Pidato Spontan : MALAYSIA DI PUNCAK GEMILANG

MALAYSIA DI PUNCAK GEMILANG

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

Saban hari negara kita malaysia menjadi tumpuan dunia. Kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang terus dikecapi. Ramai orang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan Malaysia? Jawapannya, tidak lain dan tidak bukan adalah kerana tiga faktor utama.

Yang pertama, faktor perpaduan;

Perpaduan antara kaum merupakan prasyarat penting yang boleh menjamin kestabilan dan kegemilangan negara. Melalui Gagasan 1 Malaysia, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, suku dan etnik dapat disatukan dalam 1 gagasan dan hidup secara harmoni. Semangat kekitaan dalam perpaduan inilah yang menjadi aset serta kekuatan kepada negara Malaysia untuk terus mencipta kegemilangan di persada antarabangsa.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Faktor yang kedua ialah kecemerlangan di dalam bidang pendidikan;

Malaysia kini telah menjadi salah satu daripada pusat kecemerlangan ilmu di rantau Asia Pasifik. Buktinya Malaysia sudah mempunyai banyak institusi pengajian yang meliputi Universiti Awam, Universiti dan Kolej Swasta serta program pendidikan jarak jauh yang mempunyai tenaga pengajar yang berwibawa dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur serta kemudahan pendidikan yang memberi keselesaan kepada para pelajar. Ini menjadikan malaysia berdiri setanding dengan negara membangun yang lain di rantau ini.

Manakala faktor yang ketiga ialah faktor ekonomi;

Ekonomi Negara Malaysia sentiasa kukuh dan stabil sekali pun berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Ini jelas terbukti dengan usaha berterusan pihak kerajaan di bawah pimpinan YAB Dato Sri Najib Tun Razak dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat. Beliau telah melancarkan Program Transformasi Ekonomi yang menggariskan hala tuju ekonomi negara dalam tempoh 10 tahun akan datang yang dilihat bakal menjulang martabat negara di mata dunia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kesimpulannya, ketiga-tiga faktor inilah yang memainkan peranan penting dalam memastikan negara malaysia terus berada di puncak kegemilangan.

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam satu Malaysia.

PERPADUAN TERAS KEMAJUAN

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

Saban hari negara kita menjadi tumpuan dunia, kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang terus dikecapi. Ramai orang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan dan kemajuan Malaysia? Jawapannya..

Pertama; Semua ini berlaku kerana wujudnya perpaduan antara kaum di negara ini. Perpaduan menjadi prasyarat untuk memastikan negara terus mencapai kemajuan. Kebijaksanaan Perdana Menteri negara kita yang Amat Berhormat Dato Seri Najib Tun Razak juga perlu diberikan pujian kerana telah mewujudkan Gagasan 1 Malaysia. Di bawah Gagasan inilah jurang perkauman antara penduduk yang berbilang bangsa dapat dirapatkan. Jelasnya perpaduan adalah merupakan pemangkin kepada kemajuan malaysia.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kedua; Teguhnya Malaysia pada hari ini adalah kerana perpaduan masyarakatnya yang berbilang bangsa. Untuk itu, setiap warga Malaysia perlu bersatu padu dalam mengekalkan keharmonian yang sedia ada. Hal ini semestinya menjadi agenda utama masyarakat di Malaysia agar dapat menghindar dari tercetusnya isu perkauman yang tidak diingini seperti mana yang telah berlaku pada 13 Mei 1969 satu ketika dahulu.

Yang ketiga, seiring dengan kemajuan yang dikecapi, kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan rancangan-rancangan yang boleh memupuk semangat kekitaan di kalangan rakyat. Sebagai contoh, Sekolah Integrasi telah diwujudkan untuk meletakkan pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum di bawah satu bumbung dengan harapan mereka dapat memikul tanggungjawab mewarisi pembangunan dan perpaduan yang kita kecapi sehingga kini.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Kesimpulannya, perpaduan merupakan teras kemajuan negara. Apabila rakyat bersatu-padu, negara juga turut maju. Marilah kita terus hidup sebagai rakyat Malaysia yang mengutamakan keamanan, keharmonian dan perpaduan.

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam satu Malaysia.

PENGORBANAN TERHADAP NEGARA

Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.

Saban hari negara kita Malaysia menjadi tumpuan dunia. Kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang terus dikecapi. Ini menjadikan negara mengukir nama di persada antarabangsa. Bagi memastikan ia berterusan sebagai rakyat dan warganegara malaysia, setiap individu perlu melakukan pengobanan. Antaranya:

Yang pertama; Setiap rakyat bertanggungjawap negara ini untuk terus berkorban mempertahankan keamanan dan kejayaan yang dikecapi sehingga ke hari ini dengan mengekalkan perpaduan sesama kaum.

Sejarah telah merakamkan perit getir pengorbanan orang tua dahulu untuk membebaskan negara dari belenggu penjajahan. Kini seharusnya pengorbanan dan perjuangan tersebut diteruskan demi melihat negara terus berada dalam kesejahteraan.

Yang kedua; Bagi merealisasikan hasrat tersebut seluruh warga Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama perlu memainkan peranan dalam bidang masing-masing agar menjadi aset penting kepada negara.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Dan yang ketiga; Dalam menghayati keamanan, rakyat juga harus sentiasa peka dan berhati-hati dengan kewujudan golongan tertentu yang cuba melemahkan perpaduan masyarakat. Mereka mengadakan pelbagai helah termasuklah mencetuskan perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan. Justeru, marilah sama-sama kita melumpuhkan usaha golongan terbabit dengan mempertahankan tanah air kita ini daripada sebarang kekacauan dan huru hara.

Kesimpulannya, walaupun rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun ia tidak menghalang setiap indivdu untuk melaksanakan tanggungjawab dan melakukan pengorbanan demi negara yang dicintai ini.

Sekian, wabillahittaufiq walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam satu Malaysia.

Leave a Reply