Contoh Teks Pidato 1

CONTOH TEKS PIDATO :

MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN NEGARA

Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan Negara.

Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan. 

Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu mengharmonikan perpaduan disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaankenegaraan dan keadilan demi menjayakan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan negara?

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Tuhan, pragmatik pertama;

Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Perhatian hadirin, pidato ini tiada selingan iklan…

Kita sedar bahawa kalimah iqra, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung. 

 

Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan, kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan. 

Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Duniameletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%.Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.

Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,

Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka. 

Lantaran itu, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat daripada mentaliti pengguna kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara. 

Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan 1Malaysia kelak.

Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Pujangga Melayu selalu berpesan;

Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, aur dengan tebing.

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggianakal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa. 

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan 1Malaysia.

Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan Negara.

Leave a Reply