Pidato Bm… : IDATO BAHASA MELAYU 2011

PIDATO BAHASA MELAYU 2011

Pantun:

Burung didik terbang berirama,

Terbang berkawan menyanyi ria,

Islah datang pembuka bicara,

Moga sudi mendengarnya.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh….

Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah saw, para sahabat, dan keluarga baginda, Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, ibubapa,rakan-rakan peserta yang dikasihi seterusnya sidang hadirin sekalian.

Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk Wahdah Pemangkin Khairun Ummah .

Menurut kamus Dewan edisi keempat halaman 1794 wahdah membawa maksud bersatu manakala halaman 993 istilah pemangkin membawa maksud sesuatu yang menyegerakan atau mempercepatkan sesuatu proses. Seterusnya khairun ummah pula merujuk kepada kebaikan umat Islam keseluruhannya. Kesimpulannya Wahdah Pemangkin Khairun Ummah membawa kepada maksud perpaduan mempercepatkan proses pembaikan dan kecemerlangan ummah di dunia dan akhirat.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Pada setiap tanggal 1 Muharam telah termaktub dalam lebaran sejarah Islam, peristiwa Hijrah telah mendatangkan impak yang besar bagi umat Islam sehingga kini, biarpun sudah berlalu hampir 1400 tahun namun kesannya masih segar dibenak ingatan.

Sejarah ini telah membuktikan bahawa kekuatan Islam tidak boleh dipandang enteng sepertimana yang telah berlaku ketika baginda Nabi Muhammad saw dan sahabatnya melakar kejayaan besar ini.

Kesatuan yang terbina antara Muhajirin dan Ansar memberikan kekuatan yang menyeluruh sekaligus membuka mata seluruh dunia bahawa umat Islam adalah umat yang satu. Tidak kira darimana asal usulnya, di mana dia berada asalkan dia mengucapkan syahadah dan kehidupan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah maka ketika itu dia juga adalah saudara.

Kerjasama yang diberikan antara Muhajirin dan Ansar sayugianya perlu dicontohi oleh umat Islam hari ini. Sesungguhnya Islam tidak memerlukan kita tetapi sebaliknya kita yang berhajat kepada Islam dalam memimpin kehidupan seharian.

Nasyid

Hijrah itu pengorbanan,

Hijrah iru perjuangan,

Hijrah itu persaudaraan,

Hijrah membentuk perpaduan…..

Para hadirin sekalian,

Sebagaimana yang kita ketahui, kelahiran dan kebangkitan Nabi Muhammad saw sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain di mana yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah.

Kelahiran Nabi Muhammad saw sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terserlah dengan penghapusan kepada semangat kebangsaan sempit bersesuaian dengan pengutusan Nabi Muhammad saw itu sendiri sebagai rasul pembawa agama Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja sebagaimana nabi-nabi sebelum ini. Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Kaabah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu Al-Quran kalimah Allah.

Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah saw.

Perkara ini telah ditekankan oleh Rasulullah dalam hadis yang membawa maksud,

Tidak sempurna iman kamu hinggalah kamu mengasihi saudara kamu seperti mana kamu mengasihi diri kamu sendiri

Di dalam Al-Quran, Allah juga menekankan mengenai persaudaraan di dalam Islam. Kita boleh rujuk ayat surah al-Hujurat ayat 10 dan Surah Al-Imran ayat 103.

Apa pun, bersatu di dalam Islam bukanlah bersatu kepada kemungkaran, bukan pada darah keturunan, bukan pada pangkat, nahi, nahi, nahi, tetapi pada apa yang diajarkan oleh Rasulullah dan apa yang diajarkan oleh Allah swt.

Bersatu di dalam Islam bererti kita bersatu dari lima sudut :

Lima sudut ya… anak anak… lima ya….

1. akidah

2. syariat

3. akhlak

4. ukhwah

5. jihad

Kejayaan Rasulullah s.a.w menyebarkan dakwah adalah kerana agama Islam merupakan agama yang mudah dipraktikkan. Baginda mempermudahkan dan tidak memayahkan serta membawa khabar gembira tentang nikmat syurga dan peringatan tentang azab api neraka. Rasulullah s.a.w telah menonjolkan dirinya sebagai role model (Qudwah Hasanah) dari segi akhlak, akidah dan kepemimpinan.

Sebagaimana ayat al-quran dalam Surah Al Ahzab ayat 21 yang berbunyi…

Islamlah yang menghapuskan fahaman ideologi berlatarbelakangkan ras, bangsa, warna kulit dan sistem kelas. Sebab itu, nilai universal Islam boleh diterima oleh semua bangsa di dunia ini yang menganut agama Islam. Justeru, tiada diskriminasi ras atau bangsa dalam Islam.

Kita perlu memantapkan perpaduan sesama kita dan sentiasa bekerjasama dalam semua usaha yang berada dalam kerangka definisi dakwah. Berdakwah secara hikmah dan bijaksana adalah rahsia utama untuk menghasilkan kejayaan dalam berdakwah sama ada dalam dakwah secara lisan atau dakwah secara perbuatan dan tingkah laku. Untuk menjadi khairu ummah (sebaik-baik umat), umat Islam memerlukan sikap yang progresif untuk maju dan terkehadapan serta menguasai ilmu pengetahuan. Umat Islam perlu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Al-Sunnah sepanjang masa.

Dakwah dengan berkesan akan memberikan kelangsungan kepada kewujudan kita sebagai umat Islam di dunia ini. Kita mahukan kecemerlangan, kebahagiaan dan kejayaan sama ada di dunia ataupun akhirat. Kecemerlangan tidak dapat dicapai melalui jalan pintas. Ia memerlukan komitmen, perancangan yang teliti, usaha dan pelaksanaan yang berterusan, penilaian yang tuntas serta semangat juang yang tinggi. Tiada kejayaan tanpa sebarang pengorbanan dan tiada pengorbanan tanpa adanya keikhlasan dan ketulusan hati.

Islam kan subur tatkala kuffar semakin hancur, Islam kan menang ketika kuffar mula keletihan, Islam kan berdiri gagah ketika kuffar semakin lemah, Islam kan kembali merajai dunia ketika kuffar jatuh penuh hina. Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Sekian wabillahi taufik walhidayah assalamualaikum warah matullahiwabarakatuh.

Sekian, terima kasih.