencirikan anak-anak. Mengikut Wan Hassan Wan Embong dan Siti Norlina Muhamad (2006), gejala keruntuhan akhlak yang berlaku kini sering dikaitkan dengan kerapuhan institusi keluarga. Keadaan ini dikatakan berpunca daripada kejahilan sebahagian besar ibu bapa terhadap peranan dan tanggungjawab mereka kepada keluarga.

Institusi keluarga merupakan satu unit masyarakat kecil yang berperanan sebagai satu lembaga yang menentukan corak dan bentuk masyarakat. Ia harus di manfaatkan untuk tempat menjana nilai-nilai kekeluargaan dan kemanusiaan. Kasih sayang, rasa aman dan bahagia serta perhatian berat yang dirasai oleh seorang ahli keluarga mampu membentuk keyakinan dan kepercayaan pada diri sendiri untuk menghadapi persoalan dan cabaran hidup yang semakin mencabar.

Saya akhiri pidato saya dengan ucapan sekian,terima kasih.

BIBLIOGRAFI

1.Abdul Aziz Abdul Rahman (1998) . Pengajian Am : Penulisan Esei , Pustaka Sarjana Sdn.Bhd

2.Dewan Siswa Mac 1995 Dewan Bahasa Dan Pustaka

3.Hassan Al Banna ( 1988). Konsep Pembaruan Masyarakat Islam,Thinkers Library Sdn.Bhd

4.Kamus Dewan Edisi Baru Terbitan 1989,Dewan Bahasa Dan Pustaka

5.Kassim Ahmad (1998), Esei esei Politik , Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd

6.Ustaz Abdul Aziz , ( 1995) Kursus Dan Bimbingan Perkahwinan,Darul Numan

Sdn. Bhd

7.Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan(1999) . Tamadun Dunia, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd

8.Abd Rahim Abd Rashid dan Che Hashim Hassan (2006) .Krisis dan Konflik Institusi keluarga,Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd

INSTITUT PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU MELAKA

KERJA KURSUS PENDEK

BAHASA MELAYU KOMUNIKASI

PIDATO

NAMA PELAJAR :NOORHASMIZA BINTI YASIM

NO K.P :791123-11-5144

KUMPULAN/UNIT :KPLI JAN 2008 PEMULIHAN DUA

NAMA M/PELAJARAN:BAHASA MELAYU KOMUNIKASI

NAMA PENSYARAH:EN.MOHD.HANAFI B. ABU BAKAR

TARIKH SERAHAN:5 MAC 2008

10

10

loading...

Leave a Reply