Teks Pidato Malaysia AMALAN MEMBACA AMALAN MULIA)

TEKS PIDATO

(AMALAN MEMBACA AMALAN MULIA)

Bismillahirrahmanirrahim

Seawal Nabi Adam dicipta, saat itulah penerokaan ilmu bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang Maha Esa, maka terbinalah ketamadunan manusia. Sekalung apresiasi kepada juragan pembawa acara yang berseri, kombinasi kehakiman yang berintegriti, kelompok pendidik yang bestari seterusnya hadirin dan hadirat yang dihormati. Amalan Membaca Amalan Mulia. Begitulah mauduk pidato pilihan di hati untuk dikongsi pada pagi yang ceria ini. Assalamualaikum, salam sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Sidang penonton penuh santun,

Sebelum bahtera berlayar, eloklah kita bersama-sama merungkai mauduk pidato yang termatrai. Menurut Kamus Dewan edisi Keempat, membaca membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis dengan teliti dan memahami kandungannya. Amalan bermaksud sesuatu yang dilakukan sebagai kebiasaan. Mulia pula bermaksud tinggi atau luhur. Berdasarkan definisi yang dinyatakan, dapat kita simpulkan bahawa, amalan membaca amalan mulia menuntut kita untuk mengamalkan budaya membaca bagi menjadikan kita insan yang kaya ilmu pengetahuan serta dapat memandu kita ke arah kehidupan yang lebih maju dan sempurna. Oleh itu, bagi merungkai persoalan ini, tiga perspektif hujah saya unjurkan.

Sidang hadirin yang dihormati,

Hujah saya yang pertama, amalan membaca dapat melahirkan insan berilmu pengetahuan. Kebanyakaan perkara yang berlaku di dunia ini dapat kita ketahui melalui wadah membaca. Semakin banyak bahan ilmiah yang dibaca, semakin banyak pengetahuan yang diperoleh. Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2008 mencatatkan purata hanya dua buah buku dibaca setahun, seterusnya meningkat kepada sebelas buah buku setahun pada tahun 2009. Data ini jelas membukti masyarakat mula sedar mengenai kepentingan amalan membaca untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang tinggi, kejayaan pasti dapat kita dikecapi.

Sidang pendengar yang budiman,

Beralih kepada hujah yang kedua, amalan membaca dapat memacu negara ke arah yang lebih maju. Memetik kata-kata Mantan Perdana Menteri Malaysia yang Keempat Tun Dr Mahathir Bin Mohamad, majunya sesebuah negara adalah dengan memiliki generasi yang berilmu tinggi. Justeru itu, terbuktilah bahawa melalui wadah membaca dalam penerokaan ilmu, sesebuah negara dapat mengorak langkah ke arah kemajuan dalam mendepani era globalisasi yang kian mencabar ini. Sesungguhnya, benarlah kalam pencipta, ilmu adalah cahaya. Pencetus cahaya ilmu bermula dengan kalimah iqra yakni bacalah. Dengan adanya generasi yang berilmu, negara kita Malaysia akan dapat berdiri seiring dengan negara atas angin. Sudah terang lagi bersuluh, amalan membaca sememangnya satu amalan yang mulia.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

Kita sedar, ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan tidak bertepi. Namun, kerana yakin kepentingan ilmu, kita masih meneruskan penerokaan ilmu menerusi amalan membaca. Kewujudan ilmu tidak pernah membeza-bezakan siapakah penuntutnya. Dari golongan raja dan pemimpin berkuasa, hinggalah kelompok hamba, ilmu tersedia untuk diteroka buat pedoman di hari muka. Bezanya darjat manusia dilihat menerusi betapa tingginya ilmu di dada. Apabila berilmu pastinya dipandang mulia.

Akhir kata, sudah sampai masanya kita mengorak langkah dan bangun daripada mimpi yang memanjang untuk turut serta bersama-sama bangsa lain membudayakan diri dengan mencintai ilmu melalui amalan membaca. Amalan ini akan menjadi tapak permulaan bagi melahirkan modal insan minda kelas pertama, seterusnya memacu negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Benarlah bahawa, amalan membaca amalan yang mulia.

Sekian, Terima kasih.

IMPROMTU

DENGAN proses urbanisasi, perkembangan teknologi yang pesat dan gaya hidup semakin sedentari, aktiviti fizikal atau senaman di luar menjadi semakin berkurangan dalam kehidupan kita. Kita mesti sedar bahawa aktiviti fizikal memainkan peranan penting dalam kesihatan dan kesejahteraan kita. Persoalannya, adakah kita mengamalkan gaya hidup sihat ini?

Incoming search terms:

  • pidato faedah membaca
  • membaca amalan mulia
  • pidato amalan membaca
  • pidato tentang amalan membaca
  • pidato tentang budaya membaca
  • karangan membaca amalan mulia
  • pidato membaca amalan mulia
  • Pidato amalan membaca amalan mulia
loading...

Leave a Reply