Pidato Assgmnt : 4.0 Pemindahan Teks (teks Pengucapan Umum)

4.0 Pemindahan teks (teks pengucapan umum)

4.1 Pidato bertemakan Membina Negara Bangsa

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Tuan Rijeng Jahet, Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pulau Pinang. Yang dihormati, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, saudari penjaga masa yang setia dengan neraca keadilannya, ketua-ketua unit, para pensyarah dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 telah disempurnakan pelancarannya oleh Y.A.B. Datuk Seri Abdullah Bin Hj. Ahmad Badawi pada 16 Januari 2007 bersamaan 26 Zulhijah 1427 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ini telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP 2006-2010 telah menggariskan enam teras, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

Justeru, bicara perdana saya pada hari ini berdasarkan persoalan Apakah peranan pendidik dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Saya kecilkan definisi dengan menumpukan sekitar persoalan peranan seorang pendidik dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Frasa peranan pendidik membawa maksud tanggungjawab seorang guru. Manakalala rangkai kata usaha memperkasakan bahasa kebangsaan memberi erti ikhtiar untuk memperhebat bahasa yang menjadi identiti negara kita. Tuntasnya, definasi pidato saya ialah tanggungjawab guru dalam berikhtiar untuk memperhebat bahasa yang menjadi identity Negara kita.

Sidang pendengar yang setia,

Atas kata bicara mengalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul adalah hujah saya yang pertama. Dalam konteks negara bangsa Malaysia, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang menjadi alat perpaduan dan juga selaku bahasa perhubungan utama masyarakat yang berbilang kaum. Dalam bidang pendidikan, Akta Pelajaran 1961 yang dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Pengunaan bahasa kebangsaan yang betul amat penting terutama kepada golongan pendidik atau pun lebih dikenali sebagai seorang guru. Hal ini disebabkan guru merupakan contoh yang paling utama yang akan menjadi ikutan oleh semua pelajar. Sekiranya guru sendiri sering meggunakan bahasa kebangsaan yang tidak betul, maka tidak mustahil para pelajar juga akan mengikutinya. Oleh itu seorang guru haruslah mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam proses pengajaran.

Hujah saya yang kedua di bawah lembayung kata memperkembangkan bakat sastera. Seorang guru harus mempunyai serba sedikit ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan sastera meskipun guru tersebut mengajar subjek bukan bahasa Melayu. Hal yang demikian, sastera merupakan elemen penting yang dapat memupuk atau menimbulkan semangat patriotisme di kalangan pelajar. Para guru seharusnya memupuk minat pelajar atau berusaha mengembangkan bakat sastera di kalangan pelajar. Sebagai contoh, mengadakan pertandingan mendeklamasi sajak, bersyair, berpantun dan sebagainya. Secara tidak langsung, para guru dapat memperkasakan bahasa kebangsaan seterusnya dapat memupuk kecintaan terhadap seni, warisan, dan budaya bangsa yang juga merupakan usaha utama dalam membina negara bangsa.

Sidang hadirin yang budiman,

Hujah saya yang ketiga adalah berkenaan penekanan terhadap bahan bacaan. Kita sedia maklum bahawa masalah pencemaran dalam penggunaan bahasa kebangsaan khususnya di tempat awam dan dalam media massa, peminggiran penggunaannya dalam urusan rasmi di sektor awam dan swasta serta kemerosotan penggunaannya sebagai bahasa ilmu, termasuk di institusi-institusi pendidikan tinggi adalah cabaran yang nyata dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun masalah ini dapat ditangani sekiranya dikawal dari peringkat pendidikan rendah. Di sini guru memainkan peranan untuk membimbing para pelajar memilih bahan bacaan yang dapat membantu pelajar menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Oleh itu, guru harus bijak dalam hal ini bagi menjayakan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.

Hujah saya yang terakhir di bawah kata kunci kerjasama guru dengan pihak lain. Hal ini merupakan usaha bagi memperkasakan bahasa kebangsaan. Semua pendidik haruslah mewujudkan sasaran yang jelas dan pendekatan yang menyeluruh terhadap pelajar serta mengadakan kerjasama antara badan penggerak utama bahasa. Usaha ini amat penting untuk memupuk perasaan cintakan bahasa kebangsaan kerana ia merupakan identiti unik bangsa Malaysia. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi moden. Matlamatnya adalah untuk melahirkan generasi masa depan bangsa Malaysia yang fasih, menghormati dan berbangga dengan bahasa yang menjadi identiti mereka sehingga dapat mempromosikannya di mana sahaja mereka berada.

Sidang pendengar yang dirahmati Allah,

Keupayaan membina Negara Bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan bagi melahirkan warganegara glokal yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan tempatan.

Kesimpulannya, peranan guru dalam membentuk generasi muda amat penting bagi menjayakan teras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan yang pertama iaitu membina negara bangsa ini.

Sekian sahaja hujah dari saya. Terima kasih.

loading...

Leave a Reply