Skrip Pidato Kump Rani, Sue, Jess (Autosaved)

3

SKRIP PIDATO

GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA

Senyuman manis tandanya mesra,

Terdetik cinta si bujang dan dara,

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara,

Penggerak harapan Wawasan Negara.

Yang dihormati saudara pengerusi majlis. Yang berbahagia, Encik pensyarah Bahasa Melayu dan Komunikasi bagi Program Pensiswazahan Guru Ambilan Jun 2012 dan seterusnya hadirin-hadirat yang saya kasihi sekalian. Salam Perpaduan dan salam

1 Malaysia pembuka bicara.

Berdirinya saya di atas persada indah dalam Dewan Kuliah ini, tidak lain dan tidak bukan, kerana ingin menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Sebelum lancang menuju ke muara, sebelum kata membelah bicara, sebelum isi menyusur hujah, izinkan saya mendefinisikan frasa yang membina tajuk pidato saya pada hari ini agar hadirin terbuka minda dan saya semakin petah berkata-kata, seperti kata orang dahulu kala;

Yang buta tidak teraba-raba,

Yang pekak tidak tertanya-tanya,

Yang kecil tidak terambin-ambin,

Yang pendek tidak tertinjau-tinjau.

Menurut Kamus Dewan(2006), istilah guru bolehlah didefinisikan sebagai orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Manakala maksud penjana pula adalah sesuatu alat yang digunakan untuk menjana atupun untuk menggerakkan sesuatu. Perkataan transformasi pula bolehlah ditakrifkan sebagai perubahan yang melibatkan sifar, rupa, keadaan dan lain-lain. Akhir sekali negara membawa maksud suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan ataupun kawasan yang di bawah kekuasaan kerajaan tertentu atau negeri. Daripada maksud tersebut dapt dirumuskan bahawa guru sebagai pendidik berperanan sebagai peneraju atau penggerak utama dalam merealisasikan perubahan kurikulum di Malaysia.

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Pendidikan merupakan wadah utama dalam pembangunan sesebuah negara kerana ia mempunyai nilai bagi menjamin kemajuan sosial sesebuah negara. Ia juga mencerminkan dan berperanan sebagai alat untuk mewujudkan jati diri dan keperibadian sesebuah masyarakat madani yang unggul yakni modal insan kelas pertama. Malaysia pula, pada tahun 1991, telah menanam azam untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020. Menyedari hakikat inilah, maka tercetuslah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006- 2010) bagi melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP 2006-2010 telah menggariskan enam teras pembangunan iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Pada bahu guru-gurulah terpikul 6 teras yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan. Persoalannya sekarang, apakah kualiti seorang guru sebagai penjana transformasi pendidikan? Persoalan inilah yang saya akan jawab satu persatu melalui wacana, Kualiti seorang guru dari aspek intelek, kerohanian, jasmani dan emosi.

Hadirin-hadirat yang dikasihi sekalian,

Wacana saya yang pertama, kualiti seorang guru dari aspek intelek. Tuan-tuan dan puan-puan, guru-guru adalah dituntut supaya sentiasa mempertingkatkan kemahiran dan kecekapan profesionalisme untuk mengharungi cabaran baru dunia pendidikan baik dari segi sukatan kurikulum, mahupun kaedah mengajar. Guru juga perlu mempunyai daya kreativiti dan inovatif iaitu kebolehan untuk mencipta dan menghasilkan sesuatu idea baru, serta kebolehan mengubahsuai sesuatu idea menjadi lebih menarik Guru harus sentiasa merebut peluang untuk menimba pengalaman dan pengetahuan yang terkini melalui latihan-latihan dalam perkhidmatan yang disediakan seperti kursus pemugaran dan Program Pensiswazahan Guru.

Wacana saya yang kedua, kualiti guru dari segi aspek kerohanian. Guru juga perlu memiliki sahsiah atau tingkah laku yang baik dan terpuji. Nilaitara sahsiah atau tingkahlaku yang baik ini adalah terkandung di dalam Etika dan Tatasusila Profesion Keguruan . Guru juga perlu memiliki pegangan agama yang kukuh.Dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Negara , agama diletakkan di tempat yang tertinggi. Pegangan agama yang kuat akan menyebabkan seseorang guru itu menjadi bertanggungjawab terhadap tugasnya, berilmu , berprinsip serta amanah.

Wacana saya yang ketiga, kualiti guru dari aspek jasmani. Sidang hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian, kesihatan yang baik adalah penting agar kita dapat menjalankan tugas sebagai guru yang berkualiti sehingga tamat tempoh perkhidmatan. Tahap kesihatan yang unggul akan pastinya memberikan kelebihan untuk seseorang guru itu untuk berkhidmat dengan lebih efisien. Berkualiti dari aspek jasmani juga meliputi ciri-ciri berketrampilan yang baik. Etika berpakaian, gaya tutur kata dan tingkah laku mestilah menampakkan ketrampilan dan kewibawaan seorang guru yang berkualiti. Berpakaian kemas, bersopan-santun dalam pertuturan dan berpewatakan mulia membolehkan seorang guru itu dicontohi seseorang murid.

Selain daripada itu, guru perlu memiliki kemahiran bercorak fizikal iaitu kemahiran berkomunikasi dan kemahiran fizikal. Kemahiran komunikasi ialah semasa berhubung dengan pelajar, ibubapa , masyarakat dan pihak pengurusan sekolah. Kemahiran fizikal pula adalah kemahiran dalam sesuatu aktiviti sukan dan mana-mana unit beruniform bertujuan untuk melatih pelajar melibatkan diri dalam kokurikulum yang amat penting dalam pembentukan jati diri murid-murid.

Wacana saya yang keempat, kualiti guru dari segi emosi. Guru haruslah sentiasa menghayati 12 nilai murni teras Etika Kerja Perkhidmatan Awam dan nilai-nilai murni norma. Guru juga harus mempunyai pemikiran yang positif dalam menjalankan tugasnya dan menganggap bahawa murid-murid adalah permata negara yang perlu dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Selain dari keempat-empat kualiti yang telah saya sebut, seseorang guru itu harus juga mempunyai lima kualiti peribadi bagi menjana transformasi pendidikan.

Pertama, seorang guru harus sentiasa menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjuruskan seorang guru dan warganegara yang baik mempunyai ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara; berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

Kedua, sentiasa menanam sifat ingin tahu. Sifat ini akan mendorong kita mempelajari dan menyesuaikan diri dalam dunia pendidikan yang sering berubah-ubah.

Ketiga, minat suka membaca dan membuat rujukan yang meluas dalam pelbagai bidang memberi keyakinan kepada kita untuk menyampaikan pengajaran dengan lebih efektif dan mengekalkan kualiti professional keguruan.

Keempat, mempertingkatkan kebolehan menggunakan ICT. Tuan-tuan dan puan-puan, seseorang guru haruslah bersikap lebih proaktif dan bermotivasi untuk mendalami ilmu penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) Guru-guru perlu seharusnya berupaya untuk menyesuaikan pengajaran mereka dengan keadaan semasa dan mengaplikasikan kaedah-kaedah pengintegrasian teknologi terkini yang relevan dalam masyarakat bermaklumat.

Kelima, memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Guru harus akur akan peranan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah. Usaha ini adalah selari dengan usaha untuk menjadikan anak-anak murid mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama, penguasaan Bahasa Inggeris oleh kalangan guru juga amat penting dan sesuai dengan statusnya sebagai bahasa antarabangsa. Guru perlu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana perkembangan sistem pendidikan negara masa kini memerlukan para guru untuk menguasai bahasa Bahasa Inggeris dengan baik.

Dan yang keenam, sentiasa meningkatkan kemahiran pedagogi. Pengenalan Kurikulum standard Sekolah Rendah (KSSR) membuka lembaran baru kepada guru-guru agar meneroka kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang yang lebih kreatif sebagai langkah untuk untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk menjana kemajuan negara, Sehubungan dengan itu, guru harus berusaha mengaplikasi program pendidikan dan kaedah-kaedah pembelajaran terkini bagi mempertingkatkan keupayaan, ketahanan, prestasi dan relevansi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Tugas dan tanggungjawab yang kian mencabar memerlukan seorang guru melaksanakan pelbagai peranan yang mencakupi tugas sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia dan sebagainya. Guru harus bijak untuk memainkan peranan mengikut tuntutan tugas semasa. Bahkan guru juga harus berupaya untuk membuat keputusan dan menyelesaikan sesuatu permasalahan secara kritis dan kreatif.

Guru juga berperanan sebagai agen perpaduan. Pelaksanaan RIMUP daripada aspek domain akademik sememangnya menyumbang kepada integrasi nasional. Oleh itu, pihak sekolah perlu meningkatkan lagi aktiviti yang berkaitan dengan akademik seperti bimbing akademik, program motivasi, seminar menjawab soalan peperiksaan dan sebagainya. Guru perlu memberi penekanan yang tinggi kepada aspek kenegaraan yang merentasi semua mata pelajaran supaya murid murid-murid dapat mengamalkan prinsip Rukun Negara, rasa cintakan negara dan mengamalkan semangat perpaduan antara kaum. Guru juga berperanan mendedahkan murid-murid dengan aktiviti khidmat masyarakat demi meningkatkan modal integrasi masyarakat prihatin yang amat penting dalam perpaduan dan pembentukan masyarakat madani.

Hadirin dan hadirat sekalian.

Setelah frasa demi frasa tajuk pidato saya ini dikupas, maka dapatlah saya membuat rumusan bahawa para guru memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan tranformasi pendidikan berjaya dilaksanakan. Izinkan saya memetik ungkapan seorang reformer sosial berbangsa Inggeris, John Ruskin. Menurut beliau, Apa yang kita fikir, apa yang kita tahu atau apa yang kita percaya sebenarnya adalah tidak begitu penting kerana apa yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan.

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa, tersalah kata, tersilap sebut atau tercanggah gerak tangan, mulut, kepala dan mata. Saya mengakhiri pidato saya ini dengan kata mutiara Sasterawan Negara Usman Awang, Lahirnya seorang Perdana Menteri, Doktor, peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya baca dan tulis. Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk dada tanya selera.

Sekian, terima kasih.

3

loading...

Leave a Reply