Teks Pidato : Pelajar Pewaris Kepimpinan Berkualiti

Pelajar pewaris kepimpinan berkualiti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

Cuba kita taakul dan berfikir sejenak dengan pengaplikasian integriti dan jati diri Maharaja Meiji membina maruah bangsa kerana integriti dan toleransi Mahatma Gandhi berjaya memerdekakan India. Integriti telah mengajar sekalian anak watan Tanah Melayu menuai kudrat membebaskan nusa. Maka benarlah kata Yusuf Al-Qhardawi kerana integriti banyak bangsa menjadi dewasa.

Sejambak mawar, seharus kasturi buat peneraju majlis, barisan panel hakim yang berpaksikan keadilan, saudara penjaga masa yang cakna dengan randiknya, kerabat seangkatan yang petah berhujah, warga pendidik yang bermisi, seterusnya warga dewan penerus wawasan negara.

Assalamualaikum, salam integriti dan salam 1 Malaysia.

Pelajar Pewaris Kepimpinan Berkualiti , begitulah indahnya mauduk pidato saya yang bakal menitip di bibir saya. Namun, sebelum ledakan hujah menghujani seisi dewan, mohon izin untuk melakukan dua bentuk pendefinisian terhadap mauduk pidato saya iaitu secara literal mahupun secara leksikal. Pelajar menurut kamus dewan edisi keempat merujuk kepada anak didik, murid ataupun siswa. Sementara itu, pewaris pula ialah orang yang mewarisi. Kepimpinan pula merupakan proses interaksi di antara individu dengan kumpulan, atau secara khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan yang mana individu tersebut mempengaruhi ahli-ahli kumpulan dan ahli-ahli kumpulan tersebut akur dan patuh kepada individu tersebut manakala berkualiti pula bermaksud bermutu. Oleh itu, secara generalisasinya, ia bermaksud pelajar yang bakal menerajui negara pada masa akan datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang lengkap serta mantap demi mencapai visi dan misi negara untuk menjadi negara maju selaras dalam wawasan 2020.

Hari ini, Malaysia kian membangun pesat di samping mencatatkan banyak kegemilangan sehingga diangkat oleh dunia sebagai negara membangun yang paling maju. Nah, ini semua merupakan hasil keringat dan perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu. Namun, adakah kehebatan kepimpinan ini akan terus diwarisi oleh generasi hari ini?.

Oleh itu, hadirin yang disayangi,

Indikator saya yang pertama, di bawah lembayung kata kepimpinan yang unggul, teras berkualiti.

Pelbagai inisiatif telah diatur di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta bagi menggalakkan nilai-nilai kepimpinan dalam institusi pendidikan di Malaysia. Contohnya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu ini, tertubuhnya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan pemimpin mereka yang mana acap kali dilakukan setiap tahun. Hal ini telah mendidik golongan pelajar agar bersifat lebih rasional dan bijak dalam memilih pemimpin mereka. Bagi para calon yang bertanding, mereka perlulah mengadakan kempen dan mengemukakan manifesto yang realistik, poster dan sebagainya. Hal ini merupakan satu latihan awal untuk para pelajar memilih atau menjadi pemimpin yang hebat dan berkualiti. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika kita lihat pemimpin-pemimpin negara pada masa kini seperti Datuk Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malahan perdana menteri kita sendiri, Datuk Seri Najib Bin Tun Razak, semuanya merupakan bekas ahli Majlis Perwakilan Pelajar dan merupakan pemimpin di menara gading suatu ketika dahulu. Kita lihatlah apa yang terjadi kepada mereka sekarang, semuanya menjadi pemimpin yang unggul dan mempunyai kredibiliti yang tinggi bukan. Oleh itu, jelaslah inisiatif yang diatur di IPTA, IPTS dan sebagainya merupakan salah satu langkah yang dapat membina kepimpinan yang unggul dalam diri pelajar seterusnya membolehkan mereka mewarisi kepimpinan negara kelak. Selain itu, kepimpinan yang unggul juga mempunyai ciri-ciri seperti fleksibiliti. Di sini, pemimpin harus pandai menyesuaikan diri dengan keperluan individu-individu yang mereka pimpin dengan keperluan situasi dan masa. Contohnya, kita dapat lihat di institut ini, bagaimana semua ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar cuba menyelami hati pelajar-pelajar lain dan sanggup mendengar aduan daripada pelajar-pelajar. Ciri-ciri seperti ini membolehkan para pemimpin mengenal pasti tindakan-tindakan yang sewajarnya mereka ambil dalam keadaan-keadaaan tertentu dan melaksanakan tindakan itu. Hal ini sebenarnya merupakan salah satu bentuk reformasi yang baik bagi bersama-sama kita melahirkan generasi pemimpin yang berkualiti.

Hadirin sidang saksi bermisi yang saya hormati,

Pelajar berilmu dan berkreativiti, pendidikan terjamin menjadi kata kunci saya yang kedua. Seorang pemimpin yang bijaksana adalah pemimpin yang memilih kecerdasan yang baik. Dengan kecerdasan yang baik atau akal yang panjang, dia dapat menggunakan pertimbangan akalnya, atau budi bicaranya dengan adil dan saksama bagi kepentingan orang ramai dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri. Tambahan pula, mereka juga berupaya menggabungkan dan mentafsirkan maklumat-maklumat yang banyak. Misalnya, setiap pemimpin khususnya di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sentiasa memikirkan satu transformasi atau perubahan untuk dilaksanakan semasa kepimpinan mereka yang mana perubahan yang dilakukan untuk kepentingan rakan-rakan pelajar yang lain. Hal ini telah menunjukkan bahawa walaupun umur mereka masih setahun jagung dalam dunia kepimpinan, namun pemikiran mereka adalah setanding dengan pemimpin-pemimpin yang hebat. Kita dapat lihat juga bagaimana perdana menteri kita, Datuk Seri Najib Bin Tun Abdul Razak yang sentiasa berusaha untuk berfikir melakukan sesuatu yang mana membantu rakyat yang dipimpinnya di samping memikirkan cara untuk menjadikan negara sebuah negara yang maju setanding dengan Jepun, China, Rusia dan sebagainya. Dalam memikirkan sesuatu perubahan perlulah ada kreativiti yang mana pemimpin berupaya mencipta idea-idea yang baru dan berguna supaya hasilnya lebih berkualiti dan berkesan.. Selain itu, slot pidato di bawah akta AUKU 1971 juga telah dibenarkan semula di mana-mana IPT. Slot ini dirancang untuk menggalakkan pemikiran yang matang, kritis dan kritikal dalam kalangan pelajar. Hal ini bertujuan untuk melahirkan golongan yang bijak dan mempunyai tahap pemikiran yang di luar kotak dan berintelektual tinggi. Selain itu, terdapat juga persatuan-persatuan pelajar yang ditubuhkan bertujuan mengemukakan ideologi, pemikiran dan luahan rasa golongan pelajar terhadap segala dasar-dasar kerajaan. Misalnya, Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPSM) yang sentiasa duduk semeja bersama-sama pemimpin negara membincangkan isu-isu yang berteraskan institusi pendidikan dan hal pelajar. Hal ini merupakan satu indikator yang baik dalam membentuk nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar. Hal ini juga secara tidak lansung telah membina pengetahuan, ilmu dan kreativiti dalam diri pelajar yang bergelar pemimpin yang mana bakal mewarisi kepimpinan negara suatu hari nanti.

Hadirin yang saya hormati,

Indikator saya yang ketiga di bawah kata kunci Keperibadian unggul, kepimpinan berwibawa.

Sanjungan Thomas Carlyle menyatakan tentang Muhammad s.a.w bahawa baginda seorang yang jujur dan taat, benar dalam apa yang dilakukan, dikatakan dan diajarkan. Baginda hanya bercakap apabila perlu, berdiam diri apabila tiada apa-apa yang perlu diperkatakan tetapi tepat, bijak, jujur apabila bercakap, sentiasa memberi pandangan bernas terhadap sesuatu perkara. Melalui sanjungan ini seharusnya menjadi contoh kepada pelajar dalam membentuk sahsiah yang hebat. Konsep keperibadian unggul adalah satu elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kecemerlangan. Justeru, Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan perkara penting dalam mencorakkan kehidupan pelajar. Usaha ini adalah bagi melahirkan pelajar dan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu, Falsafah Pendidikan Negara merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan dasar pendidikan yang akhirnya membentuk keperibadian unggul dalam diri pelajar. Sewajarnya usaha yang penting ini perlu untuk dijana demi memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang arus kemodenan dan globalisasi yang kian mencabar. Hal ini juga bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan.

Ya, hadirin sekalian.

Lantaran itu, menerusi kehebatan penampilan, pemikiran, pengorbanan, keperibadian dan keberanian boleh dijadikan sebagai contoh kepada masyarakat, pelajar dan remaja lain. Lantas akan terbit perubahan dalam kalangan pelajar untuk berubah dari hanya suka berfoya-foya dengan budaya hedonisme kepada pelajar yang berfikiran kritis dan memiliki jati diri yang cemerlang. Sedar atau tidak, suara gelombang pelajar atau mahasiswa ini mampu membangkitkan semula pelajar atau mahasiswa yang telah dilanda kelesuan dan terjaga dari mimpi indah.

Akhir kalam, sebelum saya menoktahkan pidato ini, saya menyeru kepada semua warga dewan untuk sama-sama mencanai minda, memajukan negara. Namun, kita perlu sedar, gaya hidup pelajar terutama siswa masa kini tidak sihat dan diliputi dengan cara hidup hidonisme boleh membantutkan pembangunan insaniah dalam diri pelajar. Oleh itu, sebagai Pelajar, suka untuk saya ingatkan, impian kita adalah untuk menjelmakan bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan bangsa yang kecundang, pincang dan terbuang sehingga memburukkan nama dan maruah negara. Ingatlah, Rasululllah S.A.W ada bersabda, "Ketahuilah! Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggung-jawaban atas kepemimpinan-mu. ."

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.