Pidato BM 2009 : Mencari Tuba Di Kampung Paya,

Mencari tuba di kampung paya,

Sambil bermanja bersama bonda,

Kini tiba giliran saya,

Untuk berhujah di depan anda.

Terima kasih tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana serta para mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya yang dikasihi sekalian, selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan.

Berdirinya saya pada pagi yang indah ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk Peranan-peranan yang harus dimainkan oleh mahasiswa dan mahasiswi bagi pembangunan agama Hindu.

Sebelum kaki mengorak langkah, sebelum bibir mengatur bicara elok rasanya kita mendalami tajuk pidato kita pada hari ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi yang Keempat peranan membawa maksud tanggungjawab manakala pembangunan pula membawa maksud kegiatan memajukan atau mengembangkan. Maka boleh dikonklusikan bahawa topik kita pada hari ini menjurus kepada tanggungjawab yang harus dipikul oleh mahasiswa dan mahasiswi bagi mengembangkan agama Hindu.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Hujah pertama yang ingin saya lontarkan ialah mahasiswa dan mahasiswi perlu memainkan peranan dalam pembangunan agama Hindu dengan menyebarkan ilmu dan pengetahuan tentang agama Hindu kepada masyarakat awam. Seperti mana yang kita ketahui masyarakat Hindu pada masa kini kurang pendedahan atau pengetahuan terhadap agama Hindu. Keadaan ini berlaku kerana sikap segelintir masyarakat Hindu yang lebih mementingkan kehidupan materialistik sehingga mengabaikan nilai-nilai hidup yang terkandung dalam kitab agama Hindu. Di sini jelas bahawa mahasiswa serta mahasiswi perlu memainkan peranan dengan menganjurkan aktiviti atau program yang bercorak keagamaan. Sebagai contoh penganjuran pertandingan-pertandingan seperti kuiz keagamaan, pertandingan nyanyian thirumurai serta bhajan bukan sahaja perlu diadakan di peringkat university malah perlu diperkenalkan kepada masyarakat awam untuk mendalami ilmu dan pengetahuan tentang agama Hindu. Di sini ingin saya tekankan bahawa mahasiswa sememangnya perlu memikul amanah untuk menyebarkan ilmu dan pengetetahuan tentang agama Hindu kepada masyarakat awam.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Hujah kedua saya pada hari ini ialah mahasiswa serta mahasiswi harus memainkan peranan dalam menerbitkan lebih banyak buku ilmiah yang berunsurkan keagamaan untuk masyarakat Hindu. Mahasiswa serta mahasiswi sebagai golongan intelektual perlu memberi pengetahuan asas tentang agama Hindu kepada penganut Hindu di sini. Ini disebabkan oleh pembangunan agama Hindun bergantung kepada pengetahuan keagamaan yang dimiliki oleh penganutnya supaya ajaran ini akan diwarisi oleh generasi yang akan datang. Mahasiswa serta mahasiswi perlu menjalankan penyelidikan atau kajian yang menyeluruh dan menyediakan silibus tentang asas-asas agama Hindu untuk dibukukan dan diedarkan kepada masyarakat Hindu. Penerbitan buku yang berdasarkan fakta yang terkandung dalam agama Hindu merupakan langkah konkrit untuk mengkikis kepercayaan karut dan pendangan negatif masyarakat tentang agama Hindu.

Warga dewan yang dihormati sekalian,

Hujah saya yang terakhir untuk renungan semua di sini ialah penubuhan badan induk serta menggerakkan peranan kuil dan tempat ibadat untuk menyebarkan ajaran agama Hindu kepada masyarakat Hindu secara lebih luas. Mahasiswa serta mahasiswi perlu mengambil inisiatif untuk mencapai objektif penubuhan badan induk iaitu menyebarkan ajaran agama Hindu kepada masyarakat setempat untuk memaangkinkan pembangunan agama. Contoh terdekat yang boleh kita lihat ialah mahasiswa serta mahasiswi Universiti Malaya yang beragama Hindu bersatu padu menubuhkan Persatuan Hindu Universiti Malaya yang dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan nilai-nilai keagamaan demi pembangunan agama Hindu. Pertubuhan badan induk ini pula perlu menggerakkan institusi keagamaan seperti kuil untuk member didikan agama kepada masyarakat yang beragama Hindu. Maka hal ini akan memudahkan pemahaman tentang agama Hindu dalam kalangan masyarakat.

Hati ingin meneruskan bicara, tetapi masa pula mencemburui saya,

Oleh itu warga dewan yang dikasihi sekalian, mahasiswa serta mahasiswi sebagai golongan pewaris dalam menyebarkan nilai-nilai serta falsafah agama Hindu untuk memajukan agama Hindu perlu memikul tanggungjawab mereka yang sewajarnya supaya agama Hindu yang merupakan agama terulung di dunia tidak luput ditelan zaman.

Sebelum saya mengundurkan diri, izikan saya menyampaikan serangkap pantun,

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga,

Yang baik itu budi.

Yang indah itu agama

Dan agama itu ialah agama Hindu.

Sekian, terima kasih.

loading...