Pidato Integriti Asas Kecemerlangan

INTEGRITI ASAS KECEMERLANGAN

 

SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT, AKHIRNYA JATUH KE TANAH JUA!

Terima kasih saudara/i pengacara majlis, kombinasi kehakiman yang berpaksikan keadilan pastinya, penjaga masa yang setia, para deligasi kehormat, kerabat seangkatan yang petah berhujah, serta sidang dewan yang saya muliakan. 

Selamat petang, salam sejahtera, dan salam integriti!

Pendidikan yang berkualiti, merakyatkan integriti Apa sebenarnya integriti ini? Apa sebenarnya kepentingan integriti ini sehingga ianya hangat menjadi bualan dalam kalangan masyarakat. Itu satu pertanyaan yang saya akan kupas dan perhalusi di dalam mauduk pidato saya pada petang ini yang berbunyi Integriti Asas Kecemerlangan

Namun, sebelum lidah menutur kata, sebelum hujah menyusul bicara, biarlah saya definisikan dahulu 3 rangkai kata tajuk pidato ini.

Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga. Integriti bermaksud kejujuran @ keadaan yang sempurna. Asas pula membawa maksud sesuatu yang menjadi sandaran kepada sesuatu yang lain. Manakala, Kecemerlangan pula, bermaksud keindahan @ kegemilangan. Dalam konteks pidato saya, Integriti Asas Kecemerlangan secara tuntasnya bermaksud kejujuran (yakni tanpa gejala rasuah) negara akan mencapai kegemilangan dalam bidang politik, pentadbiran, sosio-budaya dan ekonomi.

Sidang hadirin pencetus inspirasi, Beralih kita kepada hujah saya yang pertama

<INTEGRITI ASAS KECEMERLANGAN POLITIK>

Sidang dewan yang berkarisma, tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata! Tetapi sejarah juga telah membuktikan bahawa banyak pemimpin dan negara di dunia ini yang jatuh kerana korupsi.Siapa tidak kenal dengan Suharto, Alberto Fujimori dan Ferdinand Marcos? Kerajaan Abbasyiah, Umaiyah dan Mamluk juga tumbang dek rasuah. Tegasnya, integriti dalam politik maksudnya tiada amalan rasuah, tiada penyelewengan, tiada salah guna kuasa dan tiada karenah birokrasi. 

Sidang dewan!

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi di mana pemimpin dipilih oleh rakyat. Hatta, cabaranterbesar seorang pemimpin ialah memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat. Persoalannya, apakah yang rakyat mahukan? Rakyat mahukan gelanggang politik yang bersih, bersifat amanah, telus, bertanggungjawab dan benar-benar berkhidmat untuk kepentingan rakyat dan negara. Dengan kata lain, biarlah istilah Yang Berhormat menjadi Yang Berkhidmat. Contohilah Perdana Menteri kita yang pernah berkata bekerjalah bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya Itulah dia, pemimpin bervisi, rakyat beraspirasi!

Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, Hujah saya yang kedua berbunyi,

<INTEGRITI ASAS KECEMERLANGAN PENTADBIRAN NEGARA>

Sidang dewan yang intelek, Institusi pentadbiran di Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara Membangun. Ini kerana, jentera pentadbiran bersama-sama dengan jentera politik menjadi tulang belakang kekuatan masyarakat dan negara.Pentadbiran  sektor awam misalnya, merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan sesuatu dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam yang cekap dan berkualiti amat perlu bagi memenuhi keperluan masyarakat dan merealisasikan kesejahteraan hidup rakyat. Kerjasama dan koordinasi yang jujur antara pemimpin dan jentera pentadbiran akan meningkatkan dinamika dan kekuatan negara. Pendek kata, dengan ketiadaan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan karenah birokrasi, InsyAllah! Negara kita mampu mencapai kecemerlangan dalam politik dan berkerajaan!

Budi bahasa budaya kita

dendangan datuk Siti Nurhaliza

waima tak sesedap suara empunya

mesej dibawa tiada berbeza

Hujah saya yang ketiga! <INTEGRITI ASAS KECEMERLANGAN SOSIO BUDAYA>

Sidang dewan yang budiman, mesej yang disampaikan dalam lagu budi ini merupakan satu indikator bahawa negara kita sememangnya kaya dengan keindahan dari segi sosio-budaya. Namun, amalan rasuah yang sekian lama berakar umbi dalam masyarakat telah mencacatkan keindahan ini. Ibarat nila setitik yang merosakkan susu sebelanga! Sosio-budaya merangkumi pendidikan, media massa, sastera dan juga warisan. Institusi pendidikan misalnya, dapat melahirkan modal insan yang gemilang dan terbilang melalui penerapan dan pemantapan nilai-nilai murni, nilai-nilai moral dan etika dalam setiap individu pelajar.

Dalam institusi media pula, integriti dapat memulangkan hak rakyat dalam menerima dan memberi maklumat secara bebas, kendatipun menyentuh soal-soal politik. Bak kata Perdana Menteri dalam satu temubual media saya lebih bersedia melihat perbalahan hangat meletus di muka akhbar, daripada rusuhan membara di muka bumi.Dipendekkan cerita, integriti dalam sosio-budaya mampu meningkatkan karisma dan daya saing negara di persada dunia.

Hujah saya yang terakhir <INTEGRITI ASAS KECEMERLANGAN EKONOMI>

Sidang dewan yang produktif. Institusi ekonomi adalah institusi yang memakmurkan masyarakat dan negara melalui proses pengeluaran dan penyediaan peluang pekerjaan. Ini ditandai dengan kemunculan banyak syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana yang pastinya memainkan peranan penting kepada kemajuan negara dan rakyat. Bribery Payers Index 2002 menunjukkan pemberian rasuah oleh syarikat-syarikat multinasional masih berleluasa. Jenayah ini turut mendalangi kebejatan ekonomi negara kita.

Pelan Integriti Nasional, dalam TEKAD 2008 telah mensasarkan usaha untuk meningkatkan urus korporat dan etika perniagaan.Kemenjadian usaha berkenaan ditandai dengan penyusutan kes-kes penipuan korporat dan peningkatan tender2 yang dilakukan secara telus. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan projek-projek mega yang akhirnya sekadar menjadi gajah putih, ibarat hidup segan, mati tak mahu.

Seyogianya, dengan terheretnya jerung2 dan ikan2 bilis yang terjebak dalam dakwaan rasuah, belum cukup untuk menghapuskan gejala ini.Oleh itu, kita memerlukan satu mekanisme lain iaitu melalui penerapan dan pemantapan integriti. Namun, usaha untuk meningkatkan integriti memerlukan sinergi pelbagai komponen dan sektor. Tidak dilupakan iltizam pemimpin dan dedikasi rakyat.Sememangnya, integriti asas kecemerlangan politik, pentadbiran, sosiobudaya dan ekonomi.

Sebelum saya mengundurkan diri, marilah sama2 kita renung2kan kata2 mantan PM kita, Tun Dr. Mahathir Mohammad kita tolak semua yang berbau rasuah, kerana bangsa kita akan hancur dan kita semua akan terus jatuh ke lembah kehinaan, daif dan tidak bermaruah.

Pohon pulasan tepian titi,

Mekar seri bunga kiambang,

Pupuklah diri sifat integriti,

Masyarakat cemerlang negara terbilang!

Sekian dan terima kasih.

Leave a Reply