Teks Pidato After : Andai Patah Sayap Rajawali, Bertongkat

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya kemari, bukan kerana ingin bermimpi, tetapi untuk membawa anda semua menyelami mauduk pidato yang berbunyi, Bahasa Jiwa Bangsa Ke Arah Memartabatkan Negara

Terima kasih sejambak mawar seharum kasturi buat pimpinan majlis, barisan respektatif intelektual berkarisma, penjaga masa yang setia akan setiap detiknya, barisan pensyarah berprofesionalisme, seterusnya sidang hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan. Salam sejahtera dan salam satu Malaysia.

Sidang saksi bervisi,

Sebelum kata berungkai bicara, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya hari ini secara literal dan konseptual.

Bahasa Jiwa Bangsa. Satu tema yang begitu dalam erti dan maknanya ini mengajak kita warga Malaysia untuk menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan cerminan jatidiri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya kerana pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah  pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah.

Warga pendengar budiman,

Pidato saya pada hari ini akan mengupas dua komponen utama yakni peranan bahasa kebangsaan ke arah memartabatkan negara di mata dunia.Komponen pertama, bahasa kebangsaan bahasa perpaduan.

Perlembagaan Persekutuan negara memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang kemudiannya diterjemahkan pula melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan misalnya mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Tidak cukup dengan itu, dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dengan melaksanakan dasar-dasar ini, kita bukan sahaja dapat memastikan bahawa kedudukan istimewa Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh masyarakat.

 

 Hakikatnya, Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan bahasa ibunda. Lantaran itu, Bahasa Kebangsaan merupakan wahana perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan dapat memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan sekaligus melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara bersama dan bersungguh-sungguh, maka gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan penggunaan satu bahasa.

Konklusinya hadirin, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu landasan ke arah pewujudan integrasi nasional antara pelbagai kaum yang akan berganding bahu membangunkan negara yang bernama Malaysia ke pentas dunia selaras dengan kata-kata mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ke arah menjadikan negara ini sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Hadirin sekalian,

Pidato ini tiada selingan iklan, lantaran itu, izinkan saya membawa hadirin sekalian kepada komponen pidato saya yang kedua, iaitu bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

 Kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan pada masa yang sama memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar melalui penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Dasar ini adalah seiring sejalan dengan matlamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kita yang menjadikan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa. Ia juga selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, baik dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang lain, adalah berdasarkan kepada keyakinan kita terhadap keupayaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Keyakinan ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset. Pemartabatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.

Persoalannya, apakah sejarah peradaban berbahasa Malaysia itu sangat kerdil sehingga tidak mengizinkannya mencipta ilmu? Jika kita mengimbas sejarah, tradisi keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada Chaucer, di Alam Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu bukan sekadar digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan Hikayat Hang Tuah  adalah antara contoh karya agung bangsa kita yang diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini sekaligus membuktikan  bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa ilmu tinggi.

Hadirin sekalian,

Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk mempertingkatkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Tidak perlulah kita terus bernostalgia tentang kegemilangan masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini. Sedarlah bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, maka secara beransur-ansur bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi releven dengan keperluan semasa, dan akhirnya akan pupus.Tidak guna lagi kita bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa kita, jika ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.

Ingat, sesuatu bangsa itu tidak teguh jika tidak dipertahankan bahasa dan budayanya. Bagai irama dan lagu, bagai isi dengan kuku, bahasa dan budaya adalah intipati utama perpaduan masyarakat sesebuah negara. Bersama-samalah kita berganding bahu di bawah slogan Satu Malaysia ke arah mewujudkan integrasi nasional yang akan memartabatkan negara di pentas dunia. Janganlah kita ketinggalan, biarlah negara kita duduk sama rendah,berdiri sama tinggi setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa.

1 Malaysia, 1 Bahasa, 1 Negara !

Sekian, mohon permisi

Leave a Reply