Pidato : Awal Bismillah Pembuka Bicara,

Awal Bismillah pembuka bicara,

Bicara hamba membuka kata,

Majlis bermula tirai dibuka,

Dengan alunan pidato saya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang saya hormati pensyarah pebimbing kita iaitu Encik Ahmad Sukri Bin Mustaffa serta bakal rakan-rakan bakal guru yang saya hormati sekalian. Salam sejahtera serta salam 1Malaysia saya ucapkan. Pertamanya saya ingin mengucapkan rasa syukur kepada Maha Esa kerana kita diberi nafas baru untuk berkumpul di dalam dewan yang serba indah ini. Berdirinya saya di atas podium ini adalah untuk menyampaikan pidato saya yang bertajuk Nilai Murni Tangga Kejayaan Negara.

Sidang hadirin sekalian,

Adakah anda tahu apa yang dimaksudkan dengan nilai murni? Nilai murni secara umumnya boleh didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Menurut Wan Mohd Zahid (1988) dalam bukunya, beliau ada mentakrifkan nilai murni sebagai, tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia".

Justeru, pada hari yang mulia ini, berdirinya saya adalah untuk membentangkan apakah itu nilai murni dari segi konsep dan perlaksanaannya, seterusnya mengaitkan kepentingan nilai murni dalam membina kejayaan negara pada masa hadapan.
Kata pepatah ada menyebut, biar mati anak,jangan mati adat, adat bersendi syarak, syarak bersendi adat dan bahasa itu jiwa bangsa. Pepatah-pepatah ini pada umumnya menggambarkan betapa masyarakat Melayu dan adat-adat resamnya tidak boleh dipisahkan. Apabila datangnya Islam ke Asia Tenggara beratus tahun yang lalu, orang Melayu telah mengasimilasikan nilai-nilai Islam dalam adat masyarakat setempat. Kita semua pastinya sudah sedia maklum mengenai betapa budi pekerti,nilai-nilai hidup yang mulia dan adab yang baik adalah telah sebati dengan masyarakat Melayu. Hal ini dikuatkan lagi dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu yang mana akidah Islam itu sendiri telah menerapkan adab dan akhlak dalam kehidupan seorang muslim.
Dengan melakukan perkaitan nilai-nilai yang mulia yang ada dalam masyarakat Melayu dan agama Islam, saya ingin menunjukkan betapa peri pentingnya nilai-nilai murni dalam membina kejayaan negara kita.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Kata pendeta Zaaba, Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa dalam konteks masyarakat bukan hanya sebagai sistem lambang bunyi yang digunakan untuk bertutur sebaliknya turut membawa makna perlakuan dan tingkah laku seseorang. Masyarakat Melayu memang dikenali sebagai masyarakat yang kaya dengan budi bahasa. Hal ini dapat dilihat dengan peribahasa Melayu iaitu orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Persoalannya sekarang,apakah perkaitan di antara nilai mulia seperti ini dengan kejayaan dan kemajuan sesebuah negara?

Jika kita mengimbau sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka suatu masa dahulu misalnya, kita dapat melihat bahawa antara faktor kemajuan pelabuhan Melaka itu sendiri adalah sikap masyarakat Melaka pada masa itu yang mempunyai nilai pekerti yang tinggi.Hal ini telah menarik minat para pedagang asing yang merasakan sangat aman dan selamat apabila berada di Melaka. Contohnya, perkara ini dibuktikan dengan kewujudan masyarakat peranakan Baba dan Nyonya yang merupakan masyarakat dari Tanah Besar China yang akhirnya mengambil keputusan untuk menetap secara terus di Melaka hingga ke berpuluh generasi selepasnya. Ibnu Khaldun ada memberikan takrifan tamadun iaitu kemajuan dari sudut lahiriah dan rohaniah. Kita dapat mengenalpasti kemajuan dari sudut lahiriah dengan gemilangnya bangunan dan binaan yang hebat, hasil-mahsul dan tanah ladang yang luas namun begitu, bagaimanakah kita hendak menilai kemajuan sesuatu bangsa itu dari segi rohaniahnya? Di sinilah pokok persoalan yang hendak kita bincangkan pada hari ini.Kemajuan rohaniah sesuatu masyarakat sebenarnya terletak pada cerminan minda dan peribadinya.

Biar saya berikan satu situasi. Negara Eropah misalnya, memanglah boleh dikatakan sebuah negara yang sangat maju dengan menguasai sebahagian besar ekonomi dunia, akan tetapi adakah mereka bertamadun dari sudut rohaniahnya? Keadaan semasa di Eropah sangat membimbangkan di mana masyarakatnya menjadi hedonis, hidup dalam keadaan lalai dan berfoya-foya, tidak lagi percaya kepada agama dan meninggalkan nilai-nilai yang baik dalam kehidupan. 

Sidang dewan sekalian,

Menyedari hakikat tersebut itulah maka kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato Seri Mahathir bin Mohamad ketika memperkenalkan Wawasan 2020 pada bulan Februari 1991, ada menjelaskan bahawa Malaysia mahu menuju status negara majunya menjelang tahun 2020 mengikut acuannya sendiri yakni tanpa terikut-ikut dengan kemajuan negara-negara Barat yang tidak maju sepenuhnya. Oleh kerana itulah Wawasan 2020 ada menggariskan beberapa halatuju penting yang ingin dicapai sebagai satu penanda aras terhadap kemajuan Malaysia. Salah satu daripada hala tuju tersebut adalah seperti yang kita bincangkan pada hari ini iaitu untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama,dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang paling tinggi.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Dalam mereliasasikan hasrat tersebut, kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ketika itu ada memperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan 17 nilai-nilai murni yang ingin diterapkan dalam diri setiap individu pelajar di Malaysia. Nilai-nilai tersebut ialah baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat-menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional, semangat bermasyarakat dan patriotisme. Menurut pandangan kerajaan, kesemua nilai murni ini sebenarnya penting dalam mewujudkan masyarakat yang beretika pada masa akan datang bermula dari alam persekolahan lagi.Hal ini kerana kerajaan menyedari hakikat bahawa melentur buluh itu biarlah daripada rebungnya. Menteri Pendidikan pada masa tersebut, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim menjelaskan bahawa matlamat pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang seimbang dan harmonis dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek serta sosial.

Sidang hadirin sekalian,

Saya tidaklah bercadang untuk menghuraikan satu persatu mengenai nilai-nilai yang telah diketengahkan oleh kerajaan kerana ianya memerlukan masa yang agak panjang, namun bolehlah kita ambil beberapa nilai-nilai utama yang boleh kita bincangkan secara bersama.

Pertamanya, jika dilihat kepada antara nilai yang penting dalam kejayaan sesebuah negara bangsa yang maju adalah nilai patriotisme dalam diri masyarakat. Patriotisme membawa maksud kecintaan yang tinggi terhadap tanah air. Apabila masyarakat mempunyai kecintaan terhadap negara, mereka merasakan sangat bertanggungjawab terhadap negara dan di sinilah timbulnya istilah bekerja untuk negara. Masyarakat terutamanya golongan pekerja merasakan bahawa mereka bekerja untuk negara, produktiviti di tempat kerja boleh ditingkatkan sekiranya mereka sedar dan cinta akan negara. Malaysia menuju ke arah sebuah negara perindustrian yang moden. Apabila bercakap mengenai industri, ia berkait rapat dengan produktiviti. Produktiviti yang tinggi pula berkait dengan soal kualiti dalam sesuatu produk. Apakah perkaitan kualiti dengan kemajuan negara?

Mari kita melihat contoh negara Jepun. Seperti yang diketahui, Jepun adalah sebuah negara perindustrian yang berupaya menghasilkan produk industri yang paling berkualiti di dunia. Kejayaan ini menjadikan negara mereka hebat kerana dunia dilihat bergantung kepada hasil industri dari Jepun terutamanya dalam produk automobil,alat elektrik dan elektronik. Hal ini secara tidak langsung mampu menambahkan pendapatan negara selain menyediakan satu landskap kehidupan yang selesa kepada rakyat. Para pemain industri Jepun diketahui sangat bersifat patriotik kepada negara mereka. Hal ini dapat dilihat kepada budaya kerja mereka yang mementingkan budaya kecermelangan dan berkerja untuk membantu negara. Oleh itu, maka tidak hairanlah apabila negara Jepun yang hampir musnah akibat dibom dalam peristiwa Hiroshima dan Nagasaki mampu bangkit dalam masa yang singkat sahaja. Saya ingin menyelitkan dua rangkap pantun yang berbunyi,

Terbang rendah si burung tempua,

Lagi tinggi si burung helang,

Khidmat kualiti keutamaan kita,

Organisasi terbilang dan cemerlang.

Bercabang tiga Gunung Daik,

Nampak jelas dari dekat,

Kualiti kerja lebih baik,

Moga hidup lebih berkat.

Sidang hadirin yang disegani,

Seterusnya, nilai yang penting dalam membina sesebuah negara yang berjaya dalam kalangan masyarakatnya ialah semangat bermasyarakat di sesebuah negara. Saya hendak mengajak sidang hadirin sekalian mengimbau kembali sejarah hitam negara pada 13 Mei 1969. Pada masa tersebut telah berlaku rusuhan kaum yang telah memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini. Masyarakat Malaysia pada masa itu tiada semangat bermasyarakat yang dapat menyatupadukan setiap kaum. Oleh itu, generasi masa kini hendaklah mengelakkan hati nurani dari dipolusi benci dan rasa sangsi. Kita perlu bersedia melakukan sesuatu dengan berdasarkan semangat kekitaan agar wujud sesebuah masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain, saling membantu seterusnya menjalankan satu interaksi dan integrasi sosial di antara satu sama lain. Seperti yang diketahui, masyarakat tradisional di Malaysia sangat-sangat menitikberatkan soal bermasyarakat dalam sesebuah komuniti. Apabila perkara ini diambil berat,perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat dibentuk dan perpaduan adalah sendi kekuatan sesebuah negara

Di samping itu, nilai yang dapat membentuk kejayaan negara Malaysia adalah integriti. Integriti dikaitkan dengan nilai amanah, jujur, boleh dipercayai dan juga sentiasa memelihara kepentingan awam. Oleh sebab itu, Pelan Integriti Nasional telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri kita iaitu Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 23 April 2004. Pelan ini digubal dengan merangkumi pelbagai sektor di negara kita seperti sektor awam, sektor swasta, sektor sosiobudaya dan sektor politik. Sebagai sebuah pelan yang lahir selaras dengan aspirasi rakyat dan dilaksanakan untuk kesejahteraan mereka, Pelan Integriti Nasional mencerminkan ciri-ciri khusus masyarakat dan negara Malaysia. Kesedaran ini dapat membentuk masyarakat berintegriti, bersatu padu, tolak ansur serta saling menhormati sekaligus negara dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi antara negara-negara maju di peringkat Asia mahupun peringkat dunia.

Konklusinya, nilai-nilai murni amat penting dalam membentuk kejayaan negara kita yakni Malaysia. Kejayaan ini dapat kita capai dengan wujudnya masyarakat negara kita yang mengamalkan semua 17 nilai-nilai murni yang telah saya terangkan sebentar tadi. Semua ini akan menyumbang kepada pembangunan yang seimbang dan lestari di samping kestabilan politik dan keharmonian hidup rakyat pelabagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Sebelum saya mengakhiri pidato saya,izinkan saya menutup pidato ini dengan korus lagu yang bertajuk Satu Suara.

Dengan satu suara,

Kita serupa walau berbeza,

Genggam semangat waja,

Dan langkah bersama,

Dalam rentak padu yang sama.

Sekian, terima kasih

( 1545 patah perkataan)

Leave a Reply