Bm Pidato 背 : Sekolah Wawasan Cara Terbaik Menyatukan

Sekolah Wawasan cara terbaik menyatukan pelajar berbilang kaum.

Ibadat kata pepatah Melayu, Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Pengetua, guru-guru, serta warga dewan sekalian. Saya amat Bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana telah memberikan keizinan-Nya untuk saya berdiri di sini bagi menyampaikan pidato yang bertajuk Sekolah Wawasan cara terbaik menyatukan pelajar berbilang kaum.

Sidang pendidik yang dikasihi sekalian,

Adakah anda biasa dengar tentang Sekolah wawasan? Sekolah Wawasan merupakan salah satu usaha kerajaan untuk melahirkan bangsa Malaysia yang akan menghapuskan jurang perkauman dan lebih bersifat cinta akan negara. Seperkara yang perlu diingat, masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan isu-isu sensitif akan mengundang konflik yang membawa padah. Sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menerapkan semangat muhibah dan perpaduan di kalangan masyarakat kerana dunia persekolahan sangat luas dan memakan masa yang panjang.

Sidang hadirin warga dewan budiman,

Tujuan utama konsep Sekolah Wawasan ini ialah memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama-sama dalam sesuatu kawasan yang sama, demi memupuk, dengan lebih awal lagi, perpaduan dalam kalangan anggota-anggota berbilang kaum.

Sekolah Wawasan merupakan pengelompokan yang boleh didirikan dengan dua atau tiga jenis aliran sekolah dalam satu kawasan yang sama, iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dengan menggunakan bahasa pengantar masing-masing. Sehubungan itu, memandangkan sekolah-sekolah tersebut terletak dalam satu kawasan yang sama, maka kemudahan-kemudahan infrastruktur yang disediakan akan dikongsi bersama. Perkongsian kawasan dan kemudahan sekolah ini memungkinkan usaha-usaha penerapan nilai-nilai masyarakat majmuk serta memupuk semangat persefahaman dan toleransi antara kaum.

Melalui Sekolah Wawasan, dapatlah kita menggalakkan guru-guru dan pelajar-pelajar pelbagai kaum bersama-sama menyertai aktiviti-aktiviti yang ditentukan. Contohnya, aktiviti beramai-ramai seperti merentas desa, permainan bola sepak, bola keranjang dan sebagainya. Perkhemahan dan khidmat masyarakat seperti membersihkan sekeliling kawasan sekolah dan aktiviti keceriaan sekolah yang dijalankan oleh tiga jenis aliran sekolah bersama-sama juga dapat menjalinkan hubungan yang baik, memupuk nilai kerjasama, toleransi serta integrasi nasional dapat direalisasikan pada masa akan datang. Maka wujudlah masyarakat yang harmoni dan sejahtera.

Sidang hadirin bervisi,

Sekolah Wawasan merupakan tempat yang dapat menggalakkan generasi muda ini beinteraksi antara satu sama lain tanpa mengira kaum. Komunikasi adalah terbuka merentasi kaum etnik melalui pergaulan semasa rehat dan aktiviti kokurikulum. Jika dalam kehidupan sehari-harian mereka sudah bercampur gaul, maka agak janggal jika di sekolah mereka diasingkan mengikut kaum.

Dengan kata-kata ini, saya sudahi pidato saya dengan ucapan ribuan terima kasih.

Leave a Reply