Bmk Pidato : Bismillahirrahmanirrahim,

Bismillahirrahmanirrahim,

Cetusan barakah buat peneraju acara,

Saf kehakiman yang berpaksikan keadilan,

Penjaga masa yang setia,

Para delegasi kehormat,

Kerabat seangkatan yang petah berhujah,

Serta hadirin yang saya muliakan.

Assalamualaikum, salam integriti kesemuanya.

Hadirin sekalian,

Sungguh indah aksara yang tersusun, membina satu rangkaian kata yang menjadi tunggak bicara kata saya pada hari ini. Membangunkan modal insan bertaraf dunia melalui pendidikan. Itulah tajuk pidato saya.

Sebelum nakhoda melayar bahtera, sebelum lidah menutur kata, sebelum hujah menyusul bicara, baik kiranya saya memperkenalkan mauduk saya terlebih dahulu, kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Sidang dewan sekalian,

Kata membangunkan merujuk kepada suatu perilaku yang membuat supaya membangun, membina atau memajukan, dan dalam konteks pada hari ini, negara atau bangsa.

Frasa modal insan pula merujuk kepada nilai-nilai murni yang ada pada seseorang insan, seperti pengetahuan, kekuatan mental, fizikal dan rohani.

Frasa bertaraf dunia pula adalah mempunyai taraf atau darjat di atas muka bumi.

Kata melalui bermaksud menerusi atau menggunakan.

Akhir sekali, kata pendidikan menurut John Dewey seorang ahli falsafah dan psikologi, pendidikan adalah satu proses pertumbuhan dan perkembangan. Pendidikan juga adalah suatu usaha mengatur pengetahuan kita untuk menambahkan pengetahuan semula jadi yang ada pada seseorang individu itu.

Maka dengan itu, inti pati madah bicara saya pada hari ini akan berkisar tentang bagaimana pendidikan itu boleh menjadi satu mekanisme yang berkesan untuk menjadikan impian melahirkan modal insan bertaraf dunia suatu realiti. Perkara ini dapat dibuktikan dengan 4 wacana fikrah yang unggul.

Pertama, pendidikan melahirkan insan yang seimbang. Kedua, pendidikan menjana insan cemerlang. Ketiga, pendidikan membentuk pemimpin berkaliber. Akhir sekali, pendidikan mencorak jati diri cemerlang.

Hadirin sekalian,

Meniti wacana fikrah saya yang pertama, di bawah kata kunci, pendidikan melahirkan insan yang seimbang. Matlamat utama yang terkandung dalam falsafah pendidikan kebangsaan adalah untuk melahirkan insan yang seimbang dalam aspek JERI yakni jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kestabilan dalam aspek JERI ini menjadi tunggak utama atau akar dan dasar kepada pembentukan modal insan yang bertaraf dunia. Seorang pelajar atau individu dibentuk sejak dari awal lagi melalui pendidikan. Para pelajar diberi pendidikan untuk mengawal, mengurus dan mengekspresikan emosi mereka dengan cara yang betul. Selain daripada itu, pelajar juga diberi bimbingan rohani yang sepenuhnya agar mereka memiliki kekuatan rohani yang utuh. Aspek jasmani juga dititikberatkan, pengetahuan tentang kebolehan dan cara untuk menjaga tubuh badan dibekalkan kepada pelajar agar aspek kesihatan tubuh badan tidak diabaikan. Akhir sekali, sudah semestinya aspek intelek menjadi tunggak utama untuk menjadikan seseorang individu itu berjaya. Kekuatan dan kebolehan intelek seseorang pelajar itu dikenal pasti dan diasah sejajar dengan kemampuannya agar pelajar mampu untuk mengaplikasikan secara praktikal apa yang telah dipelajarinya secara teori. Buktinya, sehingga hari ini ramai saja pelajar yang mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum.

Lahirnya insan yang seimbang dalam aspek asas ini maka akan lahirlah insan yang dapat menggalas matlamat negara untuk melahirkan modal insan yang bertaraf dunia.

Sidang dewan yang bervisi,

Wacana fikrah saya yang kedua, di bawah kata kunci, pendidikan menjana insan cemerlang. Kurikulum pendidikan yang telah atur oleh Kementerian Pelajaran Malaysia cukup lengkap dan menyeluruh. Melalui kurikulum inilah insan-insan yang cemerlang dapat dilahirkan. Kurikulum yang menyentuh kedua-dua aspek akademik dan ko-kurikulum dapat melahirkan pelajar yang serba boleh dan dapat mengadaptasikan diri mereka dengan pelbagai situasi dan senario yang bakal mereka hadapi. Selain daripada itu, penambahbaikan terhadap kurikulum pendidikan di negara ini sentiasa dibuat dan diberi perhatian agar kualiti pelajar yang dihasilkan itu tidak terjejas dan sentiasa menepati piawaian yang telah ditetapkan agar impian melihat modal insan itu dapat menjadi kenyataan. Namun begitu, kejayaan seseorang dalam bidang akademik semata-mata tidak menjadi kayu ukur untuk mengetahui kecemerlangan seseorang itu, tapi lebih kepada pencapaian secara menyeluruh yang termasuk kedua-dua bidang akademik dan kokurikulum serta sahsiah dan nilai-nilai moral yang ada dalam diri mereka. Buktinya,

Maka, dengan ada kestabilan dan keseimbangan dalam aspek akademik dan ko-kurikulum, semakin dekat kita untuk mencapai misi melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Hadirin sekalian,

Meniti wacana fikrah saya yang ketiga, pendidikan membentuk pemimpin yang berkaliber. Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Tun Abdul Razak Bin Haji Dato Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato Seri Mohd Najib Abdul Razak merupakan antara nama yang tidak asing lagi. Nama-nama inilah yang mendokongi tampuk kepimpinan negara dan mencorak negara kita sehingga maju. Namun begitu, kepimpinan yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin negara bukan sahaja Perdana Menteri kita tapi juga di bahagian-bahagian yang lain tidak datang dengan sendirinya tetapi melalui pendidikan yang telah mereka perolehi. Tidak ada dalam sejarah yang menunjukkan bahawa ada pemimpin yang mampu untuk memimpin dengan jayanya tanpa pendidikan. Semua pemimpin yang terkenal pasti memiliki latar belakang pendidikan yang baik. Pendidikan membolehkan seseorang itu belajar bagaimana untuk mengawal diri mereka semasa berurusan dengan orang lain dan juga bagaimana untuk mengurus dan mengendalikan situasi-situasi yang genting yang mana kesan dan akibatnya perlu difikirkan dan macam-macam lagi. Tanpa pendidikan keputusan yang baik tidak dapat dicapai dan kemungkinan besar jika tersilap langkah, akan berderai hancur negara dek kerana pemimpin yang tidak berpengetahuan. Lantaran itu, pendidikan yang dicurahkan kepada generasi muda masa kini cukup merangkumi aspek asas yang perlu mereka pelajari untuk menjadi seorang pemimpin. Semua orang mampu untuk menjadi pemimpin namun dengan pendidikan yang baik dan strategik, kemampuan yang terpendam itu dapat diluahkan dan dijadikan suatu kelebihan. Apabila, sifat kepimpinan itu ada maka secara tidak langsung mereka akan menjadi modal insan kepada orang lain yang melihat mereka sebagai kayu ukur kepada kejayaan. Pemimpin yang berpendidikan sebagai modal insan terbaik sebuah negara.

Sidang dewan bervisi,

Wacana fikrah saya yang keempat adalah pendidikan mencorak jati diri cemerlang. Jati diri secara literalnya bermaksud sifat atau ciri yg unik dan istimewa yg menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu. Jati diri inilah yang membimbing dan membentuk seseorang individu agar tidak menyimpang dari haluan kejayaan yang sepatutnya. Tanpa jati diri, seorang insan itu boleh diibaratkan seperti layang-layang yang terputus tali. Tidak ada tujuan, dan tidak ada pegangan. Namun begitu, jati diri cemerlang seorang insan tidak wujud dengan sendirinya. Pasti ada yang mendidik agar yang terbentuk itu benar, tidak songsang. Di sinilah pendidikan memainkan peranan yang penting. Pendidikan lah yang membentuk dan menerapkan jati diri cemerlang dalam jiwa insan. Pelajar didedahkan dengan nilai-nilai yang wajar ada pada diri untuk berjaya bukan sahaja duniawi malah ukhrawi. Jati diri yang diterapkan dalam jiwa insan in mampu untuk menjadikan matlamat membangunkan modal insan kelas pertama bertaraf dunia suatu kenyataan.

Sidang hadirin sekalian,

Kesimpulannya, pendidikan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk kejayaan dalam negara agar warga yang memiliki nilai-nilai yang unggul dapat menjadi modal insan yang bertaraf dunia. Memetik puisi hasil karya Indragung Priyambodo, yang bertajuk pendidikan, seseorang yang mendidik, saat itu juga sedang dididik, seseorang yang sedang dididik, saat itu juga sedang mendidik, jadi seorang pendidik sebenarnya juga seorang yang dididik dan seorang yang dididik tanpa sedar sebenarnya juga seorang pendidik. Sekian, terima kasih.

loading...

Leave a Reply