Contoh Teks Pidato : MALAYSIA DI PENTAS DUNIA

MALAYSIA DI PENTAS DUNIA

            Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan, mengamati betapa kerdilnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, jangan disangka cili tidak berapi, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang gah di seantero dunia. Bak kata orang tua-tua duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Fikir-fikirkan…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

            Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan keadilan dan berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung prinsip Al-Asr, barisan warga pendidik budiman, seterusnya generasi pendukung wacana wawasan negara.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatu dan salam perdana lakaran 1 Malaysia.

            Malaysia Di Pentas Dunia, begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini. Sebelum, menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk melakukan pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah mahupun secara generalisasi. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pentas pula merujuk kepada tempat berdirinya seseorang melakukan acara. Manakala dunia merujuk kepada kawasan yang luas di muka bumi ini. Oleh itu, secara holistiknya, Malaysia Di Pentas Dunia membawa konotasi yang mendalam iaitu, keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang tinggi oleh masyarakat dunia lantaran keberjayaan Malaysia mencipta nama dan mencorak mutiara berharga dalam semua lapangan sama ada ekonomi, politik dan social. Maka, pada hari ini, saya akan mengetengahkan fenomena anjakan paradigma Malaysia setelah 5 darsawarsa pasca merdeka.

Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi,

            Di bawah lembayung kata Ekonomi Malaysia terus kukuh dan teguh menjadi hujah saya yang pertama. Berbicara tentang ekonomi, maka kekuatan Malaysia tidak boleh disangkal lagi. Kita singkap sedekad yang lalu apabila satu persatu Negara serantau dunia jatuh tersungkur ekoran kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Hakikatnya, ketika itu juga, Malaysia hampir tersungkur dek pelukan IMF. Namun, kepintaran pemimpin kita ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu bijak mengemplementasikan tambatan ringgit untuk mengurangkan beban Negara. Kejituan ekonomi Negara terus diwarnai dengan pelantikan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank wanita pertama Malaysia dalam meneruskan wadah perjuangan ekonomi negara. Lantaran dengan kondusi ekonomi Negara yang kukuh dan teguh, menjelma pujian dari Negara barat mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai ekonomi gergasi dunia.

Sidang hadirin yang budiman,

            Indikator saya yang kedua ialah di bawah kata kunci politik di Malaysia lambang keamanan dunia. Hari-hari, kita sering mendengar pergolakkan yang wujud di seluruh dunia. Malah, kekacauan yang melanda diterjemahkan melalui rusuhan berdarah dan ledakan senjata. Lihat sahaja kepimpinan Husni Mubarak di Mesir yang telah pun tumbang, getaran pergolakan politik acuan Muammar Gadafi di Libya semakin hari semakin pudar. Malah, Negara maju seperti Perancis dan Rusia turut menerima bahangnya. Di Malaysia, dengan konsep demokrasi dan raja berpelembagaan, Negara mampu mengerakkan politiknya di mata dunia. Ikatan tiga kompenen utama iaitu UMNO, MIC dan MCA di bawah bumbung Barisan Nasional mampu menjana kemajuan politik negara. Sukar untuk menjentik kekukuhan Negara yang kini tidak dapat di nafikan lagi.

Sidang hadirin yang santun budi,

            Sains dan teknologi Negara adalah kelas pertama, menjadi inti hujah saya yang ketiga. Kini, Negara kita semakin ampuh di pentas dunia kerana inovasinya dalam penciptaan mahupun penyelidikan. Kejayaan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini di Geneva dalam konvensyen sains dan teknologi merupakan wadah pembuka mata masyarakat dunia. Hasilnya, Negara mampu mengenggam 3 kilauan emas berharga, mengalahkan Negara maju yang lain dalam penghasilan ciptaan bermutu. Kejayaan demi kejayaan terus terungkai dan menjadi keutuhan apabila, Dr sheikh Muzafar Sukor Berjaya menjejak kaki ke angkasa. Tetapi, ada yang cuba memberikan tomahan bahawa itu kejayaan biasa. Namun, sedar atau tidak, kejayaan itu adalah satu pintu permulaan Negara kita dalam perlumbaan meneroka sains angkasa. Malah, ianya tidak termampu untuk direalisasikan oleh negara yang seusia dengan Malaysia. Syabas dan tahniah kepada angkasawan pertama Negara. Saya tetap teguh di belakang Dr.

Sidang hadirin yang penuh intelektual,

            Kata kunci saya yang keempat di bawah lembayung kata Sukan dan Negara kita semakin ke hadapan. Dulu, ketika berbicara tentang sukan olimpik, maka ligat minda memikir Negara Amerika Syarikat dan China. Pabila melihat catat pungutan emas yang berbutir-butir banyaknya, Kita hanya mampu mengigit jari tanpa sekerat pingat dikalungkan. Namun, dersawarsa ini, kita semakin mendapat perhatian di mata dunia. Hasilnya, kita mampu menghasilkan atlit tersohor bertaraf bintang nombor satu dunia. Ligat dengan pukalan silang membenam lawan di gelanggang kaca, itulah Dato Nicol Ann David pemain skuays nombor 1 dunia. Teknik bertahan dan menyerang di samping smash lintang yang mengerunkan, itulah Datuk Lee Chong Wei, badminton di dalam genggaman, memecut laju bagai kipas kudung di arena baledroom, itulah roketmen Malaysia, Azizul Awang Hasni menjadi sebutan. Dan pelbagai hambatan kecemerlangan yang muncul digenggam Malaysia. Malah, Sorakan gooolll, terus meniti di bibir peminat sukan bola sepak negara, pabila pasukan harimau Malaya bangkit menunjukkan taringnya.

Sidang pendengar yang setia

            Di penghujung kalam, kita perlu sedar, kematangan Negara semakin menyerlah dek semangat waja yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dan disepadukan dengan keazaman rakyatnya tercinta. Suka saya mengajak seisi dewan sekalian, untuk sama-sama menabur bakti, menghulurkan secebis kekuatan untuk merealisasikan hasrat Negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah dua kali, apabila kita terlalu mudah diperbodohkan oleh penjajah yang silih berganti, menjadikan kita sebagai kuli di Negara sendiri. Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan Negara Malaysia, Negara tersohor di mata dunia.

Saya akhiri pidato saya dengan Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.t.w.

Incoming search terms:

  • contoh teks pidato malaysia
  • ekonomi malaysia kini pidato
  • malaysia di pentas dunia
  • pentas dunia
  • Pidato malaysia di pentas dunia
  • pidato unik MALAYSIA
  • pidatomalaysia tentang politik
  • teks pidato pentas dunia
  • teks pidato tentang malaysia
loading...