BKA Lesson 11 Pidato

PELAJARAN 11

KOMUNIKASI LISAN: PIDATO

Pengenalan

Dalam tajuk ini, pelajar akan diperkenalkan dengan satu daripada aspek komunikasi lisan iaitu pidato.

Hasil Pembelajaran

Pada akhir pengajian ini, pelajar akan:

Memahami maksud pidato.

Memahami bentuk-bentuk pidato.

Mampu memberikan pidato secara praktikal.

Senarai Tajuk

Pidato, Tujuan dan Binaan Teks Pidato

Kemahiran untuk memulakan pidato

Kemahiran mengemukakan pendapat dalam pidato

Istilah

Pidato

Ucapan yang disampaikan di khalayak ramai.

Pemidato

Orang yang menyampaikan pidato.

Syarahan

Ceramah, pidato, ucapan.

Pensyarah

Orang yang memberikan syarahan.

Tajuk

Pidato, Tujuan dan Binaan Teks Pidato

Persembahan

Pidato ialah ucapan yang disampaikan di khalayak ramai untuk menghuraikan dan menjelaskan tentang sesuatu tajuk atau persoalan. Aliran komunikasi dalam pidato adalah sehala, iaitu maklumat disampaikan oleh pemidato kepada pendengar. Tujuan umum pidato adalah untuk meyakinkan pendengar tentang sesuatu perkara.

Apakah tujuan pidato? Tujuan pidato adalah untuk:

Memberi penerangan tentang sesuatu tajuk kepada pendengar.

Memaklumkan tentang sesuatu yang baru kepada pendengar.

Meyakinkan pendengar tentang pendirian pemidato terhadap sesuatu persoalan.

Mempengaruhi pendengar supaya memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara.

Binaan Teks Pidato

Ada lima bahagian utama dalam pidato iaitu pembuka kata, bahagian menarik minat dan membina keyakinan pendengar, bahagian isi, penutup isi, penutup pidato.

Pembuka kata

Pada bahagian ini pemidato memberi penghargaan kepada pihak yang menjemputnya untuk menyampaikan pidato dan juga penghargaan kepada para hadirin yang datang.

Menarik minat dan membina keyakinan pendengar

Ini ialah bahagian permulaan pidato. Pemidato memulakan pidatonya dengan memberi penjelasan tentang tajuk pidato.

Isi

Isi adalah bahagian paling penting dalam pidato. Segala persoalan dikupas dengan sebaik-baiknya dalam bahagian ini.

Penutup kepada isi

Bahagian ini ialah bahagian penutup kepada segala persoalan yang telah dipidatokan tadi. Ini bukanlah penutup pidato, tetapi adalah penutup kepada isi pidato sahaja.

Penutup kepada pidato

Bahagian ini adalah penutup kepada seluruh pidato. Pemidato akan merakamkan penghargaan kepada beberapa pihak termasuk pihak penganjur, jawatankuasa yang terlibat, tetamu keutamaan jika ada, dan juga kepada para hadirin.

Aktiviti

Sila sediakan satu format pidato yang bertajuk 1Malaysia.

Kemahiran untuk memulakan pidato

Persembahan

Pidato yang baik perlu dimulakan dengan baik juga. Untuk memberikan pidato yang baik, dua peringkat perlu dilalui iaitu peringkat persediaan dan peringkat permulaan ucapan.

Peringkat persediaan

Peringkat ini penting kerana persediaan yang mantap akan menjamin kejayaan atau keberkesanan sesuatu pidato. Sebelum memulakan pidato, pemidato perlu mengetahui dan memahami tujuan dia berpidato. Selain itu, pemidato perlu memberikan keterangan, menyampaikan maklumat, memberi semangat, inspirasi dan cuba mempengaruhi pendengar.

Pemidato juga perlu menganalisis peserta yang datang untuk mendengar pidatonya. Antara perkara tentang pendengar yang perlu diketahui oleh pemidato ialah:

Jenis dan tujuan majlis yang diadakan

Kelompok masyarakat manakah yang akan menjadi pendengarnya.

Jumlah pendengar sama ada ramai atau sedikit.

Minat umum para pendengar tentang sesuatu perkara.

Tahap pendidikan para pendengar.

Kemungkinan sikap pendengar terhadap pidatonya.

Jantina pendengar, atau sama ada perempuan lebih ramai dari lelaki atau sebaliknya.

Kelompok umur pendengar, sama majoriti remaja, orang dewasa atau warga emas.

Pemidato juga perlu mengumpulkan maklumat yang sesuai mengikut sifat-sifat pendengar dan tujuan majlis tersebut diadakan.

Selain dari itu, pemidato perlu mengagak jumlah masa yang diberikan kepadanya untuk menghabiskan pidatonya. Jika aspek masa ini tidak diambil kira, berkemungkinan pemidato tidak sempat menghabiskan pidatonya sebelum masanya.

Pemidato juga perlu memeriksa terlebih dahulu tempat dia bakal memberikan pidatonya. Adakah tempat tersebut tertutup atau terbuka, riuh atau senyap, di tempat awam atau di tempat persendirian, serta kemudahan-kemudahan yang bakal disediakan kepadanya.

Peringkat permulaan ucapan

Pada peringkat ini, seseorang pemidato perlu menggunakan kebolehan yang ada untuk menarik minat pendengar. Antara ciri yang perlu ada pada pemidato untuk menarik minat pendengar secara umumnya adalah seperti berikut:

Memulakan pidato dengan menyapa pendengar atau memberi salam kepada pendengar mengikut keadaan kelompok utama pendengar yang datang.

Memberi kata-kata aluan kepada pengerusi majlis, tetamu kehormat, jemputan khas, pihak jawatankuasa yang menganjur program, serta semua para pendengar.

Membangkitkan keyakinan pendengar terhadap pidatonya dengan memberikan fakta-fakta yang memberangsangkan; kenyataan-kenyataan yang provokatif; mencabar minda pendengar dengan mengemukakan soalan-soalan yang jarang mereka dengar atau tahu jawapannya; memberi data atau petikan atau fakta yang mampu menimbulkan kekaguman pendengar.

Menyatakan tajuk pidato dan memperkenalkan idea-idea asas yang membentuk intipati pidatonya.

Aktiviti

Sekiranya anda seorang pemidato, apakah aspek-aspek tentang para hadirin yang perlu anda perhatikan?

Kemahiran melahirkan pendapat dalam pidato

Persembahan

Pendapat atau pandangan dalam sesuatu pidato adalah intipati pidato itu sendiri. Oleh itu kemahiran melahirkan pendapat adalah penting. Ini kerana, pendapat yang baik tetapi tidak dapat dizahirkan dalam pidato, tidak akan sampai kepada pendengar. Terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dalam soal kemahiran melahirkan pendapat ini.

Pemilihan kata

Pemilihan kata yang tepat membolehkan pemidato menyampaikan pendapat atau pandangannya dengan berkesan. Jangan mengulangi perkataan-perkataan yang sama berulang-ulang kali. Jangan gunakan perkataan yang terlalu sukar difahami.

Pemilihan ayat

Ayat yang pendek lebih mudah menyampaikan maklumat yang berkesan dari ayat yang panjang dan berbelit-belit. Ayat yang terlalu panjang menyukarkan orang ramai untuk memahaminya. Ayat yang berbelit-belit akan menyebabkan orang menjadi keliru.

Penyusunan fakta

Fakta perlu jelas dan tepat. Jangan memberikan sesuatu yang bukan merypakan fakta atau agak-agakan sahaja.

Kesepaduan

Keseluruhan pidato perlu bersepadu. Ini bermakna, pemidato tidak boleh lari dari tajuk persoalan. Isu yang disampaikan mestilah mempunyai kaitan di bahagian pengenalan, bahagian isi dan bahagian penutup.

Koheran

Koheran bermakna terdapat perkaitan antara semua fakta yang disampaikan. Pemidato tidak boleh melompat dari satu fakta ke satu fakta yang lain yang bukan dalam skop yang sama.

Pertautan

Pertautan bermakna setiap isi yang disampaikan itu mempunyai fakta dan setiap fakta pula disertakan dengan bukti beserta contoh. Seolah-olah ada pertalian antara contoh dengan bukti, fakta dan isi.

Ringkas dan padat

Fakta-fakta yang diberikan perlulah ringkas dan padat. Fakta yang terlalu umum dan meleret-leret akan mengurangkan kefahaman atau minat pendengar.

Penyampaian yang Menarik

Penyampaian yang menarik akan meningkatkan kualiti pidato dan memudahkan usaha meyakinkan pendengar terhadap tajuk yang cuba diketengahkan dalam pidato tersebut. Antara aspek penting dalam penyampaian yang baik ialah kelancaran, nada dan intonasi, kecekapan berbahasa, dan gaya penyampaian.

Kelancaran

Kelancaran bermakna pemidato menyampaikan pidatonya secara berterusan tanpa tempoh masa henti yang agak panjang. Tempoh masa henti yang panjang di tengah-tengah pidato akan memberi gambaran seolah-olah pemidato sudah kehabisan idea. Pidato yang lancar dan berterusan akan meningkatkan keyakinan pendengar. Kelancaran juga bermakna pengaliran idea secara berterusan tanpa perlu kerap melihat kepada nota. Lancar tidak bermakna laju. Ini kerana pidato yang terlalu laju akan menimbulkan lebih banyak persoalan kerana pendengar tidak begitu dapat memahami apa yang ingin disampaikan.

Nada dan intonasi

Nada dan intonasi iaitu naik turun suara perlu dikawal dan dipelbagaikan supaya pidato tidak bersifat mendatar dan membosankan.

Nada tinggi dan bersemangat adalah untuk menarik perhatian.

Nada perlahan dan mendayu ialah apabila ingin merayu dan meminta simpati.

Nada sederhana dan mesra apabila memujuk.

Nada tinggi dan lantang apabila ingin membakar emosi.

Kecekapan berbahasa

Kecekapan berbahasa bermakna kemahiran menggunakan istilah yang tepat dan menguasai tatabahasa yang baik dan ayat-ayat yang tersusun. Bahasa yang tunggang-langgang akan mengelirukan pendengar.

Aras bahasa perlulah disesuaikan dengan sifat umum pendengar. Misalnya, jika berpidato di kalangan kaum nelayan, tidak perlulah menggunakan bahasa yang terlalu bombastik.

Unsur-unsur keindahan bahasa perlu diselitkan di sana sini untuk menarik minat pendengar. Misalnya penggunaan pantun, bahasa kiasan, peribahasa dan perumpamaan.

Gaya penyampaian

Gaya penyampaian atau bahasa badan (body language) adalah aspek penting dalam pidato. Pemidato yang hanya berdiri tegak laksana tiang telefon tidak akan menarik minat pendengar.

Pemidato perlu bijak menggunakan gerak tangan, gerak mata dan gerak badan yang diselaraskan dengan fakta-fakta tertentu dalam pidatonya.

Pemidato tidak boleh kaku semasa menyampaikan pidato. Namun aksi yang berlebihan atau keterlaluan juga perlu dihindari. Aksi berlebihan akan kelihatan seperti aksi badut di sarkis.

Mimik muka juga perlu dijaga. Pemidato perlu senyum apabila memberi fakta gembira, sedih apabila gundah dan marah apabila sampai peringkat emosi tinggi. Contohnya, pemidato tidak wajar ketawa gembira apabila menceritakan tentang kesengsaraan masyarakat.

Kemahiran Menutup Pidato

Dalam pidato, bukan sahaja perlu memberikan pengenalan dan isi yang memberangsangkan, malah pada bahagian penutupnya perlu memberangsangkan juga.

Membuat rumusan

Sebelum menamatkan pidato, pemidato perlu membuat rumusan keseluruhan tentang tajuk pidatonya. Jangan biarkan pendengar membuat rumusan mereka sendiri kerana mereka mungkin tidak langsung membuat rumusan, atau sudah lupa persoalan utama pidato tersebut.

Penegasan semula tajuk

Pemidato juga perlu menegaskan semula pendiriannya terhadap tajuk. Ini bertujuan untuk meyakinkan semula pendengar terhadap isu yang cuba disampaikannya.

Mengakhiri dengan nada lantang

Dalam bahagian penutup juga, pemidato perlu menggunakan nada yang lantang dan meyakinkan. Pemidato juga boleh menggunakan rangkap kata yang puitis, atau memberi pantun semasa mengakhiri pidatonya. Ini akan meninggalkan impak yang berkekalan kepada pendengar.

Meninggalkan soalan rangsangan

Pemidato juga boleh mengakhiri pidatonya dengan meninggalkan satu soalan rangsangan kepada pendengar. Ini bertujuan untuk mengajak pendengar membuat renungan dan memberi penilaian yang sama.

Menyatakan harapan

Pemidato juga wajar menyatakan harapannya agar apa yang telah disampaikannya itu boleh memberi manfaat kepada pendengarnya.

Ucapan terima kasih dan mohon maaf

Selepas itu, pemidato perlu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis pada waktu berkenaan. Akhirnya pemidato memohon maaf kepada para hadirin sekiranya terdapat kesilapan semasa berpidato.

Aktiviti

Sila masuk ke laman blog ini http://faridahjajpm1.blogspot.com/2010/02/contoh-pidato-satu-malaysia.html untuk melihat contoh pidato tentang konsep 1Malaysia.

Ringkasan

Pidato ialah ucapan yang disampaikan di khalayak ramai untuk menghuraikan dan menjelaskan tentang sesuatu tajuk atau persoalan. Aliran komunikasi dalam pidato adalah sehala, iaitu maklumat disampaikan oleh pemidato kepada pendengar. Tujuan umum pidato adalah untuk meyakinkan pendengar tentang sesuatu perkara.

Tujuan pidato adalah untuk: memberi penerangan tentang sesuatu tajuk kepada pendengar; memaklumkan tentang sesuatu yang baru kepada pendengar; meyakinkan pendengar tentang pendirian pemidato terhadap sesuatu persoalan; mempengaruhi pendengar supaya memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara.

Ada lima bahagian utama dalam pidato iaitu pembuka kata, bahagian menarik minat dan membina keyakinan pendengar, bahagian isi, penutup isi, penutup pidato.

Pidato yang baik perlu dimulakan dengan baik juga. Untuk memberikan pidato yang baik, dua peringkat perlu dilalui iaitu peringkat persediaan dan peringkat permulaan ucapan.

Pendapat atau pandangan dalam sesuatu pidato adalah intipati pidato itu sendiri. Oleh itu kemahiran melahirkan pendapat adalah penting. Ini kerana, pendapat yang baik tetapi tidak dapat dizahirkan dalam pidato, tidak akan sampai kepada pendengar. Terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat dalam soal kemahiran melahirkan pendapat ini iaitu pemilihan kata, pemilihan ayat, penyusunan fakta, kesepaduan, koheran, pertautan, ringkas dan padat.

Latihan Kendiri

Apakah pengertian dan tujuan pidato?

Apakah peringkat-peringkat binaan sebuah pidato?

Antara kemahiran yang perlu ada pada seseorang pemidato ialah memahami audien atau pendengarnya. Apakah perkara-perkara yang perlu difahami oleh seseorang pemidato?

Jawapan 1:

Pidato adalah ceramah. Tujuan pidato adalah untuk memberi penerangan tentang sesuatu tajuk kepada pendengar; memaklumkan tentang sesuatu yang baru kepada pendengar; meyakinkan pendengar tentang pendirian pemidato terhadap sesuatu persoalan; dan mempengaruhi pendengar supaya memberi perhatian serius terhadap sesuatu perkara.

Jawapan 2:

Peringkat dan binaan pidato adalah bahagian pembuka kata; bahagian menarik minat dan membina keyakinan pendengar; bahagian isi; bahagian penutup kepada isi; dan bahagian penutup kepada pidato.

Jawapan 3:

Antara perkara tentang pendengar yang perlu diketahui oleh pemidato ialah: jenis dan tujuan majlis yang diadakan; kelompok masyarakat manakah yang akan menjadi pendengarnya; jumlah pendengar sama ada ramai atau sedikit; minat umum para pendengar tentang sesuatu perkara; tahap pendidikan para pendengar; kemungkinan sikap pendengar terhadap pidatonya; jantina pendengar, atau sama ada perempuan lebih ramai dari lelaki atau sebaliknya; kelompok umur pendengar, sama majoriti remaja, orang dewasa atau warga emas.

Incoming search terms:

  • aspek penting dalam binaan teks pidato
loading...

Leave a Reply