TEKS PIDATO KEMERDEKAAN

TEKS PIDATO KEMERDEKAAN

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad pernah mengingatkan bahawa tanpa semangat patriotik, kita tidak boleh yakin bahawa kita dapat bertahan dan mengekalkan hak kita, kemungkinannya ialah Malaysia akan tinggal nama dalam sejarah cuma.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 Malaysia

Yang saya hormati saudari pengerusi,

Kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti,

Rakan rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti

Seterusnya warga dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya, Pembentukan Remaja yang Patriotik Tanggungjawab Bersama

Remaja merujuk kepada individu yang berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun manakala frasa patriotik berasal daripada perkataan Greek, patris yangbermaksud perasaan dan semangat cinta akan negara dan bersedia berkorban untuk mempertahankan tanah air. Tanggungjawab bersama pula saya takrifkan sebagai peranan yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak di Malaysia secara bersinergi. Ijmalnya, saya ingin membawa anda semua untuk sama-sama kita fahami akan langkah langkah yang dapat kita laksanakan bagi membentuk generasi muda yang cinta akan tanah air.

Pragmatik dewan sekalian,

Mantan Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata Berikan aku sepuluh orang tua, dan aku cuma akan mampu menggoncangkan perahu yang terlangkup namun berikan aku sepuluh orang pemuda, dan aku akan mampu menakluk dunia. Lantas, ayuhlah bersama-sama saya kita rungkai satu persatu prakarsa ke arah melahirkan golongan patriot muda yang berwibawa menerusi 3 prima kata, inspirasi mahakarya.

 

Pertama peranan ibu bapa dalam mendidik anak anak mencintai negara. Mungkin kini sudah  begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan betapa untuk kita bangun meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur rebah dimamah penjajah durjana. Namun, hakikatnya manusia yang tidak mengetahui, tidak mungkin akan memahami dan menghayati seterusnya mengaplikasi. Lantas, perlu bagi ibu bapa tonggak keluarga untuk mendedahkan anak anak dengan pelbagai bahan bacaan sejarah negara. Alangkah manisnya apabila anak-anak kita menjadikan Dato Onn Jaafar sebagai idola dan bukannya Abraham Lincoln, alangkah indahnya apabila kanak kanak kecil yang baru berdikit mengatur kata namun sudah petah bercerita tentang Rombongan Merdeka dan alangkah seronoknya andai anak anak muda kita lebih senang membincangkan tentang strategi perjuangan Tunku Abdul Rahman berbanding Alexander the Great.

Kedua ayuh hadirin, kita maju selangkah untuk menilai juga merungkai peranan para seniman dan karyawan dalam industri seni negara. Masihkah hadirin semua ingat bait-bait lagu Warisan nyanyian Belasungkawa Sudirman Haji Arshad? Masihkah terbayang di mata anda, saat Leftenan Adnan Saidi lakonan Hairie Othman ditikam berkali-kali dengan bayonet oleh tentera Jepun.  Semuanya cukup untuk membakar api di dada, menyemarakkan semangat yang membara, cuma satu suara yang bergema di dalam diri kita, Aku Bangga Menjadi Anak Malaysia. Kalaulah dengan kemudahan yang serba kurang pada tahun 90-an pun kita mampu menghasilkan filem Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Anak Satria dan sebagainya. Kenapa tidak pada hari ini, kita giatkan lagi penerbitan pelbagai filem nasionalisme serta lagu lagu patriotik? Hakikatnya, inilah langkah paling proaktif untuk mendekati serta menyelami hati budi Generasi Y yang sukakan hiburan.

 

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,

Ketiga Penggubalan undang undang yang lebih ketat untuk memelihara maruah negara. Menjelang sambutan jubli perak kemerdekaan negara iaitu pada tahun 2007 lalu, seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan seolah-olah merentap keharmonian yang kita kecapi selama ini apabila memuat naik video yang menghina lagu Negaraku, lagu kebangsaan kita. Ayuh kita renung bersama saudara dan saudari, andainya Allahyarham Tunku Abdul Rahman masih berada bersama kita, apa kata beliau? Mungkinkah akan menitis air mata Bapa Kemerdekaan Negara? Di sinilah perlunya untuk kita merangka pelan tindakan terhadap segelintir golongan muda yang cuba mencemarkan keamanan serta kedamaian yang kita kecapi selama ini. Mereka ini sewajarnya dihantar ke pusat pusat pemulihan akhlak dan menjalani sesi kaunseling bagi menyedarkan mereka bahawa  ini negara kita, buruk,baik,cantik atau jelik, ini tanah tumpah darah kita. Tempat kita dilahirkan dan besar kemungkinan tempat kita akan disemadikan.

 

Hadirin,

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan patriotisme sebagai budaya dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah.  502 tahun lalu kita dijajah selama 446 tahun. Seandainya saat ini, kemerdekaan yang ada tidak kita hargai dengan patriotisme, ingatlah, bahawa taktala ayam direban disambar helang, padi di tangan menjadi lalang, sejarah mungkin akan berulang

Incoming search terms:

  • pidato kemerdekaan malaysia
  • contoh teks pidato kemerdekaan malaysia
  • pidato sejarah kemerdekaan malaysia
  • syarahan hari merdeka
  • teks ucapan pidato hari kemerdekaan
loading...

Leave a Reply