Text Pidato : Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi

Bismillahirrahmanirahim..

Tun Abdullah bin Hj Ahmad Badawi pernah berkata, modal insan bukan bukan setakat mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang, tetapi ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak yang tinggi yang ada pada seseorang.

Assalamualaikaum, terima kasih sekalung apresiasi diucapkan kepada tuan pengerusi majlis, nakhoda pimpinan majlis berkarisma, kombinasi respektatif kehakiman teguh saksama, barisan penjaga masa yang setia dengan jam keramatnya, barisan pensyarah yang berdedikasi serta hadirin hadirat warga dewan sekalian. Andai patah si sayap nuri, bertongkat jua saya kemari bukan untuk beromong kosong tetapi untuk sama-sama membawa saya dan hadirin warga intelektual sekalian untuk menyelami dan menulusuri maudhuk pidato saya yang berbunyi, Pendidik Merealisasikan Pemupukan Nilai Murni.

Sebelum akal melakar idea, sebelum tangan mengalun gaya, sebelum kata memula bicara, izinkan saya merungkai satu persatu definisi pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, pendidik dapatlah didefinisikan sebagai orang yang mendidik, manakala merealisasikan membawa maksud menjadikan kenyataan atau mewujudkan, seterusnya pemupukan boleh diterjemahkan sebagai perbuatan, cara dan usaha untuk memupuk, nilai pula boleh diertikan sebagai sifat ketinggian dari segi pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Akhir sekali, perkataan murni boleh disama ertikan sebagai tidak mengandungi unsur-unsur yang mencemarkan atau suci. Tuntasnya, kata lain bagi frasa Pendidik Merealisasikan Pemupukan Nilai Murni juga dapatlah disimpulkan sebagai Orang yang Mendidik Melatih Sifat atau Pemikiran yang Bersih.

Hadirin hadirat warga intelegensia sekalian,

Pada kesempatan ini, saya akan mengupas peranan-peranan yang dapat diambil oleh pendidik untuk memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat. Dalam bicara kali ini juga, saya akan membawa hadirin sekalian kepada makna perkataan pendidik itu sendiri dalam konteks yang lebih luas di mana saya ingin mengajak hadirin melihat perkataan pendidik itu sendiri dari pelbagai sudut yang berbeza dan tidak terhad kepada guru sahaja. Sejajar dengan itu, hadirin sekalian akan melihat dimensi baru perkataan pendidik di mana ianya meliputi orang yang mendidik seperti ibu bapa, guru, masyarakat serta pemimpin kerana secara umumnya semua pihak bertanggungjawab dalam mendidik masyarakat ke arah pemupukan nilai murni yang sejati. Maudhuk pidato saya pada hari ini akan dibahagikan kepada empat indikator kata iaitu pertama peranan ibu bapa sebagai pendidik, kedua peranan guru sebagai pendidik, ketiga peranan masyarakat sebagai pendidik dan indikator keempat peranan pemimpin sebagai pendidik.

Hadirin hadirat sekalian,

Tanpa membuang masa saya mulakan pelayaran kita dengan indikator yang pertama, ibu bapa sebagai pendidik. Tokoh penyair Inggeris, William Shakepeare pernah berkata Mempunyai anak tidak tahu berterima kasih lebih sakit daripada digigit ular. Beliau menjelaskan, seorang ayah yang bijaksana mengetahui siapa anak kandungnya dari segi perangai dan tingkah laku. Justeru, pendidikan akal anak-anak mestilah menjurus ke arah akal yang bijaksana serti pembentukan pekerti yang mulia dalam diri anak-anak. Anak-anak yang dididik dengan bijaksana akan dapat berfikir mengenai tujuan kehidupan mereka.

Akal yang waras dan bijaksana akan membantu ke arah kesejahteraan umat manusia. Manakala, pendidikan budi pula mestilah mendidik budi kearah berbaik budi dan bersopan santun. Perlakuan melalui tutur kata dan bicara akan memancarkan budi pekerti yang baik. Sekaligus, tingkah laku dan akhlak yang baik dan terpuji akan memantulkan keindahan budi seseorang. Kebijaksanaan dan budi yang baik mampu mengubah dunia kepada kedamaian dan semua ini akan tercapai melalui bimbingan yang baik daripada ibu bapa. Oleh itu, sebagai ibu bapa seseorang itu wajarlah mengenali fiil dan tingkah laku anak-anaknya.

Warga dewan yang berwawasan,

Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya. Dalam hal ini, institusi keluarga manjadi salah satu faktor penyumbang yang besar kepada pembangunan moral anak-anak. Ibu bapa adalah orang yang paling hampir dan lama meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Ibu bapa merupakan faktor utama yang menyumbang kepada gerak laku anak-anak sejak kecil sehinggalah ke zaman remaja seterusnya ke alam kedewasaan. Segala asuhan, tunjuk ajar, didikan dan teladan sama ada baik atau buruk yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan sebati dalam diri anak-anak.

Marcapada ini, ramai ibu bapa yang berpelajaran tinggi atau sekurang-kurangnya pernah menjejakkan kaki ke sekolah. Ibu bapa masa kini amat prihatin dengan pembangunan akademik dan pelajaran anak-anak sehingga sanggup berbuat apa saja untuk pembangunan kognitif anak-anak. Ibu bapa sanggup berhabis wang membeli seberapa banyak buku rujukan serta menghantar anak-anak ke pusat tuisyen khas walaupun di sekolah telah menyediakan kelas-kelas bimbingan untuk anak-anak. Malahan, segelintir daripada ibu bapa sanggup mengundang guru-guru tuisyen datang ke rumah bagi mengajar anak-anak mereka dengan bayaran yang tinggi. Walaubagaimanapun, yang menyedihkan berapa ramaikah ibu bapa yang prihatin terhadap aspek kerohanian atau pembangunan karakter anak-anak? Berapa banyakkah buku-buku keagamaan yang dibeli untuk mengisi kekosongan perpustakaan mini di rumah? Hal ini seharusnya diberi perhatian, iaitu sekiranya ibu bapa berkemampuan menghantar anak-anak ke pusat tuisyen, mengapa anak tidak dihantar ke kelas-kelas agama? Sekurang-kurangnya, dengan asas agama yang baik anak-anak tidak mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral yang semakin parah dalam masyarakat kita kini. Dalam konteks ini, bukan saya bermaksud untuk menuding jari kepada ibu bapa, namun faktor ibu bapa perlulah difokuskan memandangkan mereka merupakan agen yang terpenting dalam mempengaruhi sikap dan mentaliti anak-anak selain orang pertama yang bertanggungjawab memberi didikan kepada anak-anak.

Warga dewan pembangun bangsa sekalian,

Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara begitulah tema hari guru 2012 yang menekankan kepentingan inovasi dalam kalangan guru di mana tugas sebagai seorang guru adalah satu tugas yang tidak mudah kerana guru bertanggungjawab dalam melonjakkan pembangunan pendidikan negara sekaligus membangunkan bangsa Malaysia. Memang dikatakan guru memainkan peranan penting dalam menjayakan pendidikan moral dan nilai kerana ketika anak-anak berada di sekolah, guru-gurulah yang memainkan peranan sebagai ibu bapa. Guru sebagai pendidik. Sebagaimana ibu bapa, guru-guru juga dipandang oleh anak-anak didiknya sebagai contoh atau role model. Kalau tidak masakan ada pepatah berbunyi Guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Oleh itu, setiap guru mesti memiliki akhlak yang mulia agar sifat-sifat mulia itu dapat diteladani dan diikuti. Apa kata kalau guru sendiri tidak dapat menjadi sebagai role model yang baik, bak kata pepatah tadi, muridnya tentu tidak berguna. Tegasnya, anak-anak didik akan menjadi lebih biadap lagi.

Sebagai role model bukan mudah. Segala gerak geri, tingkah laku dan perwatakan menjadi ikutan. Cara guru bercakap, berjalan, berpakaian dan paling utama dari segi akhlaknya diperhatikan. Guru yang baik perlu mempunyai komitmen moral yang tinggi dan menjadikan diri mereka teladan yang baik kepada pelajar. Contohnya, guru tidak seharusnya mendenda dan melarang pelajar merokok sedangkan pada masa yang sama guru merokok di kawasan sekolah dan di mana-mana sahaja. Falsafah moral dan tingkah laku juga mendasari perkembangan pendidikan, perkembangan profesion keguruan dan perkembangan institusi sekolah. Bagaimanapun, pengaruh lain seperti agama, budaya, etika, pemodenan, sekularisme, dasar dan peraturan sekolah seringkali menimbulkan konflik dan percanggahan dari segi falsafah moral dan tingkah laku. Guru yang baik disenangi anak-anak didiknya. Apatah lagi kalau guru ini jujur dan ikhlas, segala tunjuk ajar, ingatan atau nasihat serta bimbingan yang diberikan mudah diterima. Kejayaan dalam menerapkan nilai-nilai murni bergantung kepada kesabaran guru kerana guru merupakan orang yang paling berpengaruh dalam pembentukan sahsiah dan mindset seseorang individu pada tahun-tahun formatif anak-anak didiknya.

Hadirin hadirat sekalian,

Pada masa yang sama, masalah disiplin murid menjadi tatapan harian seorang guru. Masalah disiplin murid terdapat dimana sahaja baik di kampung atau di kota hanya senarionya sahaja yang berbeza. Guru di kota mungkin akan berhadapan dengan masalah disiplin seperti keterlibatan murid dalam kegiatan merempit, melepak di pasar raya atau menghabiskan masa melayari internet di pusat siber. Manakala guru di kampung pula mungkin akan berhadapan dengan murid yang ponteng sekolah dengan alasan membantu keluarga menoreh getah, menangkap ikan atau melepak di simpang-simpang jalan. Walau apa sahaja jenis atau bentuk kesalahan yang dilakukan, guru terutamanya guru permulaan harus bijak menggunakan pelbagai strategi untuk menanganinya. Guru-guru tidak seharusnya emosional dalam menghadapi masalah ini. Seperti yang dinyatakan luahan rasa marah atau sedih tidak banyak membantu menangani masalah ini malah ia merupakan satu senario drama yang sememangnya dinanti-nantikan oleh murid-murid untuk ditonton. Guru seharusnya tahu membezakan antara sengaja melakukan kesalahan atau kesilapan dengan belajar dari kesilapan atau kesalahan. Berdasarkan kepada senario sebegini, tentunya amat perlu para guru untuk melayan dan meladani kerenah pelajarnya berasaskan pendekatan yang bersifat peribadi dalam menyelami, mengetahui, memahami dan menghayati permasalahan pelajarnya dan kemudiannya barulah sebarang tindakan penyelesaian direncanakan serta dilaksanakan.

Kita berkeyakinan bahawa bilangan pelajar yang benar-benar bermasalah dan membawa masalah kepada pihak sekolah hanyalah segelintir sahaja, manakala sebilangan yang lain sebenarnya merupakan para pelajar yang sedikit nakal, manja, keletah, dan aktif tetapi masih boleh diuruskan dengan hanya beberapa teguran yang bersifat membimbing, mendidik, dan terkadang mempunyai unsur-unsur mengasuh. Guru haruslah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa pelajar di sekolah. Dengan hal yang demikian, semua pelajar seharusnya dilayan seperti anak-anak sendiri dalam pelbagai konteks dan peringkatnya berdasarkan juga kepada keperluan dan kesesuaiannya. Ini memerlukan para guru mengenali para pelajarnya secara peribadi, akrab dan intim. Mengenali pelajar dalam konteks ini seharusnya secara mendalam termasuklah bukan sahaja namanya, tetapi latar belakang keluarga dan kedudukan sosioekonominya, kedudukan dan pencapaian akademiknya, status disiplin dan sahsiahnya, pencapaian dan keterlibatannya dalam bidang kokurikulum, dan sebagainya terutamanya kalangan pelajar yang miskin, pelbagai kategori pelajar yang bermasalah, dan yang seumpamanya. Hanya dengan mengenali pelajar secara intim, akrab dan peribadi sahaja barulah pelbagai permasalahan mereka benar-benar dapat dikenalpasti dan seterusnya membantu mempermudahkan segala bentuk bantuan dan tindakan dihulurkan atau dilaksanakan.

Hadirin pendokong nilai murni,

Dalam situasi masyarakat masa kini, guru juga berdepan sikap dilema ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan anak mereka melakukan kesalahan. Sepatutnya, ibu bapa perlu mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan guru, bukan terus memihak kepada anak mereka. Cabaran lain dihadapi guru masa kini ialah melakukan transformasi kepada zaman guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sudah berlalu sebaliknya tugas mereka kini ialah untuk menjadi pemudah cara kepada murid dalam menimba ilmu pengetahuan. Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih bersedia, peka serta menggunakan situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu dirangsang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Tambahan dengan adanya sumber maklumat serta teknologi terkini yang canggih. Peranan seorang adalah sangat hebat dalam menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Sumbangan guru itu menjadikan mereka jurutera yang berbentuk manusia. Oleh itu, walau apa pun cabaran dihadapi guru dapat mengharunginya kerana niat serta perjuangan mereka adalah jelas demi membina modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Bangsa Malaysia berhemah tinggi,

Ramah dan mesra elok pekerti,

Yang tiada dibantu yang lemah dilindungi,

Budi bahasa budaya kita.

Hadirin sekalin,

Memetik serangkap lagu nyanyian penyanyi negara, Siti Nurhaliza yang menekankan budaya sebenar masyarakat kita yang penuh sopan santun dan berbudi bahasa. Tanpa membuang masa, ayuh kita melayari bahtera pidato kita pada hari ini ke indikator seterusnya iaitu peranan masyarakat sebagai pendidik. Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah pemangkin kepada kelahiran sebuah  negara bangsa yang mementingkan sikap kesamaan dan kekitaan serta bantu-mambantu dalam kalangan rakyat. Malah perlu difahahami dan dihayati lapan nilai yang digolongkan dalam nilai teras 1Malaysia, iaitu  budaya berprestasi tinggi, budaya ketetapan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi. Rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia sebagai negara ibunda atau negara kita bersama, di mana tidak ada satu kumpulan kaum atau masyarakat yang merasa mereka terpinggir malah ahli masyarakat seharusnya bersatu sebagai bangsa Malaysia yang menyayangi dan menghormati antara satu sama lain.

Justeru, sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita seharusnya sama-sama memupuk nilai-nilai murni agar ukhuwah yang sedia ada dapat diperkukuhkan lagi seterusnya mewujudkan satu anggota masyarakat yang bersatu-padu. Sebagai contoh, dalam satu kejiranan yang berlainan bangsa, wajar ditubuhkan satu ahli jawatankuasa kampung yang bertangungjawab untuk menyatukan masyarakat sekitar seperti bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dalam hal ini, Ahli Jawatankuasa kampung harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampung masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampung, menolong keluarga miskin dan sebagainya. Program seperti ini dapat mengajar penduduk kampung tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral yang terpuji bagi mewujudkan sebuah masyarakat kampung yang harmonis.Program seperti ini juga memberi peluang kepada penduduk untuk meluangkan masa bersama kerana masyarakat pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap seperti katak dibawah tempurung yang tidak bergaul dengan orang lain hanya memberi kesan buruk terhadap masyarakat. Hubungan individu dengan anggota masyarakat perlu dijaga kerana kita saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Tanpa semangat kesepaduan seperti ini, hubungan antara ahli masyarakat akan menjadi seperti telur dihujung tanduk, seolah-olah aur tanpa tebing, isi tanpa kuku seterusnya retak menanti belah. Oleh itu, program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan seharusnya dilakukan di setiap kampung di negara ini.

Hadirin hadirat penyambung warisan kepimpinan negara,

Sebagai anggota masyarakat juga, kita tidak harus mengambil langkah lepas tangan dengan gejala sosial dalam kalangan remaja yang semakin berleluasa di negara kita. Kita seharusnya peka terhadap keruntuhan akhlak yang berlaku seperti gejala lepak, ponteng, penagihan dadah yang dilakukan oleh ahli dalam masyarakat kita. Ada masanya kita harus menjaga tepi kain orang dalam usaha untuk mewujudkan anggota masyarakat yang lebih baik seperti menegur tingkah laku yang kurang memuaskan serta melaporkan gejala sosial yang serius kepada pihak yang sepatutnya agar ia tidak menjadi kudis yang seterusnya bernanah dalam masyarakat kita. Sifat ambil peduli masyarakat merupakan penawar kepada masyarakat yang mendokong nilai-nilai murni. Seterusnya, usaha menerapkan nilai-nilai murni seperti menghormati orang tua, menjaga kesopanan di khalayak ramai, mengunjungi rumah jiran, dan berinteraksi antara kaum mampu melahirkan satu bangsa Malaysia yang moden tetapi penuh budaya tersendiri. Usaha ini harus diteruskan kerana generasi muda sering berubah dan keadaan turut berubah tetapi nilai murni akan terus kekal seperti tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.

Hadirin sekalian,

Nampaknya maudhuk pidato hari semakin hampir ke penghujungnya. Sebelum itu, saya sajikan hadirin sekalian dengan indikator yang terakhir iaitu pemimpin sebagai pendidik masyarakat. Langkah yang dilakukan oleh pemimpin utama negara merupakan langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk nilai murni dalam masyarakat. Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi. Kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri. Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini. Oleh itu,pihak kerajaan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat akan terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

Rentetan itu, pemimpin juga sewajarnya memandang serius masalah yang berkaitan sahsiah remaja dan mengambil langkah yang berhati-hati untuk menyelesaikannya seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Pemimpin dan pihak kerajaan sepatutnya berganding bahu dengan pihak media massa dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Astro, Persatuan Karyawan Malaysia dan lain-lain lagi untuk menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya kita secara menyeluruh di tanah air kita kerana bersatu teguh bercerai roboh. Barangkali, kempen yang dianjurkan oleh kerajaan tidak berkesan kerana tidak disokong oleh banyak pihak, termasuklah syarikat-syarikat swasta yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Buktinya, kempen Kami Prihatin gagal mengurangkan kemelut sosial yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita, iaitu isu pembuangan bayi.  Berikutan itu, kempen Budi Bahasa Budaya kita hanya akan berjaya sekiranya semua pihak melibatkan diri dalam pelaksanaannya. Dalam pada itu, kempen ini perlu disempurnakan di peringkat awal persekolahan, iaitu tadika untuk memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kanak-kanak.  Ceramah, pertandingan menulis esei, melukis poster, pertandingan syarahan, pertandingan kuiz dan sebagainya boleh dilaksanakan sempena kempen ini. Selain itu, kempen tersebut haruslah disokong oleh artis-artis tempatan dan luar negara yang menjadi idola masyarakat, seiring dengan trend pemuda-pemudi kini yang suka mengikut jejak langkah idola mereka dari semua aspek.  Jelaslah menunjukkan bahawa kempen-kempen yang mendapat sokongan semua pihak mampu mencapai matlamat melahirkan kanak-kanak yang bersahsiah mulia.

Generasi muda yang dipupuk dengan nilai murni mampu mematuhi semua peraturan atau norma yang ditetapkan oleh masyarakat. Naluri generasi muda yang suka memberontak dapat dikawal melalui nilai-nilai murni yang mementingkan disiplin dalam usaha mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Jadi, memang satu perkara baik kalau nilai murni mampu menjadikan generasi muda sebagai satu golongan yang mematuhi peraturan negara. Lantaran sikap generasi muda yang mematuhi peraturan dapat dijelmakan melalui sikap mereka yang tidak terbabit dalam sebarang aktiviti berunsur jenayah atau tidak bermoral. Kita tidak lagi mendengar remaja terbabit dalam peras ugut, terbabit dalam dadah, atau menjadi mat rempit. Remaja akan menjadi satu golongan yang dihormati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum. Bukankah ini satu kejayaan nilai-nilai murni yang diterapkan oleh kerajaan? Sama-sama kita renungkan. Ayuh, singkirkan semua bicara, kumpulkan tenaga raksasa, tiba saat berbunga merah, serentak kita bersama ke arah masyarakat yang mendokong nilai murni. Sekian, saya akhiri pidato saya pada hari ini dengan assalamualaikum w.b.t.

Sekian terima kasih.

(2680 perkataan)

2

Leave a Reply