Pidato : “Gagasan 1 Malaysia Aspirasi Menjana Perpaduan

Pidato "Gagasan 1 Malaysia Aspirasi Menjana Perpaduan Kaum"

Posted by Faizul Idham 9:50 PG, under | 3 comments

Bissmillahirahmanirahim..  Hadirin dan hadirat, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pengerusi majlis. Yang saya hormati, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana dalam menegakkan panji-panji keadilan, barisan penjaga masa yang setia dengan masanya untuk melihat detik-detik berharga, dif-dif kehormat yang disanjungi serta para hadirin pencetus arus kegemilangan Negara yang dikasihi, dekat dihati.

Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera dan salam 1 malaysia buat anda yang sudi melapangkan masa. Apa khabar, penutur bahasa melayu tercinta?

Andai patah sayap rajawali, bertongkat jua saya kemari bukan untuk menjual pantun, tetapi semata-mata ingin membawa diri saya sendiri dan anda semua untuk kita sama-sama memahami, menyelami dan mendalami maudhuk bicara yang bertajuk, Gagasan 1 Malaysia Aspirasi Menjana Perpaduan Kaum.

Masih terngiang di telinga kita petikan kata-kata Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2009 yang berbunyi:

1 Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.

Hadirin sidang saksi warga berintegriti,

Gagasan 1 Malaysia Aspirasi Menjana Perpaduan Kaum.

Maudhuq bicara hari ini sungguh indah. Oleh itu, marilah bersama kita telusuri dan hayati bersama agar segala yang menjadi persoalan terjawab dan terungkai. Sebelum itu, adalah lebih baik jika pemahaman menurut Kamus Dewan menjadi pembuka utama agenda, agar pemahaman kita menjadi jelas dan nyata. Pada tarikh 3 April 2009 yang lalu bermulalah detik pemerintahan Dato Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri yang ke-6 menggantikan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dengan berbekalkan tujuan yang satu, beliau telah memperkenalkan satu konsep gagasan yang baru iaitu gagasan satu malaysia. Menurut epistimologi kamus dewan, gagasan membawa maksud buah fikiran yang dijadikan saranan. Maka timbulnya gabungan indah frasa-frasa rakyat didahulukan pencapaian diutamakan menjadi wadah utama dalam memacu pentadbiran negara dan perpaduan kaum. 

Pembentukan gagasan ini bertujuan untuk menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan antara kaum yang semakin pudar. Dengan itu, saya cerakinkan kepada 3 teras iaitu Prinsip Penerimaan, Prinsip Kenegaraan dan Prinsip Keadilan Sosial utama yang terdapat dalam gagasan 1 malaysia buat tatapan minda kita semua.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Berpaksikan cetusan idea saya yang pertama, Prinsip penerimaan membawa maksud walaupun rakyat Malaysia mempunyai cara hidup, amalan atau agama dan kebudayaan yang berbeza, tetapi kita menerima antara satu sama lain sebagai satu masyarakat yang harmoni. Kita sudah sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai tiga kaum terbesar iaitu, kaum Melayu, Cina dan India yang sudah lama bertapak di negara tercinta ini. Kaum masing-masing mempunyai cara hidup, amalan dan kebudayaan yang berbeza. Oleh yang demikian, Prinsip Penerimaan telah diwujudkan bagi menyatu padukan ketiga-tiga kaum ini sekaligus merealisasikan Wawasan 2020 yang menjadi impian negara dalam mencapai negara maju dan setaraf dengan neagara-negara lain di mata dunia. Dengan kehadiran prinsip ini sekaligus dapat melonjakkan amalan kebudayaan kaum masing-masing malah secara tidak langsung dapat merapatkan jurang perbezaan antara kaum.

Pastinya, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin dan hadirat sekalian mengetahui. Peristiwa berdarah 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan setiap insan di Malaysia. Peristiwa berdarah yang melibatkan rusuhan kaum pada ketika itu perlu menjadi iktbar bagi setiap generasi. Sesungguhnya peristiwa 13 Mei 1969 yang mencatatkan titik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di Malaysia wajar direnungi agar pisang tidak berbuah dua kali. Perpaduan kaum amat penting dipertahankan agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju kearah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Jadi, sudah terang lagikan bersuluh, konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan dapat mengatasi masalah perpaduan kaum yang pernah terumbang-ambing di Negara kita suatu ketika dahulu.

Hadirin yang dihormati,

Gagasan 1 Malaysia Aspirasi Menjana Perpaduan Kaum.

Meniti isi lembayung saya yang kedua iaitu Prinsip Kenegaraan memupuk semangat nasionalisme. Cuba kita lihat masyarakat Malaysia sekarang dimana semangat nasionalisme mereka sudah semakin rapuh. Jika ditanyakan kepada kanak-kanak atau remaja pada hari ini hanya beberapa orang sahaja yang dapat memberi jawapan, apa itu semangat nasionalisme? (anda jawab) Oleh itu, kerajaan mengambil inisiatif meletakkan Prinsip Kenegaraan sebagai teras di dalam Konsep 1 Malaysia dengan harapan semangat nasionalisme dan perpaduan kaum  lebih utuh.

Tidak dapat dinafikan lagi, Tun Hussien Onn yang sememangnya terkenal dengan usaha-usaha yang dilakukan untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat sehingga diberi gelaran Bapa Perpaduan. Bak kata pepatah sikit-sikit lama jadi bukit.

Sidang pendengar yang setia,

Prinsip Keadilan Sosial menjadi cetusan minda yang terakhir. Setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Melalui Konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum lain. Namun begitu, Konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan

Hadirin sekalian,

Secara konklusinya, berdasarkan tiga cetusan minda yang telah dicanang-canangkan oleh saya sebentar tadi melalui prinsip teras iaitu Prinsip Penerimaan, Prinsip Kenegaraan dan Prinsip Keadilan Sosial, jelaslah disini bahawa konsep 1 Malaysia menjadi Aspirasi meningkatkan hubungan kaum.

Tuan-tuan dan puan-puan, pada pemuda harapan bangsa sekalian, marilah kita bersama-sama merealisasikan cita-cita murni ini agar kaum di Malaysia dapat bersatu, bekerjasama, saling bantu-membantu selaras dengan fitrah kita sebagai manusia yang inginkan keamanan.

Wahai warga Malaysia sekalian, sudah tiba masanya untuk kita meletakkan satu matlamat. Kita hidup bermuafakat dalam kepelbagaian budaya masyarakat, yang ringan sama dijinjing yang berat sama dipikul. Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah. Gunung sama didaki lurah sama dituruni, semoga kesedaran kita hari ini dapat memberikan ruang dan peluang kepada anak-anak kita untuk menari, menyanyi dan hidup dalam keadaan harmoni. Semaikanlah satu cita, satu impian, satu perpaduan, SATU MALAYSIA! Hidup Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Sekian, Wabilah hi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullah hi ta`ala wabarakatuh. Terima kasih.

                                                                                            Teks Disediakan Oleh:

                                                                         Muhammad Faizul Idham Bin Abdullah

Leave a Reply