Pidato : Kenaikan Harga Barang Telah Menyebabkan Masyarakat

Kenaikan harga barang telah menyebabkan masyarakat berasa gelisah.

Jelaskan peranan kerajaan dalam menangani masalah ini.

Kenaikan harga barang telah menjadi satu isu yang sering dipaparkan di media massa sehingga menimbulkan satu polemik baru pula. Isu ini telah menyebabkan semua pihak menyuarakan pandangan mereka tentang punca dan cara untuk menyelesaikannya sehingga menjadikan isu ini diluar kawalan pula. Media massa seperti yang dikatakan pada awall tadi telah menggunakan kepincangan kerajaan untuk mengatasinya sebagai bahan berita mereka pula. Jadi, kerajaan memang memiliki peranan yang jelas untuk menangani isu ini secara tuntasnya.

Tindakan kerajaan yang paling mudah ialah memastikan semua barang yang penting kepada masyarakat dijadikan barang kawalan. Tindakan ini memastikan kenaikan barang yang dimaksudkan barang kawaan itu mesti mendapat kelulusan kerajaan dan kegagalan mematuhinya boleh menyebabkan sipelaku ditahan dan dipenjarakan. Buat masa ini hanya segelintir barang sahaja seperti minyak, tepung, dan ayam yang menjadi barang kawalan yang kurang memberikan impak yang diharapkan. Oleh itu, jumlah barang yang harus menjadi barang harga kawalan ini perlu ditambah untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita.

Selain itu, kerajaan boleh menubuhkan satu Suruhanjaya Kenaikan Harga Barang yang berfungsi untuk mengawal dan memantau polemik ini secara sistematik. Kewujudan suruhanjaya ini menyebabkan masalah kenaikan barang ini bukannya diketahui apabila musim perayaan hampir tiba sahaja tetapi sepanjang masa diawasi oleh suruhanjaya tersebut. Anggota suruhanjaya ini haruslah mereka yang berkecuali dan mampu melaksanakan tugas mereka dengan penuh wibawa dan telus. Oleh itu, penubuhan suruhanjaya seperti ini menyebabkan peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang tanpa sekatan.

Malah, kerajaan boleh menggubal satu akta yang boleh mengenakan hukuman yang setimpal kepada pesalah dalam isu ini. Akta ini hendaklah memliki keterangan yang jelas, hukuman yang berat dan aspek-aspek pencegahan yang berkesan untuk menangani masalah kenaikan harga barang di negara kita. Hukuman yang lebih berat dan praktikal menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan tindakan menipu pengguna sesuka hati terutama dalam aspek harga barang. Sesungguhnya, kewujudan akta yang berkesan menyebabkan peniaga tidak lagi berani melakukan kesalahan kerana bimbang dan takut akan kesannya itu.

Bukan sahaja akta digubal tetapi kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna harus menguatkuasakan peraturan tersebut. Kerajaan harus mengarahkan semua kaki tangan kementerian menjalankan rondaan yang kerap dan menahan peniaga-peniaga yang melakukan kesalahan tanpa sebarang kesilapan lagi. Tindakan yang tegas dan telus ini menyebabkan peniaga tidak berani untuk melakukan kesalahan atau menawarkan rasuah untuk memastikan mereka terlepas daripada tangkapan. Jelaslah, penguatkuasaan turut penting untuk menyelesaikan polemik pengguna yang semakin sukar dikawal ini.

Konklusinya, kerajaan memang mempunyai tanggung jawab untuk memastikan masalah ini tidak berlanjutan dengan melaksanakan semua peranan di atas. Tindakan kerajaan yang tidak telus dan tegas telah memberikan satu imej bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani kemelut pengguna ini. Dalam masa yang sama pengguna juga harus bekerjasama dengan membuat laporan atau menjauhi kedai-kedai yang menaikkan harga barang keterlaluan. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat membuktikan bahawa pengguna dan kerajaan harus bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini.

         Dalam mengecapi arus pemodenan yang melanda dunia hari ini, para pengguna didedahkan oleh laporan media massa tentang kenaikan harga barangan keperluan secara berterusan seperti tiada penghujungnya. Isu kenaikan harga barangan ini merupakan isu hangat yang bermain dibibir-bibir masyarakat pengguna di negara kita. Para pengguna berasa kenaikan harga barangan akan membebankan kehidupan seharian mereka. Tambahan pula harga barangan kini berada dalam keadaan tidak terkawal dan meningkat secara mendadak setiap tahun. Labih-lebih lagi, isu kenaikan harga barangan ini dirasai oleh sesetengah masyarakat terutama  rakyat yang berpendapatan rendah. Justeru, mereka  terpaksa berjimat-cermat untuk meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Oleh itu, para pengguna harus bersuara dan tidak memandang sebelah mata tentang permasalahan ini sebagai pengguna mereka perlu bertindak segera sebagai langkah untuk menangani permasalah kenaikan harga barangan.

  

        Pengguna merupakan individu yang berperanan penting dalam mengawal proses kenaikan atau penurunan harga barangan di pasaran. Mereka sepatutnya sedar dan mampu melontar suara dan pendapat untuk mendapatkan hak keadilan sebagai seorang pengguna. Menjelang musim perayaan, harga barangan keperluan meningkat dengan lonjakan yang dahsyat. Senario begini berlaku atas dasar  perangai dan sikap peniaga yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mencekik darah para pengguna hanya untuk mendapat keuntungan yang berlipat ganda setiap kali musim perayaan menjelma. Justeru, para pengguna boleh menggunakan media massa sama ada media cetak atau media elektronik untuk meluahkan persaan mereka setiap kali peniaga didapati menaikkan harga barangan  sesuka hati. Sementara pihak berkuasa, terutama Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna perlu peka mendengar rintihan para pengguna terutama apabila berlaku isu kenaikan harga barangan  kawalan  seperti gula, dan minyak masak. Barangan keperluan tersebut merupakan bahan utama yang digunakan oleh pengguna untuk memasak semasa musim perayaan. Kenaikan harga barangan utama ini sering menimbukan keluh kesah dan terbeban kalangan pengguna akibat kenaikan harga barangan tersebut. Masyarakat pengguna yang bijak dan perlu bersatu umpama lidi yang menjadi penyapu jika disatukan.Mereka perlu bersatu dan sebulat suara menyatakan hak pengguna untuk menuntut keadilan. Tuntasnya, pengguna mempunyai kuasa untuk mengatasi kenaikan harga barangan keperluan di Malaysia dan pihak berkuasa perlulah menjalankan tugasan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang dan mengambil tindakan kepada peniaga yang menaikkan harga barangan tanpa kawalan.

        Ada sesetengah pengguna acap kali menjadi mangsa semasa membuat pemilihan ke atas barangan yang hendak dibeli. Persis kata pujangga, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Sebagai contoh ibu bapa yang mempunyai anak-anak masih kecil sering menghadapi masalah ekoran daripada keinginan anak-anak diperingkat usia ini pelbagai. Justeru, adakalanya ibu bapa terpaksa mengalah dalam memilih barangan yang dibeli hanya untuk mengikuti kehendak seorang anak. Contohnya dalam pemilihan makanan, anak-anak lebih mengemari ayam berbanding ikan. Sedangkan, harga untuk membeli ikan lebih murah berbanding membeli ayam kerana seekor ayam di pasaran sekarang melibatkan harga berbelas ringgit. Namun, ibu bapa terpaksa merealisasikan kehendak anak-anak mereka. Justeru, untuk mengatasi masalah tersebut, ibu bapa perlu mengubah persepsi pemilihan makanan anak-anak mereka dengan membudayakan anak-anak mereka memakan makanan yang ada. Mereka perlu diajar erti beryukur kerana masih dapat menikmati makanan berbanbding generasi terdahulu yang hanya memakan ubi kayu dan sayur-sayuran untuk meneruskan kehidupan akibat penjajahan Jepun. Ibu bapa juga perlu menerapkan pemakanan seimbang iaitu ikan memberikan lebih banyak zat makanan berbanding dengan ayam. Tegasnya, ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka memakan ikan berbanding ayam yang memerlukan ibu bapa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mendapatkannya. Disamping itu, ibu bapa juga perlu bijak untuk menyediakan makanan yang lazat dengan menggunakan cara masakan yang sesuai dengan cita rasa anak-anak.

       Selain itu, sebagai seorang pengguna yang bijak mereka perlu mengelakkan membeli barangan mahal iaitu barangan yang diimport daripada luar negara. Sebagai pengguna yang bijak juga, kita perlu mengetahui bahawa barangan yang dimport dijual dengan harga yang mahal kerana kemasukan barangan tersebut dikenakan cukai oleh kerajaan. Kita sebagai pengguna sepatutnya membudayakan hidup bersederhana dalam membeli barangan seperti perabot, kenderaan bermotor dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai sebuah negara merdeka dan mempunyai tahap ekonomi negara maju, negara kita juga telah berjaya mengeluarkan barangan seperti perabot dan kenderaan yang bermutu tinggi dan diterima pakai oleh masyarakat negara maju. Justeru, sebagai pengguna yang bijak, kita perlulah mengutamakan kualiti sesuatu barangan yang hendak dibeli, bukan jenamanya. Selain kita perlu menanam sikap ukur baju di badan sendiri dalam memberi barangan. Disamping itu, pengguna yang bijak dan mempunyai semangat patriotik perlu mengutamakan pembelian barangan buatan tempatan kerana dengan tindakan sedemikian kita akan memajukan eknomi negara. Persis kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Selain itu, orang tua-tua pernah berkata, tiada rotan, akar pun berguna juga. Tegasnya, pengguna yang bijak, akan bijak juga memilih barangan yang dibeli. Perlu kita ingat juga, perlu mengelakkan diri daripada mengikut kehendak hati kerana ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka.

         Seterusnya, penduduk kampung mahupun penduduk di taman, perlu bijak menggunakan kesempatan untuk merealisasikan konsep Buku Hijau yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Ahmad Badawi pada tahun 2006. Justeru, penduduk desa atau kawasan taman perlu menggunakan tanah kosong dengan menanam sumber makanan atau sayuran sendiri seperti sayur seperti bayam, cili, jagung, dan sebagainya. Dengan menanam tanaman sendiri pengguna dapat mengurangkan kos membeli bahan makanan kerana setiap keperluan sudah ada dan mereka Cuma memetik sahaja bahan makanan tersebut. Tambahan pula, tanaman yang ditanam oleh pengguna lebih bermutu kerena tidak menggunakan racun perosak sebagaimana sayur-sayuran yang dibeli di kedai-kedai. Tambahan pula, penduduk kampung mungkin lebih beruntung kerana banyak tanah yang terbiar boleh diusahakan untuk menternak ayam, kambing, dan lembu. Selain mereka dapat mengusahakan tanah terbiar, mereka juga boleh mendapat menampah pendapatan dengan menternak ternakan tersebut. Bak kata pepatah apabila kita berbakti kepada tanah kita akan mendapatkan hasilnya. Tegasnya, dengan melakukan usaha bercucuk tanam dan menternak ternakan pengguna bukan sahaja mendapat hasil ternakan untuk digunakan sebagai makanan seharian tetapi juga usaha ini dijalankan secara komersial sudah pasti akan meningkatkan pendapata isi rumah.

        Mari kita lebarkan skop perbincangan ini kepada usaha untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan dengan mengubah cara hidup kita dengan membawa bekalan makanan ke tempat kerja atau ke sekolah. Sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu berusaha untuk mengurangkan kos seharian. Sikap membawa makanan ke tempat kerja merupakan satu langkah bijak untuk mengurangkan kos membeli makanan dan minuman di tempat kerja. perlu dingat bahawa makanan yang dibeli di gerai makanan atau di kantin sekolah tidak semestinya berkhasiat, malah penyediaan makana itu juga mungkin boleh dipertikaikan. Hal ini kerana pada masa sekarang pengusaha gerai makanan dan kantin lebih mengutamakan keuntungan dengan menyediakan perasa makanan yang banyak memberi impak kepada kesihatan pengguna. Begitu juga dari segi penyimpanan makanan juga mampu menyebabkan makanan disediakan mudah menghadapi pencemaran daripada serangga perosak seperti lalat, tikus, dan lipas. Sayogia diingatkan, serangga perosak ini memudahkan penyakit berjangkit berlaku seperti taun, cirit-birit, kencing tikus dan sebagainya yang membolehkan nyawa seseorang itu melayang. Justeru, dengan penyediaan makanan daripada rumah, pengguna sudah pasti boleh menyediakan makanan yang lebih berkhasiat mengikut cita rasa mereka sendiri. Malahan, kos penyediaan makanan tersebut lebih murah, di samping pengguna akan dapat berjimat cermat berikutan harga makanan yang dibeli di luar sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. Bak kata pepatah, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.

       Kesimpulannya, pengguna perlu tahu hak dan kuasa mereka dalam hal penggunaan untuk memastikan ekonomi diri dan keluarga stabil. Sebagai pengguna yang bijak mereka tidak boleh ambil sikap tidak peduli dengan kenaikan harga barangan dan memandang enteng terhadap masalah berkenaan. Sebaliknya mereka perlu ambil tahu dan campurtangan dalam menangani masalah berkenaan. Sebagai pengguna yang bijak mereka perlu menjadi ahli persatua pengguna seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam, dan lain-lain lagi. Hal ini penting, kerana dengan permuakatan pengguna dalam persatuan akan menyebabkan suara mereka akan lebih kuat dalam menuntut keadilan dan memastikan harga barangan di pasaran sentiasa terjamin daripada kenaikan harga barangan yang tidak terkawal yang boleh menjejaskan ekonomi diri dan keluarga. Pengguna perlulah mengelak daripada bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Selain itu, pengguna yang bijak perlu menyedari bahawa mereka mempunyai kuasa untuk menentukan harga barangan di pasaran. Pengguna juga perlu bangun dari pada mimpi yang lena demi mendapatkan keadilan dan cuba untuk mengelak daripada diperkotak-katik oleh peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlipat ganda.

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

KPDNHEP telah mengumumkan beberapa langkah proaktif dalam membendung kebimbangan pengguna tentang kenaikan harga barang-barang, seterusnya mengawal pasaran dari ancaman peniaga tidak bertanggungjawab.

Di antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan adalah melancarkan Kempen Pengguna Bijak di seluruh negara. Melalui kempen ini, mesej utama yang ingin disampaikan kepada pengguna mahupun kepada peniaga ialah: Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli barang keperluan harian atau menggunakan perkhidmatan, dan peniaga yang menjual pada harga yang tinggi tidak akan disokong.

Kempen Pengguna Bijak ini bertumpu kepada pasar raya besar (hypermarket) di seluruh negara. Ini bukan bertujuan menjejaskan perniagaan peniaga runcit tetapi merupakan strategi bagi membolehkan orang ramai mengetahui hak dan pilihan serta memperkasakan diri mereka sebagai pengguna. 

Hypermarket mampu menawarkan harga murah kerana kemampuan membeli stoksecara pukal, sekaligus berupaya mengurangkan kos pengeluaran.

Serentak dengan kempen ini, penguatkuasaan juga ditingkatkan di seluruh negara, membabitkan anggota penguatkuasa dan lebih 14,000 sukarelawan. Kempen ini juga melibatkan langkah-langkah memperkasakan pengguna supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat seterusnya berbelanja secara berhemah. Di antara inisiatif yang dijalankan termasuk: 

Memberi maklumat kepenggunaan yang meluas kepada orang ramai dalam menghadapi kenaikan harga barangan
Di bandar-bandar kecil, exco berkaitan pengguna di setiap negeri akan memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai pasar yang menawarkan harga berpatutan kepada pengguna
Mengawasi pasaran secara terperinci bagi memastikan harga barangan kawalan tidak dinaikkan sesuka hati. Bagi barangan lain, kenaikan harganya mesti merupakan kenaikan yang munasabah
Memudahkan orang ramai melapor kepada KPDNHEP dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 jika mendapati ada peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati. Ini termasuk harga makanan yang dijual di premis makanan seperti restoran, hotel dan gerai.

Dengan Kerajaan yang prihatin, peniaga bertanggungjawab dan berfikiran jauh, dan pengguna yang bijak dan berhemat, kesan kenaikan bahan api hanya merupakan satu cabaran biasa yang boleh ditangani tanpa menjejaskan ekonomi keluarga dan negara.

Langkah-langkah menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan

SOALAN 1

Pengguna-pengguna hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah yang membebankan mereka dan keluarga.  Antara masalahnya ialah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.  Masalah ini, jika gagal ditangani dengan segera boleh menimbulkan pelbagai masalah yang serius terhadap masyarakat dan negara. 

Bincangkan langkah-langkah untuk menangani masalah ini supaya tidak terus berlarutan dan menjadi semakin serius.  

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan ekonomi, masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan sahaja merunsingkan masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa susahnya kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalah serentak. Walau bagaimanapun, pelbagai mekanisme dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita hari ini?

Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Langkah pemantauan harga barangan dan penetapan harga siling harus dilaksanakan secaraistiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang akan menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan menetapkan harga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan seperti harga gula RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang yang sedia ada. Kita sememangnya difahamkan bahawa undang-undang yang luwes tidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang setimpal atau lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Dalam konteks yang sama, kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan Pengguna serta melindungi hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa cara sekalipun. Tindakan pantas terhadap laporan kenaikan harga barangan sesuka hati atau kekurangan bekalan makanan di pasaran haruslah diambil supaya kebajikan dan hak rakyat sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja, kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti pertanian. Hal ini bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang berterusan.  Sementelahan itu, kerjaaan perlu meningkatkan import makanan sekiranya masih berlakunya kekurangan seperti bekalan gula dan beras. Untuk menjayakan usaha ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan dan kerajaan juga wajib meningkatkan teknologi pertanian seperti penggunaan mesin, pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman aeroponik, hidroponik atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak hasil pertanian yang menyumbang kepada kelangsungan bekalan makanan. Jelasnya, peranan kerajaan amat penting dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.

Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan dalam menangani masalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa haruslah mendedahkan isu kenaikan harga barangan serta masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran kepada masyarakat. Informasi atau berita tersebut boleh disampaikan menerusi kaca televisyen, iklan, surat khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya. Dengan itu, masyarakat akan membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut. Senarai barangan kawalan juga harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan pengguna, terutamanya semasa hari perayaan. Misalnya, barang-barang yang disenaraikan sebagai barang kawalan adalah seperti daging ayam, gula, telur ayam, tepung dan sebagainya. Implikasinya, masyarakat akan menjadi lebih berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna yang bijak serta tidak mudah diperdaya oleh peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau pindaan dalam senarai barang kawalan, maka maklumat tersebut perlu diumumkan supaya hak pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga tidak boleh dikesampingkan misalnya, media massa boleh menggiatkan serta menggerakkan kempen berjimat cermat, kempen pertanian sebagai perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih masyarakat agar sentiasa bersedia dan tidak panik ketika masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai perniagaan juga akan dapat merangsangkan minat golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian atau menerimanya sebagai kerjaya. Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu profesion yang dapat menjamin peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor pertanian digiatkan, nescaya bekalan makanan di pasaran akan meningkat. Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan media massa dalam menangani masalah-masalah ini.

Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini. Mereka harus faham akan kebaikan amalan bijak berbelanja dan mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan pemborosan dan pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah, masyarakat haruslah menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak membeli barangan secara berlebihan. Tindakan bijak ini membolehkan pengguna membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan perbelanjaan boros, bak kata pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat juga harus mengetahui hak-hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli berkualiti dengan harga yang berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau mendapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka kita sebagai mata dan telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas seperti penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman penjara boleh dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak menggunakan kuasa untuk memboikot barangan, peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku ketidakadilan ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga dinasihati supaya mengelak pembelian panik kerana tindakan sebegini hanya akan menyebabkan stok barangan seperti minyak masak atau gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan, bak kata pepatah, menangguk di air keruh. Oleh itu, sebagai tulang belakang negara, kita juga digalakkan melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya percaya bahawa segala keringat dalam menjana hasil pertanian adalah penting untuk membanteras kekurangan bekalan makanan di pasaran.

            Tidak kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan undang-undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut piawaian perniagaan dan bukan secara sesuka hati. Paling penting peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan kepentingan orang lain. Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila telah tersemai nilai-nilai murni dalam diri dan mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak akan menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.  Lantaran itu, segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga. Pengusaha dalam sektor pertanian juga harus bersikap inovatif, terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Penyelidikan dan pembangunan atau R&D untuk meningkatkan hasil keluaran haruslah dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu mekanisme untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil keluaran malah, kualiti produk yang dihasilkan juga akan lebih baik.  Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor pertanian penting dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di negara ini.

Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah menggembleng kudrat  untuk menangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menangani masalah tersebut hingga ke akar umbi.

Menelusuri ambang modenisasi , alangkah sejuk hati kita melihat Perdana Menteri secara terang-terangan dan penuh emosi menyatakan kekecewaan beliau terhadap masalah kenaikan harga barang . Teguran tersebut meniti dari bibir ke bibir umat manusia serta menjadi isu kontemporari negara sehingga sesetengah pihak yang bersikap evasif sanggup melatah dan menuding jari sesama diri . Dalam konteks ini , masalah kenaikan harga barang atau istilah yang lebih serasi dengan penghuni-penghuni bandar metropolis , iaitu inflasi haruslah dikekang oleh seantero lapisan masyarakat melalui pelbagai prakarsa yang agresif dan efektif . Sebelum masalah ini menular menjadi duri dalam daging dan terus bernanah dalam masyarakat agar tidak sudah terhantuk baru tengadah .

Meneliti akar umbi yang mengeruhkan senario ini , iaitu ledakan kemerosotan ekonomi yang hampir melumpuhkan kerangka ekonomi antarabangsa , nescaya kerangka iktisad negara haruslah diperkasa semula dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi dengan pengeksportan hasil-hasil komoditi . Memaparkan pepatah Melayu yang berbunyicermat masa banyak , jimat masa sedikit , pengguna-pengguna digesa agar berhemat ketika berbelanja dan mengurangkan penggunaan barangan tertentu yang tidak diperlukan . Dalam konteks ini , sifat mengawal nafsu kebendaan dan merancang perbelanjaan sendiri bagai mengukur baju di badan bukan sahaja dapat meminimakan pembelanjaan seharian , malahan dapat mengelakkan pemborosan . Selain itu , kita juga haruslah memulaukan barangan import . Selaku pengguna yang bijak , barangan buatan Malaysia haruslah menjadi pilihan utama dan dominan segenap lapisan masyarakat demi menyemarakkan pasaran barangan buatan tempatan . Ghalibnya , paradigma generasi muda dikongkong bahawa produk import lebih gah berbanding barangan butan negara , sehingga mereka terlalu mengagung-agungkan barangan import .

Sementelahan itu , peranan signifikan yang dimainkan oleh institusi keluarga untuk menyuntik sikap berjimat cermat yang luhur dan tidak lapuk dek kehujanan , tidak lekang dek kepanasan dalam jiwa raga generasi muda memang tidak dapat dinafikan . Ibu bapa berperanan mengikis tabiat buruk anak-anak yang menukar barang lama kepada yang baharu . Di samping itu , ibu bapa wajar berbelanja secara berhemat kerana anak-anak yang umur baru setahun jagung , darah baru setampuk pinang mudah terikut-ikut cara mereka berbelanja . Hal ini amatlah serasi dengan pepatah menjernihkan air di muara mulakan di hulu dan mengenal getah batang lihatlah pada daunnya . Bak kata pepatah , ke mana tumpahnya hujan dari bumbungan , kalau tidak ke kecucuran atap ? , ibu bapa yang berdedikasi adalah entiti mithali untuk mencorak dan menjana insan madani yang menyokong barangan butan Malaysia . Pada hemat saya , ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak bahawa barangan import lebih mahal daripada barangan buatan Malaysia dan membuang sikap biar papa asal bergaya dalam generasi muda . Anak-anak turut perlu diberi penekanan oleh ibu bapa bahawa membeli barangan export akan mengakibtkan pengaliran keluar mata wang secara besar-besaran dan seterusnya menjejaskan imbangan pembayaran negara , malahan membantutkan perkembangan ekonomi negara .

Mentelah lagi , masyarakat haruslah memberi sambutan yang memberangsangkan terhadap projek penanaman hidroponik yang diuar-uarkan oleh kerajaan marcapada ini agar strategi tersebut tidak hanyalah lunak dari segi teori dan indah khabar daripada rupa . Pada realitinya , strategi serampang dua mata ini bukan sahaja efektif dalam mengatasi masalah inflasi dengan membekalkan hasil-hasil tanaman yang bebas daripada pencemaran bahan kimia untuk kegunaan domestik , malahan dapat membuka peluang pekerjaan dan seteruskan mengurangkan kadar pengangguran , seperti yang dimaksudkan dengan pepatah sambil menyelam minum air . 

Selari dengan itu , kita haruslah mengekang kemelut inflasi dengan bijaksana dan memahami hak-hak kita sebagai pengguna . Statistik yang sahih lagi tepat melalui tinjauan rambang yang dilaksanakan menunjukkan sikap individualistik segelintir pengguna dan pengusaha yang membeli barangan terkawal secara pukal telah menyukarkan usaha-usaha kerajaan mengawal harga barangan . Rentetan itu , kita haruslah mengikis sikap kehalobaan dalam kalangan pengguna dan memikirkan produk alternatif untuk menggantikan barangan yang tidak munasabah harganya . Satu contoh yang dekat dengan kehidupan seharian kita ialah kita boleh memilih ayam untuk menggantikan ikan yang mahal sempena hari perayaan . Langkah alternatif yang boleh diambil oleh masyarakat ialah membeli belah semasa Jualan Mega kerana harga yang ditawarkan lazimnya lebih murah dan berpatutan . Walau bagaimanapun , pengguna haruslah memastikan mereka hanya membeli barangan tertentu sahaja , bukannnya barangan-barangan yang sememangnya tidak diperlukan . 

Bak kata pepatah , alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan , inisiatif haruslah diimplimentasikan oleh kerajaan dengan lebih drastik dan komprehensif untuk mengekang penularan gejala inflasi secara habis-habisan sebelum menjadi leluasa atau berputik . Sajajar dengan itu , Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna haruskan menggubal mekanisme sedia ada untuk mengawal masalah inflasi , seperti Akta Pengawalan Harga . Tambahan pula , pihak berkuasa tidak seharusnya mengalah dengan ugutan atau rayuan yang tidak munasabah oleh pengusaha-pengusaha . Langkah pragmatik yang harus dilaksanakan ialah mengenakan kuota terhadap barangan import . Bertitik-tolak daripada itu , pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) , seperti Persatuan Pengguna sayugialah bersinergi dan menggembleng tenaga dengan seantero lapisan masyarakat untuk memboikot barangan yang berharga melampau tinggi . Hakikatnya , sekiranya pertubuhan-pertubuhan tersebut senantiasa melaporkan barangan-barangan yang tidak munasabah harganya kepada kerajaan , nescaya masalah inflasi yang bersarang lama dalam negara kita dapat dikikis . 

Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, komitmen dan iltizam segenap masyarakat berperanan vital untuk membangunkan kerangka iktisad negara yang kukuh dan gah sehingga berdiri sama tinggi , duduk sama rendah dengan negara-negara gergasi lain . Susulan daripada itu , anggota masyarakat haruslah menjadi pengguna yang bijak dan mengetahui hak-hak mereka selaku seorang pengguna demi mengekang inflasi .