PIDATO Kesehatan : Merokok Membahayakan Kesihatan

PIDATO

TAJUK: Merokok Membahayakan Kesihatan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada yang berbahagia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, seterusnya para hadirin yang dihormati sekalian. Merokok Membahayakan Kesihatan, itulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada pagi ini.

Sidang hadirin dan hadirat yang saya hormati,

Rokok merupakan bahan yang diperbuat daripada bahan-bahan yang boleh merosakkan paru-paru manusia. Individu yang bergantung sepenuhnya terhadap rokok akan menghidapi penyakit barah yang serius serta sukar diubati. Hakikatnya, masih ramai dalam kalangan ahli masyarakat kita pada hari ini, tidak mahu mengambil berat akan kesannya dalam diri mereka. Sebenarnya tanpa kita sedari, kita telah menghabiskan tenaga dan wang hanya untuk menempah kematian. Rokok yang dihisap akan mengundang penyakit yang kita sendiri masih belum menjumpai penawarnya. Inilah hakikat yang kita harus sedari kerana jahil akan kesihatan diri kita sendiri.

Hadirin sekalian,

Kita seharusnya mensyukuri akan nikmat daripada Ilahi kerana sedari kecil kita diberi kesihatan yang sempurna. Individu yang memilih untuk menghisap rokok, sebenarnya telah melakukan satu pergantungan hidup untuknya. Kita tidak mampu hidup tanpanya. Kesannya, kita sendiri merosakkan diri kita. Pelbagai faktor boleh dikaitkan berikutan permasalahan ini. Paling utama, kurangnya kesedaran sivik dalam diri. Mereka masih tidak insaf akan kesan merokok dan asap rokok bukan hanya pada diri mereka sahaja malah turut melibatkan orang sekeliling mereka. Menurut kajian, penyakit yang lebih teruk akan dialami oleh individu yang menghidu asap rokok berbanding mereka yang menghisap asap rokok. Berikutan dengan itu, kita boleh menyimpulkan bahawa perokok hanya mementingkan diri sendiri tetapi tidak memikirkan orang yang mereka sayangi. Tidak dapat dinafikan juga, faktor persekitaran turut mempengaruhi individu terutamanya kepada remaja lelaki. Ada kalanya rakan-rakan mencabar kelelakian mereka dengan merokok. Titik tolak daripada inilah mengakibatkan mereka memilih untuk merokok seumur hidup mereka. Walaupun kerajaan telah menyatakan akan kesan merokok terhadap kesihatan diri kita tetapi masih ada antara kita tidak mengambil berat mengenainya. Bagi mereka nafsu dan kepuasan apabila merokok lebig penting daripada segalanya. Saya juga tidak menolak, dalam usia muda, sikap ingin mencuba sentiasa ada dalam diri individu. Hanya mereka yang mempunyai pemikiran yang waras dan dimanfaatkan sepenuhnya mampun mencari jalan penyelesaian yang sempurna bagi diri mereka sendiri. Perjalanan yang masih panjang harus mereka tempuhi namun para remaja ini masih mahu memilih jalan yang menyusahkan diri lagi. Inilah cabaran yang diperoleh oleh kerajaan untuk mengatasinya.

Para hadirin yang saya hormati,

Terdapat pelbagai kesan yang bakal dihadapi oleh mereka yang merokok. Bagi para pelajar, hal ini akan membawa kesan terhadap pemikiran mereka. Sistem ingatan akan menjadi lemah lantas melambatkan proses penerimaan ilmu. Akhirnya mereka sukar untuk menghafal dan memahami sesuatu topik yang mereka pelajari di sekolah. Tidak cukup dengan itu, para pelajar lazimnya akan belajar separuh jalan dan mengakibatkan pembaziran terhadap pembayaran yuran. Sekali lagi, saya tidak menolak bahawa dengan mudahnya negara telah kehilangan generasi masa hadapan yang berkualiti untuk dibangunkan.

Selain itu, merokok hanya membazirkan wang dan tenaga. Hal ini berikutan kita memperuntukkan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk merokok. Ada kalanya kita sanggup berlapar dan dahaga agar perbelanjaan untuk merokok adalah mencukupi. Begitulah hebatnya penangan rokok terhadap individu ini. Peruntukan kewangan mereka yang khusus untuk merokok membuktikan bahawa segala usaha yang dikeluarkan hanya untuk menyediakan rokok di samping melayan hawa nafsu sendiri. Ada kalanya inilah yang menjadi punca berlakunya pecah-belah dalam keluarga.

Kita mempunyai banyak pihak di sekeliling kita yang sedia membantu untuk menghentikan gejala ini. Para perokok haruslah rajin dan sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan supaya mereka cepat insaf dan sedar akan bahayanya rokok. Pelbagai sumber daripada media elektrik mahupun elektronik kini sentiasa bersedia untuk kita sama-sama mempelajarinya. Kita juga disarankan supaya melakukan banyak senaman agar dapat meningkatkan stamina dan mengelakkan diri daripada ketagihan merokok. Dengan ini, kita mampu menghalang diri kita sendiri daripada menghambakan diri kepada rokok.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Tiada gunanya segala ilmu pengetahuan yang kita ada seandainya kita sendiri tidak berusaha untuk mengatasinya. Kita sewajarnya menilai diri kita terlebih dahulu sebelum bertindak. Begitulah halnya dengan merokok. Kita memilih untuk mengabaikan diri dengan ketagihan rokok dan sengsara dengan penyakitnya atau hidup sihat sepanjang masa. Oleh itu, tepuk dada tanya selera.

Sekian, terima kasih.

Incoming search terms:

  • merokok membahayakan kesihatan
  • pidato kesan merokok
loading...

Leave a Reply