Teks Pidato Bahasa Jiwa Bangsa

Terima kasih saudara/i pengacara majlis.

Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana.

Dif-dif kehormat.

Rakan-rakan seperjuangan.

Sidang hadirin warga dewan, aspirasi negara.

Assalamualaikum WM WB dan salam 1 Malaysia.

Prof. Dr Awang Sariyan ada menyatakan bahawa kisah kegemilangan Bahasa Melayu (BM) pada zaman silam telah membuana di jagat rayanamun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak mungkin dapat mengangkat martabatnyaJusteru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui tajuk pidato saya BAHASA JIWA BANGSA.

Sidang hadirin sekalian

Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut mengenai tajuk pidato pada hari ini, eloklah terlebih dahulu sekiranya saya menjelaskan maksud dan definisinya. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka m/s 122, BANGSA bermaksud jenis manusia daripada satu asal keturunan. Selain itu juga, bangsa ditakrifkan sebagai suatu kumpulan manusia dalam suatu ikatan ketatanegaraan. Manakala, BAHASA pula bermaksud sistem lambang bunyi suara yang diguna pakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Selain itu juga, bahasa boleh diertikan sebagai tutur kata dan percakapan yang dipraktik dalam kehidupan seharian. Dalam menghuraikan tajuk Bahasa Jiwa Bangsa, jelasnya terdapat beberapa perspektif ide dan pendapat yang perlu dibentuk dahulu untuk memudahkan kefahaman kita untuk mendalami tajuk ini.

Hadirin sekalian,

Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, bahasa menunjukkan bangsa. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan katakunci saya yang pertama; BAHASA MELAYU MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA.

Jati diri atau identiti sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa        was-was. Bangsa Malaysia membentuk benih perpaduan yang kukuh kerana kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar yang efisien. Malah, sering kali apabila para pelancong asing dating ke sini, mereka setidaknya akan mempelajari bahasa Melayu seperti perkataan Terima Kasih dan Jumpa Lagi. Biarpun penggunaan bahasa Inggeris semakin meluas, namun bahasa Melayu masih lagi menjadi keutamaan warga Malaysia dalam pertuturan tidak kiralah di mana-mana sahaja.Tuntasnya, realiti Bahasa Melayu sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Hadirin yang saya muliakan.

Katakunci kata saya yang kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.

Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa Bahasa Melayu pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, undang-undang, sastera dan agama. Sehingga mutakhir ini, Bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika Bahasa Melayu kini sedang diajar dan dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini. Inilah citra Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Katakunci saya yang ketiga dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA.

Bahasa Melayu telah menjadi asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong, maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, Bahasa Melayu telah mendukung peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang. Malaysia tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya.

Sidang dewan sekalian

Ingin saya simpulkan, bahawa Bahasa Melayu bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya.

BAHASA JIWA BANGSA!

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah.

Leave a Reply