Pidato : Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang sentiasa berasimilasi dengan kebenaran, saudara penjaga masa yang cakna dengan randiknya, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga intelektual penerus wawasan Negara.

Assalammualaikum w.t.w dan salam perjuangan salam 1 malaysia

Yang kurik itu kendi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Hubungan guru dan murid begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di petang yang gemilang ini. Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah mahupun secara generalisasi. 

Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh. Seorang guru ialah merupakan pembimbing dalam proses pembelajaran.

Manakala murid pula merujuk kepada sesiapa yang sedang atau dalam keadaan belajar. Kadangkala istilah ini diertikan dalam maksud berbeza dalam sesetengah negara atau kes-kes tertentu. Dalam ertikata lain guru dan murid umpama cahaya menerangi ruang.

Warga dewan yang bervisi

Secara umumnya, terdapat dua cara untuk menjalin hubungan guru dan murid. Pertama, hubungan perlu dibina bermula dari penggal pertama persekolahan. Guru perlu menarik murid ke alam pembelajaran dengan sikap mesra, mudah didekati tetapi tegas dalam menentukan batas-batas pembelajaran.

Kedua, sikap ini perlu kekal sepanjang masa dalam setiap situasi tanpa ada diskriminasi antara murid. Namun untuk mengekal hubungan di antara guru dan murid, guru hendaklah mengaplikasikan strategi-strategi yang berikut untuk menjalin hubungan mesra demi membina bilik darjah yang kondusif dalam kalangan guru dan murid.

Strategi 1: Guru perlu mengingati nama murid dan memanggil dengan nama masing-masing.

Sebagai seorang guru, kita perlulah berusaha untuk mengenali dan mengingati nama murid-murid bermula dari hari pertama persekolahan. Elakkan memanggil murid dengan menggunakan nombor pendaftaran atau nama-nama ganti diri am,contohnya, awak…,kamu…, atau berdasarkan posisi di dalam kelas contohnya awak yang duduk di belakang sekali…. kebanyakan murid berasa bangga apabila guru mengingati nama mereka. Situasi itu menandakan guru ingat dan mereka wujud dimata guru disamping menunjukkan usaha guru yang bersunguh-sungguh untuk mengenali murid-muridnya. Guru yang mengingati nama murid-muridnya akan lebih cepat menjalankan hubungan dengan murid-muridnya. Hal ini juga dapat menolong guru mengawal tingkah laku murid di dalam kelasnya. Apabila berlaku salah laku guru boleh memanggil nama murid dan menegurnya.

            Guru juga menyebut nama murid dengan betul. Sekiranya tidak pasti akan sebutan nama murid itu, beliau perlu mendekati murid tersebut dan bertanya tentang sebutan yang betul. Elakkan daripada menyebut nama dengan salah kerana situasi ini akan mengakibatkan murid tersebut diketawakan atau dijadikan nama gelaran oleh murid-murid yang lain.

Perkara ini boleh menyebabkan murid berasa malu dan membenci guru. Guru juga dinasihatkan tidak menunding jari, awak… bangun, kamu… dengar sini. Cara ini agak kasar dan tidak membantu dalam membina hubungan guru-murid.

Warga dewan yang berbahagia

Strategi 2: Menanamkan semangat cintakan kelas/bilik darjah

Menanamkan semangat cintakan kelas dalam kalangan murid boleh membangkitkan motivasi intrinsik kepada murid-murid untuk datang ke sekolah. Guru boleh menggunakan strategi-strategi tertentu untuk menjadikan kelas sebagai satu tempat yang seronok untuk menimba ilmu. Guru boleh menanamkan sifat kepunyaan murid terhadap kelas melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama, misalnya mengadakan cogan kata yang melambangkan semangat ahli dalam kelas. Melalui moto kelas, guru membimbing murid untuk mencirikan sifat-sifat yang mereka inginkan untuk kelas mereka.

            Guru perlu mempunyai inisiatif dan membimbing murid bukan hanya mengarah dan mengatur. Bincanglah dengan murid-murid cara yang terbaik untuk menjaga keharmonian kelas. Dapatkan idea-idea bersama untuk mencantikkan kelas. Papan-papan kenyataan kelas diisi dengan bahan-bahan yang dipilih bersama murid-murid dan mengadakan giliran untuk sentiasa bertukar ganti bahan-bahan yang dipaparkan mengikut kreativiti murid.

Puji dan beri peneguhan kepada usaha yang telah ditunjukkan oleh mereka. Usaha ini perlu berterusan hingga penggal akhir. Tanamkan sikap bangga dengan kelas hasil daripada usaha mereka sendiri. Rasa kepunyaan terhadap kelas boleh menghasilkan suasana kelas yang harmonis dan membangkitkan semangat setiakawan dan kepunyaan antara murid-murid dan guru-murid.

Warga dewan sekalian

Kesimpulannya, hubungan guru dan murid membawa banyak menfaat kepada kedua-dua pihak. Kebaikkan kepada guru menaikkan motivasi dan semangat untuk mengajar. Murid juga dapat dikawal dengan lebih senang. selain itu, murid lebih berminat untuk belajar dan memberikan kerjasama kepada guru.

Sebelum mengundurkan diri,,izinkan saya meyampaikan serangkap pantun

Anak dara menumbuk pandan,

Membuat kuih hidangan kenduri;

Ilmu yang baik jadikan teladan,

Segala yang buruk letak ke tepi

Wabilllahitaufik wallhidayah wasalamualaikum warahmatuallahiwabarokatuh

loading...