Pidato : Kalau Udang Dibuat Gulai,

Kalau udang dibuat gulai,

Daging rusa dimasak kari;

Kalau wang jadi pemakai;

Budi bahasa pengiring diri.

Assalamualaikum w.b.t. Salam Sejahtera, Salam Satu Malaysia.

Semarak kasih, sekalung budi buat Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang Berbahagia Dr. Abu Bakar Bin Mohd Sheikh, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia, seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan.

Berdiri di sini, saya bukan kerana ingin bercakap kosong apatah lagi bermimpi, tetapi untuk membawa anda semua bersama-sama menyelami pidato yang berbunyi "Budi Bahasa Amalan Mulia.

Hadirin sekalian,

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh, izinkan saya mendefinisikan terlebih dahulu tajuk pidato saya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga budi bahasa ditakrifkan sebagai adat sopan santun. Amalan bermaksud perbuatan kebiasaan. Manakala mulia diertikan sebagai murni, luhur atau terhormat.

Secara sinonimnya "Budi Bahasa Amalan Mulia" juga membawa maksud amalan adat sopan santun yang dapat menyemaikan nilai-nilai murni dalam diri. Sesungguhnya budi bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Persis mutiara kata –

Yang kurik itu kundi.

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi;

Yang indah itu bahasa.

Demikianlah indahnya pantun Melayu yang menggambarkan betapa bersungguh- sungguhnya nenek moyang kita menjaga adab dan pergaulan terutamanya dalam aspek budi bahasa.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Amalan berbudi bahasa amat dituntut dari sudut budaya,peradaban dan agama. Amalan nilai-nilai murni ini dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ingatlah falsafah hidup yang bertunjangkan nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia

Bahasa melambangkan bangsa. Justeru penggunaan bahasa yang sopan dan sesuai perlu diterapkan dalam apa jua keadaan dan masa agar bangsa dan agama kita dapat dinilai sebagai yang terbaik. Kita hendaklah membudayakan budi bahasa sama ada di tempat kerja, di sekolah, rumah hatta di jalanan sekalipun.

Hadirin yang dimuliakan,

Sebelum saya menamatkan lafaz kata bicara saya, izinkan saya menghadiahkan serangkap pantun,

Sedap makan kacang kelisa,

Buah peria pahit dan maung;

Budi bahasa menggabungkan etnik bangsa;

Satu Malaysia sama bernaung.

Justeru, gunakanlah bahasa yang santun, buktikan bahawa kita merupakan masyarakat yang bertamadun ,kaya dengan budi bahasa dan memiliki minda kelas pertama. Inilah sikap dan pemikiran yang amat diperlukan untuk mencapai Wawasan 2020.

Sekian , terima kasih

Leave a Reply