Text Pidato : UMNO 10 TAHUN AKAN DATANG : MASIH RELEVANKAH LAGI?

5

UMNO 10 TAHUN AKAN DATANG : MASIH RELEVANKAH LAGI?

Perdana Menteri United Kingdom, Sir Winston Churchill pernah berpesan Sejarah ditulis oleh mereka yang menang. Manakala kata-kata besar sehebat pemimpin de facto UMNO Tun Mahathir yang sangat dikenali dengan puisi bertajuk Melayu Mudah Lupa telah membawa saya berdiri segak bersetanjak di pentas ini mengajak saudara dan saudari menghayati sebuah pidato berpaksikan tajuk UMNO 10 TAHUN AKAN DATANG : MASIH RELEVANKAH LAGI?

Terimakasih seharum mawar kasturi kepada pimpinan majlis, Yang Berhormat Dato-Dato dan Datin-Datin, dif-dif kehormat, barisan panel juri berintelektual serta berkarisma seterusnya sidang hadirin pencetus dan penerus semangat berjati diri UMNO yang saya muliakan.

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Hadirin,

Secara lateral dan konseptual, frasa UMNO 10 TAHUN AKAN DATANG membawa maksud suatu persoalan lazim, berhubung masa hadapan satu pertubuhan politik bangsa Melayu di tanahairnya sendiri; manakala rangkai kata MASIH RELEVANKAH LAGI adalah satu lontaran cambah minda yang menanyakan kelangsungan parti keramat ini dalam era liberalisasi politik.

Maka, demi maruah anak cucu bangsaku yang akan meneruskan kelangsungan UMNO ini, izinkan saya kupas dan hurai satu persatu.

Sidang hadirin,

Pertamanya seperti yang saya sentuh dalam pembuka bicara. S.E.J.A.R.A.H. Sejarah UMNO sangat hebat, hebatnya UMNO seringkali diuji dan berjaya melepasi secara terpuji sejak dari penubuhannya tanggal 11 Mei 1946 di Johor Bharu. Dato Onn Jaafar mengetuai Kongres Melayu Se Malaya yang berjaya melenyapkan Malayan Union. Namun, beliau mengambil keputusan meninggalkan UMNO 5 tahun selepas itu iaitu pada tahun 1951.

Terus diuji demi ujian dalam proses menuntut kemerdekaan hinggalah Pengisytiharan Kemerdekaan pada pagi 31 Ogos 1957. Ribuan jiwa tersentuh apabila Union Jack diturun dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu di Padang Kelab Selangor atau kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.

Bangsaku!

Kejayaan menubuhkan MARA pada 1966 bagi memperkasa ekonomi bumiputera, ujian Peristiwa 13 Mei 1969 membawa kepada pemecatan Dr. Mahathir Mohamed dari UMNO, lahirnya Tabung Haji pada 1969, tertubuhnya Petronas pada 1974 mengukuhkan ekonomi negara, kembalinya GUTHRIE kepada pengurusan milik negara 1981, peristiwa Memali 1985, UMNO diharamkan 1988, pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998 yang mewarnai lanskap politik sehinggalah hari ini tahun ke 68!

Nah! UMNO memahat sejarah, mengukuh dan terus relevan!

Sidang saksi bermisi,

Kupasan kedua saya, UMNO untuk terus relevan adalah wajib bersikap DOMINAN yang bertolerasi. Formula Parti Perikatan yang bertanding di pilihanraya majlis bandaraya pertama dengan simbol kapal layar, diteruskan atas nama Barisan Nasional pada 1973 berlogokan dacing biru sehinggalah hari ini UMNO mendominasi. Setiap kali berjaya membentuk kerajaan negeri mahupun persekutuan semangat toleransi adalah qiblatnya.

Kesefahaman unik ini sangat memperkasakan Barisan Nasional biarlah yang masuk dan keluar dalam arena politik tanahair tercinta dengan berbagai nama. Angkatan Perpaduan Ummah, Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan terkini Pakatan Rakyat.

Bangsaku!

Kita tidak boleh selamanya mendabik dada dengan rekod ini. PRU ke 13, rakan kita dalam MCA bagai dibelit-belit untuk melepaskan diri, MIC seolah-olah dipaku dan terpaku. Syukurlah rakan komponen dari Sabah dan Sarawak mewakili pribumi memberi kepercayaan penuh kepada Barisan Nasional. Kepercayaan ini telah berbalas dengan lebih ramai wakil Sabah dan Sarawak dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan.

Masihkah anda ingat, pemimpin kelahiran Melaka Tun Ghafar Baba pernah menjadi orang tengah dalam kemelut dalaman MCA pada tahun 1985? Hebat rupanya orang Melaka!

Bertoleransilah dan jangan tamak. Keyakinan pengundi tidak banyak mahupun sedikit, telah dizahirkan apabila rakan komponen Gerakan berjaya menewaskan DAP dalam PRK Teluk Intan 31 Mei minggu lalu sedangkan wakil Gerakan yang sama telah tewas lebih 7000 undi dalam PRU 2013. Tahniah jentera UMNO! Tahniah jentera BN yang telah bekerja siang dan malam memasti kemenangan! Ternyata UMNO yang mendominasi BN masih relevan.

Perhatian hadirin.

Diteruskan dengan kupasan saya yang ketiga, terakhir dalam pidato hari pagi ini. Tunaikan janji, perbaiki diri bergerak mendampingi.

Sidang penonton yang penuh santun,

Alhamdulillah. Sebulan lalu 11 Mei 2014 seluruh kepimpinan berkumpul di PWTC Kuala Lumpur bertahlil, bersolat berjamaah, membaca surah Yassin dan berdoa dalam suasana penuh kesyukuran meraikan ulangtahun penubuhan UMNO berkeramat ini.

Presiden UMNO dalam ucapan majlis tersebut meminta agar lebih 20,000 cawangan UMNO di seluruh negara memperhebatkan gerak kerja parti dalam usaha memperkukuh dan memantapkan kekuatan UMNO di peringkat akar umbi dalam menghadapi cabaran pada masa yang akan datang.

Saudaraku.

Sekiranya 20,000 cawangan UMNO di seluruh negara ini bergerak insyaAllah, UMNO akan mempunyai kekuatan yang baru untuk memastikan kejayaan parti ini pada masa akan datang dan terus relevan.

Sebagai sebuah parti yang ingin terus berkuasa, ahli-ahli UMNO perlu melihat kepada kekuatan masing-masing dan disamping itu juga, harus menyedari di mana kelemahan dan kekurangan yang boleh diperbaiki.

Segala kekurangan dan kelemahan itu perlulah kita tampung dan ahli-ahli UMNO perlu lakukan muhasabah sepanjang masa. Inilah asas kejayaan kita selama ini. Dan kejayaan inilah yang mesti kita pupuk dan mesti diperkuatkan lagi.

Dalam persekitaran politik hari ini, ahli-ahli UMNO tidak boleh bergantung kepada kawasan luar bandar sahaja. UMNO perlu mengekalkan sokongan di luar bandar dan disamping itu perlu memberikan tumpuan terhadap pengundi di kawasan bandar.

Penglibatan golongan intelek dan cendekiawan yang mesti diberi tempat dan ruang di dalam UMNO untuk berkhidmat, agar UMNO tidak ketandusan nilai intelek dalam kepimpinan UMNO di semua peringkat. UMNO juga perlu menarik golongan ulama untuk duduk sebaris dengan kita, kerana kerjasama antara golongan ulama dan umarak amat penting demi Islam dan masa depannya.

Selain itu, UMNO juga perlu melihatkan kebangkitan media sosial yang kebanyakannya dikuasai oleh golongan muda di mana Malaysia merupakan pengamal media sosial antara terbesar di dunia. Namun diingatkan jangan sesekali memberi input dan info yang semberono sahaja.

Jika kita sebut tentang Islam, UMNO merupakan parti yang paling besar sekali sejarah dan jasanya dalam memertabatkan Islam di tanahair ini. Sebab itulah asas perjuangan untuk Islam berpaksi kepada maqasid syariah.

Begitu juga dengan pendekatan konsep wasatiyah yang kita amalkan di mana tonggaknya adalah keadilan bukan sahaja kepada umat Islam, tetapi juga kepada bukan Islam. Wasatiyah juga bererti kecemerlangan, kesimbangan, kesederhaan di mana ianya berada di tengah-tengah antara pemahaman yang ekstrim dan liberal.

Sidang bangsaku,

Kesimpulannya, untuk terus relevan UMNO tiada pilihan melainkan perlu merujuk sejarah, melihat asas perjuangan. Untuk kekal relevan, ayuh kita pahatkan tindakan yang mendominan terus bertoleransi. UMNO tunaikan janji perbaiki diri agar bukan hanya 10 tahun, malah ratus ribuan tahun UMNO kekal relevan memayungi bangsa Malaysia!

Sekian, terima kasih.

loading...

Leave a Reply