Pidato : Pengerusi Majlis,barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera serta salam satu Malaysia.Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis,barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,penjaga masa yang setia mengira detik waktu,guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk keadaan sosial sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan.Seperti yang kita sedia maklum,negara kita telah mencapai kemerdekaan semenjak tahun 1957 lagi.Sambutan hari kemerdekaan pada setiap tahun bukan sahaja bertujuan untuk memperingati hari kita memperoleh kebebasan daripada penjajahan kuasa asing malahan juga memperingatkan kita tentang erti kebebasan yang lebih besar daripada itu.Tema satu Malaysia amat sesuai bagi mengingatkan kita tentang peranan kita sendiri dalam sebuah negara demokrasi yang berteraskan kata-kata bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Walaupun Malaysia sentiasa dikatakan sebagai negara yang aman dan stabil,dan rakyatnya pula menjalani kehidupan yang harmoni tanpa mengira keturunan dan anutan agama,sekali-sekala tercetus juga rasa perkauman di kalangan penduduknya.Jika tidak dibendung,perasaan ini akan mencetuskan api perpecahan yang memusnahkan perpaduan.Contohnya seperti peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969.Peristiwa ini telah menggugat kestabilan negara.

Rusuhan tersebut bermula di Kampung Baru Kuala Lumpur dan melarat ke seluruh negara.Perdana Menteri Malaysia ketika itu,Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama-sama dengan timbalannya,Tun Abdul Razak Hussein telah bertungkus lumus untuk menangani masalah tersebut.Hasil perbincangan pemimpin kerajaan dan kaum,maka gagasan Dasar Ekonomi Baru(DEB)telah diperkenalkan pada tahun 1970.Justifikasi daripada peristiwa itu juga menunjukkan betapa perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk perlu dijadikan matlamat utama dalam pentadbiran negara.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Terdapat banyak perubahan dalam bidang sosial di negara kita sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan.Sebelum mencapai kemerdekaan,kehidupan yang perit pernah rakyat alami di bawah penjajahan kuasa asing.Komitmen yang sepenuhnya tidak dapat diberikan kepada negara kerana penjajah tidak mahu rakyat melibatkan diri dalam pentadbiran negara.Mereka lebih suka sekiranya rakyat menumpukan perhatian terhadap keluarga dan kehidupan masing-masing tanpa mengambil berat terhadap kepentingan masyarakat dan negara secara keseluruhan .Ini menyebabkan rakyat berpecah belah dan tidak dapat bersatu padu dalam membangunkan dan memajukan negara.

Pelbagai kemudahan asas dibangunkan oleh penjajah untuk kepentingan dan keuntungan penjajah itu sendiri. Antaranya seperti, sistem pengangkutan telah diperbaiki dan jalan raya serta landasan kereta api dibina untuk mengangkut bahan-bahan mentah ke pelabuhan. Perkhidmatan telegraf dan radio pula diperkenalkan di bandar-bandar besar. Disamping itu, kemasukan buruh asing dan kemunculan masyarakat majmuk menyebabkan bilangan penduduk bertambah.

Sidang hadirin yang dihormati,

Selepas mencapai kemerdekaan, pelbagai perkhidmatan diberikan perhatian seperti kesihatan, pendidikan, dan perhubungan melalui rancangan pembangunan lima tahun. Sehubungan dengan itu, peluang pekerjaan turut diusahakan kepad orang awam.

Dalam pada itu, kerajaan terus memberikan perhatian kepada pembangunan institusi sosial yang menjadi tulang belakang sesebuah bangsa. Terbinanya perpustakaan negara, istana budaya, balai seni lukis negara, dan akedemi seni negara adalah bertujuan untuk memelihara dan memperlambangkan seni budaya bangsa. Projek sekolah bestari dan pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta pula bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan masyarakat dan menuju kea rah pembelajaran sepanjang hayat. Ini merupakan petanda yang sihat kea rah pemeliharaan dan pembentukan sistem nilai yang padu dan utuh. Justeru itu, perhubungan yang erat dapat dijalin sesama masyarakat.

Kesimpulannya, pembangunan kebendaan perlu seiring dengan pembangunan nilai murni dan nilai budaya bangsa. Hal ini juga merupakan kunci kesinambungan tamadun sesebuah masyarakat seperti yang telah disarankan dalam wawasan 2020 yang harus diberikan perhatian dan ditangani. Dalam dunia yang begitu pesat perkembangan sains dan teknologinya, janganlah kita mengabaikan kepentingan nilai agama dan budaya yang luhur sebagai panduan untuk bergerak jauh ke hadapan.

loading...

Leave a Reply