Pidato Koko : Lebah Bukan Sebarang Lebah,(refer Buku Teks)

Lebah bukan sebarang lebah,(refer buku teks)

Lebah bersarang di pohon bidara,

Sembah bukan sebarang sembah,

Sembah hamba pembuka bicara.

Assalamualaikum dan salam sejahtera, terima kasih saya ucapkan kepada saudari Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat,para pensyarah rakan-rakan siswa serta seterusnya hadirin sekalian.

Bahasa Melayu Bahasa Dunia.merupakan tajuk pidato pilihan saya hari ini. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan digunakan dengan meluas, Bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai agen perpaduan pelbagai kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk menjadikannya lebih berkualiti dan berdaya saing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Selain itu, kita harus berusaha memantapkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa yang dinamik dan lebih relevan mengikut arus peredaran zaman.

Saudara saudari yang saya hormati,
Langkah prima dalam menjulang Bahasa Ibunda kita adalah dengan menanam kesedaran akan kepentingan bahasa kepada anak-anak sedari kecil. Antaranya melalui peranan yang dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru. Misalannya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul apabila berkomunikasi dengan anak-anak mereka. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga salahsilah sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka suatu ketika dahulu. Sekiranya kesedaran ini dapat disemai dan dibajai sejak kecil,sudah pasti hasilnya kecintaan mereka terhadap bahasa itu sendiri akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila. Ibarat kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Hadirin Dewan sekalian,
Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan pelbagai kempen untuk dalam memantapkan misi dan visi menobatkan bahasa Melayu di mata dunia. Pihak kerajaan sewajarnya menjalankan usaha murni ini dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkenaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan badan-badan NGO. Kempen- kempen yang dijalankan haruslah berkesan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat agar sayang dan cinta akan bahasa Melayu yakni bahasa warisan mereka. Sebagai contohnya, pihak kerajaan boleh bekerjasama dengan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam menjalankan kempen-kempen bergerak. Media massa turut memainkan tanggungjawab dalam membantu mengangkat imej bahasa Melayu pada pandangan masyarakat dunia dan dalam kalangan bangsa itu sendiri. Hal ini demikian kerana, media massa berupaya meyakinkan masyarakat agar terkesan dengan sebarang propaganda yang disebarkan. Justeru , penekanan yang diberikan dalam penggunaan bahasa Melayu secara meluas menjana kepada peningkatan kualiti bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, Bahasa Melayu berupaya ,mengalami anjakan paradigma yangmana setanding dengan bahasa-bahasa penting dunia seperti bahasa Inggeris dan Mandarin.

Sidang hadirin sekalian,
Langkah ketiga ialah dengan memperkasakan akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, Hal ini bermakna , pihak kerajaan perlulah menaik taraf penguatkuasakan akta ini seperti mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Tidak sewajarnya kita mendominankan bahasa asing sebagai bahasa harian dan dalam urusan rasmi sedangkan bahasa Ibunda sendiri dianaktirikan, ibarat anak di riba mati kelaparan,kera di hutan disusukan. Dengan pelaksanaan ini, semua pihak termasuk pihak swasta dan badan-badan korporat akan terikat di bawah akta ini. Tiada lagi mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya memandang enteng akan kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual kerana sudah pasti mereka akan didenda sekiranya melanggar kata tersebut. Maka dengan penegasan langkah ini, pihak yang terbabit tidak akan menggunakan bahasa lain dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa dan seterusnya didenda. Maka sebagai impaknya,bahasa Melayu akan didaulatkan secara mapan dan berterusan.

Walhasil daripada hujah tersebut dapat saya tuntaskan bahawa bahasa Melayu amat berpotensi untuk dijulang tinggi setanding dengan bahasa asing penting yang lain. Namun, ingin saya tegaskan bahawa usaha untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu yang suatu ketika dahulu juga pernah menjadi bahasa dunia perlulah diperkasa seusai sekarang. Disamping itu, semua pihak perlulah mengembleng tenaga dan membulatkan usaha dalam mengahkan bahasa Melayu tanpa mengira perbezaan etnik bangsa. Jika usaha pemusatan bahasa Melayu secara mutlak tidak dititikberatkan oleh warga bangsa itu sendiri ,dikhuatiri bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga menjadi bahasa rasmi negara kita, bahkan akan dipandang sepi akan keindahan bahasa itu sendiri jika tidak digunakan secara total. Justeru, marilah kita bersama-sama mempesatkan penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan dan berpotensi untuk terpahat sebagai antara bahasa penting dunia yang lain. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung,manakan dapat sagunya,begitulah jua akan signifikasi kepada usaha yang seharusnya kita gerakkan bersama.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan sebelum saya mengundurkan diri ingin saya memohon maaf sekiranya tersilap bicara dan terlajur kata yang kurang sopan semasa saya menyampaikan pidato sebentar tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

Leave a Reply