Contoh Teks Pidato : Sekalung Apresiasi Saya Hulurkan Buat

Sekalung apresiasi saya hulurkan buat saudari pengerusi, kombinasi intelektual kehakiman bervisi, para guru pencetus revolusi, rakan-rakan yang dikasihi, seterusnya hadirin hadirat, warga dewan yang saya hormati, dekat dihati. Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.

Tampilnya saya disini untuk membawa hadirin hadirat, anda semua untuk kita sama-sama memahami, menyelami dan mendalami mauduk bicara saya Peranan Koperasi Dalam Mewujudkan Budaya Kerjasama dan Usahawan dalam Kalangan Pelajar

Hadirin dan hadirat,

Sebelum lidah mengukir bicara, sebelum kalbu membisikan ilham, sebelum akal melontarkan hujah, izinkan saya menyingkap definisi disebalik mauduk pidato saya ini. Mengikut kamus dewan edisi ke-4, budaya kerjasama dapat ditakrifkan sebagai pengamalan cara bekerja bersama-sama dan menimbulkan persefahaman antara beberapa pihak. Budaya usahawan pula bermaksud pengamalan cara menguruskan sesuatu perusahaan yang melibatkan elemen perniagaan.

Justeru itu,untuk menghuraikan mauduk pidato ini, melalui 4 pencerakinan hujah,

Koperasi Penjana Kerjasama Pelajar

Kebaikan Koperasi Untuk Semua

Koperasi Pembentuk Usahawan Berjaya

Koperasi Pencetus Pengguna Bijak

Hadirin sekalian,

Menelusuri tuntas pertama, Koperasi Penjana Kerjasama Pelajar. Kerja-kerja yang perlu dilakukan dalam koperasi sekolah, Hari Koperasi Sekolah misalnya, memerlukan komitmen dan kerjasama lebih daripada satu pihak iaitu melibatkan kerjasama guru-guru, ahli koperasi dan pelajar untuk memastikan unit koperasi sekolah ini berjalan dengan lancar. Koperasi sekolah takkan berdiri teguh tanpa kerjasama daripada semua pihak. Koperasi dan pelajar, ibarat irama dan lagu, ibarat isi dengan kuku. Sudah terang lagi bersuluh, sememangnya koperasi sekolah merupakan platform utama untuk mewujudkan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Kedua, kebaikan koperasi untuk semua. Bersangkut dengan hujah saya yang pertama., aktiviti kebajikan yang dilakukan oleh pihak koperasi memerlukan kerjasama daripada para pelajar yang memberikan kebaikan untuk semua. Misalnya, pihak koperasi dan pelajar giat mengutip wang untuk Tabung Palestin untuk disalurkan kepada mangsa keganasan Israel. Keuntungan jualan di koperasi juga, sebahagiannya digunakan untuk kemudahan dan keceriaan disekolah seperti jam besar yang berada di Dataran Budi.

Hadirin yang saya hormati,

Meneruskan hujah yang ketiga, koperasi pembentuk usahawan Berjaya. Jualan di koperasi sememangnya mampu membentuk usahawan yang Berjaya kerana para pelajar ini telah mempunyai pengalaman dalam bidang keusahawaan ini sejak di bangku sekolah. Jika disingkap dengan perspektif yang lebih mendalam, Hari Koperasi Sekolah member peluang keemasan untuk para pelajar berniaga. Pada Hari Koperasi, terdapat pelbagai bazaar dan jualan yang pasti mampu mencungkil bakat-bakat pelajar dalam bidang keusahawanan. Sedar atau tidak, koperasi memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan usahawan yang Berjaya.

Hujah saya yang terakhir,

Koperasi Pencetus Pengguna Bijak. Jika ditelusuri, untuk menjadi usahawan yang berjaya, kita perlu menjadi pengguna yang bijak terlebih dahulu barulah boleh memahami bagaimana unuk menjadi usahawan yang berjaya. Oleh hal yang demikian, koperasi sekolah sentiasa mewawarkan ilmu kepenggunaan untuk menjadikan para pelajar penguna yang bijak. Edaran kertas diedarkan dan ditampal di papan kenyataan. Ceramah juga diadakan. Hal ini kerana, ilmu kepengunaan penting dalam diri seorang usahawan. Ini adalah cara yang berkesan untuk mewujudkan usahawan dalam kalangan pelajar.

Hadirin, warga dewan sekalian.

Deduksinya, koperasi sekolah ibarat tulang belakang dalam mewujudkan budaya kerjasama dan usahawan di sekolah. Slogan koperasi satu untuk semua, semua untuk satu amat bersesuaian sekali dengan peranan yang dimainkan oleh koperasi. Sesungguhnya koperasi sekolah dengan pelajar ibarat aur dengan tebing tidak boleh dipisahkan kerana saling melengkapi apabila para pelajar berada di sekolah. Persoalannya, adakah para pelajar mengetahui peranan pernting koperasi ini dan menghargainya atau sebaliknya? Renung dan fikirkan.

Sekian, Terima Kasih.

Leave a Reply