TEKS PIDATO Versi 15

TEKS PIDATO

GURU PENJANA TRANSFORMASI NEGARA

Bismillahirahmanirrahim

Memetik kata-kata mantan Perdana Menteri Malaysia kita yang ke-5, Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi :

Untuk melahirkan modal insan, kita mahu memberikan ilmu pengetahuan yang secukupnya, kita mahu menjadi anak bangsa, menjadi bangsa yang berakhlak mulia, berhemah tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mempunyai kekuatan rohani dan kekuatan jasmani

Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang bervisi, kombinasi kehakiman yang berintegriti, tetamu kehormat yang dihormati seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.

Assalamualaikum W.B.T.

Salam sejahtera.

Sambutlah salam 1Malaysia.

Hadirin sekalian,

Andai patah sayap Rajawali

Bertongkat jua saya ke mari

Bukannya ingin mencari calon suami

Tetapi untuk membawa anda semua menghayati, mendalami dan memahami sebuah mauduk bicara Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

Kamus dewan edisi ketiga ada menyatakan transformasi sebagai perubahan bentuk sifat, rupa dan keadaan. Maka, secara tuntasnya dalam konteks transformasi pendidikan membawa maksud proses melakukan satu bentuk perubahan yang holistik berdasarkan pendidikan persekolahan sedia ada dengan mengambil kira keperluan-keperluan perubahan kepada aspek asas pendidikan iaitu struktur kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah pentaksiran, bahan kurikulum dan pengurusan sekolah.

Malaysia memberikan penekanan berat terhadap pendidikan kerana percaya bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai visi negara untuk memperoleh status sebagai sebuah negara yang membangun dari segi pembangunan ekonomi, sosial, kerohanian, moral dan etika kearah membentuk satu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, liberal, dan dinamik.

Sidang hadirin yang dikasihi,

Hari ini ilmu telah kita miliki. Persoalannya, adakah ia sudah diaplikasi selaras dengan apa-apa yang kita pelajari? Anda jawab. Setelah menyedari taransformasi atau perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan, apakah impaknya terhadap kerjaya guru? Apakah cabaran yang dihadapi oleh guru hari ini? Apa pula harapan yang diletakkan oleh ibu bapa terhadap warga guru? Ayuh kita lihat satu demi satu.

Pertama – Memahami makna cabaran

Pepatah Melayu menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi. Apa tidaknya, ramai kalangan guru kekal pada takuk lama kerana rutin kerja yang diamanahkan pihak stake-holder, demi melahirkan generasi cemerlang dari segi budaya, agama, sahsiah dan pemikiran.Namun, golongan guru boleh menguntum senyuman kerana jasa mereka terpapar pada kejayaan dikecapi, bukan saja murid diajar bahkan pada setiap pelosok pembangunan. Inilah lilin yang membakar diri demi kebahagiaan orang lain. Betul kata pujangga Usman Awang yang menulis bait keramat bahawa setiap kejayaan dicapai manusia, titik pangkalnya bermula daripada guru.

Meskipun guru tidak boleh bermegah dengan kejayaan anak didik mereka, guru harus bangkit daripada kesibukan bagi memberi didikan kepada anak bangsa untuk mencapai kejayaan cemerlang. Inilah satu lagi peranan guru – sebagai seorang pembangun negara. Ini kerana di bawah jagaannya adalah sekumpulan manusia muda yang akan diasuh dan dididik supaya menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab dan berguna.  Cabaran guru pada hari ini, guru perlu mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat tingkah laku yang positif.

Kedua – Memahami makna harapan

Apa yang bebeza antara pendidikan zaman dahulu dangan zaman sekarang ?

Menurut Abdullah Munsyi di dalam bukunya, Hikayat Abdullah, zaman duahulu, ibu bapa datang menghantar anak mereka dan memberitahu secara lisan, Cikgu, ajarlah anak saya sehingga menjadi pandai, asal jangan patah, asal jangan buta, asal jangan pekak. Buku ini diterbitkan pertama kali dengan cap batu tulisan jawi di Singapura iaitu pada tahun 1849. Ini bermakna sudah 160 tahun lebih usia kata-kata wakil ibu bapa yang diriwayatkan oleh Abdullah Munsyi. Di manakah kata-kata yang mengandungi harapan? Relevankah kata-kata itu diucapkan pada tahun 2011 , di mana kebanyakan kita sudah tidak pandai berkias ibarat?

Harapan ibu bapa terhadap guru dari zaman Abdullah Munsyi hingga beratus-ratus tahun kemudian tiba ke zaman Abdullah Hussein masih sama. Saya yakin tidak ada ibu bapa yang menginginkan anaknya datang ke sekolah suapaya tuna aksara atau buta huruf selama-lamanya. Tidak ada ibu bapa yang bercita-cita agar anaknya menjadi penjenayah, ahli kongsi gelap, pengedar dadah dan apa-apa jua pekerjaan yang negatif nilainya. Pada bahu guru diberikan tanggungjawab agar mendidik anak-anak supaya menjadi warga yang berguna.

Sidang hadirin yang saya kasihi,

Ketiga – memahami makna dan peraturan hukum

Abdullah Munsyi ada menyatakan bentuk-bentuk hukuman yang dikenakan kepada murid-murid yang melanggar peraturan. Misalnya, lebih 160 tahun dahulu sekiranya pelajar didapati ponteng kelas, mengganggu guru mengajar, bergaduh dengan kawan-kawan, maka dia hukuman yang dijalankan adalah diikat pada pokok dan diletakkan kerengga, jari-jari tangan dan kaki direnggangkan semuanya pasti dengan harapan agar kesalahan yang dilakukan tidak akan diulangi sama sekali. Namun, adakah hukuman yang menyakitkan fizikal ini mampu membentuk modal insan yang cemerlang?

Apakah cabaran bagi guru-guru hari ini terutama guru disiplin dan kaunselor sekolah dalam menangani masalah salah laku pelajar? Apakah harapan ibu bapa dalam penguatkuasaan hukuman dan peraturan di sekolah?

Seorang Cendekiawan islam dari Amerika Syarikat, Prof ismail Faruqi ada mengatakan Jika kasih saying disebar luaskan di dalam sekolah, maka tertutuplah segala pintu penjara di luar sana. Fikir-fikirkanlah.

Sidang hadirin berwibawa,

Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa tranformasi merupakan satu perubahan holistik yang mengambil kira keperluan-keperluan perubahan seperti pedagogi, struktur kandungan pembelajaran dan lain-lain seterusnya dapat membantu dalam membaik pulih sistem pendidikan awal kanak-kanak seterusnya sistem pendidikan dalam Malaysia. Dapat dilihat, sejak awal kewujudan sistem pendidikan negara, kurikulum pendidikan juga turut mengalami berbagai-bagai transformasi atau perubahan bagi mempertingkatkan modal insan atau generasi muda Malaysia supaya setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Warga dewan yang saya muliakan,

Selesai sudah tanggungjawab saya. Akhir kata saya tinggalkan hadirin sekalian dengan merenung dan mengenang kembali petikan kata-kata Saidina Ali bin Abu Talib. Beliau berkata ,

Selemah-lemah manusia ialah mereka yang tidak dapat mencari sahabat. Dan golongan yang lebih lemah daripada itu ialah mereka yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari. Untuk itu hadirin sekalian marilah kita bersahabat dengan ilmu kerana sesungguhnya kelebihan burung terletak pada sayapnya, kelebihan gajah terletak pada gadingnya dan kelebihan kita sebagai manusia terletak pada ilmunya. Ayuh semua, percayalah Guru Berkualiti penentu Utama Transformasi pendidikan Negara agar kita semua bergerak seiring negara maju yang lain. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Sekian wabillahitaufik walhidayah, wassalam .