Assignment Pidato 2010 : MEMBINA NEGARA BANGSA ASPIRASI

MEMBINA NEGARA BANGSA ASPIRASI BERSAMA

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang berdiri kukuh di bawah lembayung keadilan, penjaga masa yang tidak pernah leka dengan masanya, guru-guru pencetus revolusi minda, seterusnya hadirin yang dihormati sekalian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Berdirinya saya di sini, bukanlah untuk mencari publisiti murahan, tetapi adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Membina negara bangsa : aspirasi bersama.

Sebelum bahtera saya layari, sebelum kata disusun rapi, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan edisi ke-4, negara bermaksud suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sebuah kerajaan, bangsa pula didefinisikan sebagai kumpulan manusia dalam ikatan ketatanegaraan manakala, aspirasi bermaksud keinginan yang kuat untuk mencapai sesuatu. Dengan itu, dapat saya rangkumkan bahawa, tajuk pidato saya pada hari ini Membina negara bangsa aspirasi bersama bermaksud, usaha untuk melahirkan suatu komponen negara bangsa yang mempunyai identiti dan mampu meletakkan diri sebaris dengan negara-negara kelas pertama di dunia terletak di bahu kita sebagai rakyat Malaysia walaupun kita berbeza bangsa, agama dan budaya.

Sidang hadirin warga dewan yang saya kasihi,

Izinkan saya menghuraikan isi saya yang pertama di bawah kata kunci penguasaan ilmu penting dalam menghasilkan rakyat yang berintegriti demi membina negara bangsa yang berkualiti. Secara umumnya, ilmu merupakan teras dalam pembentukan integriti di dalam diri sendiri. Dengan ilmu, kita bisa membezakan apa yang betul dan apa yang salah. Sebagai contoh, lihat sahaja pada masalah yang berlaku pada hari ini. Masalah sosial dan keruntuhan moral dalam diri remaja sering kali terpampang di dada akhbar. Kuat ketam kerana sepit, kuat manusia kerana ilmu. Kerana kurangnya penerapan ilmu yang sempurna di dalam diri mereka hal ini terjadi dan sekaligus menyebabkan mereka tidak tahu apa itu nilai-nilai moral dan tidak mampu membezakan perkara-perkara baik dan buruk yang terjadi di dalam kehidupan seharian mereka.

Hadirin sekalian,

Seterusnya izinkan saya menghuraikan isi kedua saya yang berdiri kukuh di bawah kata kunci pemimpin berintegriti, peneraju negara bangsa. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pembentukan integriti juga sangat penting dalam kalangan pemimpin. Pemimpin yang memiliki nilai-nilai integriti sangat diperlukan dalam menjayakan aspirasi negara. Sebagai contoh, negara kita sekarang berhadapan dengan masalah penghayatan nilai murni. Bak kata peribahasa melayu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Jenayah kolar putih, salah guna kuasa dan kerenah birokrasi sering beritanya mendapat liputan yang sungguh meluas oleh pihak media hari ini. Sudah terang lagi bersuluh, hal ini bukan sahaja bakal menghuru-harakan ekonomi negara bahkan juga sosial dan politik masyarakat. Kempen seperti ‘Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah’ telah dilaksanakan. Ianya bertujuan mencetuskan untuk motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara. Perkara ini menegaskan lagi bahawa soal integriti di kalangan pemimpin merupakan satu isu nasional yang tidak boleh dipandang enteng dan wajar diambil berat oleh semua pihak.

Warga dewan yang saya muliakan,

Bersangkutan dengan itu, saya ingin menghuraikan isi saya yang ketiga, di bawah kata kunci masyarakat sebagai modal pembina negara bangsa. Hal ini umumnya menjurus kepada pihak lain yang turut terlibat secara langsung dalam misi membina negara bangsa iaitu masyarakat umum di sekeliling kita. Menurut Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, beliau telah berkata, penerapan nilai-nilai moral perlu dipupuk di dalam diri sejak kecil lagi bak kata pepatah Melayu, jikalau hendak melantur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan didikan yang baik itu, kita akan berjaya melaksanakan agenda untuk melahirkan satu komponen masyarakat yang menjadikan nilai integriti sebagai teras di dalam hidup mereka sekaligus dapat membantu menjayakan kehendak negara pada masa akan datang.

Jelaslah disini bahawasanya nilai integriti itu sangat penting di dalam proses membina negara bangsa yang lebih bertamadun. Jika tiada integriti di dalam diri, maka rosaklah sahsiah seseorang individu itu. Jika integriti tidak diamalkan di kalangan pemimpin,maka pincanglah sesebuah organisasi dan jika tiada integriti di dalam diri masyarakat, maka hancurlah ketamadunan masyarakat tersebut. Akhir kalam, saya akhiri pidato saya dengan serangkap pantun,

Dari panas hinggalah redup,

mendayung sampan hendak ke tanjung,

jadikan integriti amalan hidup,

kelak aspirasi dapat dijunjung.

Sekian, terima kasih.

Leave a Reply