Pidato : Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara

Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara.

Bumi yang tiada rimba
Seumpama hamba
Dia dicemar manusia
Yang jahil ketawa

Bumi yang tiada udara
Bagai tiada nyawa
Pasti hilang suatu hari
Tanpa disedari

Bumi tanpa lautan
Akan kehausan
Pasti lambat laun hilang
Duniaku yang malang

Yang dihormati

Tuan Pengerusi Majlis, Yang arif lagi bijaksana barisan hakim yang berpaksikan keadilan, semestinya, saudara penjaga masa Yang setia dengan randiknya, seterusnya rakan seperjuangan yang saya segani serta hormati sekalian. Assalamualaikum dan salam pertemuan.

Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk membuang masa hadirin, bukan pula membuat tarian salsa ataupun tarian poco-poco, akan tetapi menyampaikan pidato saya iaitu,

Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara.

Sebelum kaki mengorak langkah, lidah mengalun bicara, jika kita lihat tajuk pidato ini, ianya merupakan satu tajuk yang meluas dan banyak aspek boleh dibincangkan . Tetapi jika kita renung dan teliti dengan sedalam-dalamnya maka kita dapati satu perkara yang perlu diambil kira adalah pada perkataan Alam Sekitar Warisan Negara.

Sidang pendengar yang penuh santun,
Bumi Malaysia, diketahui sebagai gedung khazanah alam yang unik dan bernilai.  Namun, akibat sikap tamak manusia yang menjalankan aktiviti penebangan hutan yang tidak terkawal dilihat sebagai satu perbuatan yang mencemari keadaan dan kebersihan semulajadi kawasan tersebut. Golongan ini tidak pernah memikirkan nilai-nilai yang tersimpan bersama alam ini, perlahan-lahan, sedikit demi sedikit segala khazanah alam ini hilang akibat industri yang dijalankan atas nama pembangunan. Sebagai contoh, Gunung Jebak Puyuh dan Gunung Senyum antara menjadi sasaran untuk pembinaan kuari batu kapur. Sedangkan, ia antara warisan negara yang memiliki pelbagai kehidupan flora dan fauna yang menyimpan artifak-artifak arkeologi era Neolitik. Bahkan jua, aktiviti kuari batu kapur ini mengakibatkan pencemaran kepada kebersihan udara di Negara kita yang akan menjejaskan kesihatan masyarakat dan mengganggu keadaan iklim serta cuaca di Malaysia.

Sidang pendengar yang dihormati,

Jika dikaji antara flora dan fauna tidak boleh dipisahkan, bagaikan isi dengan kuku, bagai irama dengan lagu. Oleh itu, hutan ditebang, hutan dimusnahkan, hutan diterokai akan mencemari kebersihan habitat hidupan, lantas pastilah haiwan-haiwan akan terjejas dan pupus. Tidak hairanlah hadirin sekalian, jika satu hari, monyet-monyet, harimau-harimau mahupun gajah-gajah ingin berumah bersama kita. Bahkan jangan terkejut sekiranya cucu cicit kita mengatakan beruang panda itu, pokok yang tumbuh melilit di tepi pagar.

Sidang pendengar yang setia,

Terdapat pula, segelintir individu bersikap tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan pencemaran seperti membuang sampah dan sisa toksik secara terbuka dan tidak terkawal. Tindakan buruk ini adalah cara mudah bagi mereka melepas tangan tentang tanggungjawab semata-mata bagi mengaut keuntungan dan memudahkan kerja. Tidak pula difikirkan soal keburukan dan kerugian kepada masyarakat dan sumber alam itu sendiri. Kesannya, tercemarlah, kotorlah, hilanglah identiti keunikan sungai-sungai seperti di Sungai Rejang dan di Sungai Klang. Maka hilang lagi warisan negara yang sepatutnya menjadi tatapan di mata dunia dan generasi yang akan datang.

Sidang saksi yang bermisi,
Banyak kesan buruk dapat dilihat dan dialami oleh seluruh masyarakat dunia akibat masalah kebersihan alam sekitar. Oleh itu, hadirin, bukalah mata dan minda sama-sama kita memulakan anjakan paradigma dan menanam sikap mencintai alam sekitar untuk warisan sepanjang zaman. Ingat, alam gemilang, hidup pasti cemerlang. Jadi, anda bayangkan andainya alam boleh berkata-kata mungkin inilah luahan rasa sebatang pokok meranti ataupun rintihan seekor semut api merah. Konklusinya, manusia yang mengancam manusia sendirilah turut terancam. Tepuk dada tanyalah minda, tepuk dahi fikirlah sendiri. Kebersihan Alam Sekitar Warisan Negara, Wabillahitaufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarkatuh. Pemidato bestari, mohon permisi!

Incoming search terms:

  • teks pidato kebersihan alam sekitar
  • kebersihan alam
  • pidato kebersihan di gunung
  • pidato malaysia tajuk kebersihan
loading...

Leave a Reply