Pidato A : DISIPLIN SS KECEMERLNGN DIRI

PIDATO A : DISIPLIN ASAS KECEMERLANGAN DIRI

Bismillkalam.. Fainnkanuminallhaq…Fainnalhaq…Fabismilliahirrahmanirrahim…

Sekalung kasih Tuan Pengerusi Majlis. Jemaah juri yang profesional lagi bijaksana. Dif-dif jemputan yang berkaliber dan segak bergaya. Seterusnya sidang hadirin yang dikasihi sekalian. Assalamualaikum W.b.t. Salam hormat, Salam 1 Malaysia.

Ulat beluncas dimakan kenari,

Dimakan bersama buah kuini

Disiplin asas kecemerlangan diri,

Tajuk pidato saya hari ini.

Hadirin yang budiman,

Pinjamkan saya mata yang memandang, telinga yang mendengar dan minda yang berfikir. Sebelum bicara mengorak kata, sebelum suara membingit telinga, izinkan saya menterjemahkan tajuk pidato saya hari ini. Disiplin asas kecemerlangan diri.

Konkluksinya, disiplin asas kecemerlangan diri ialah rangkuman konsep yang menyatakan suatu sistem tatacara mengurus diri yang betul pasti menatijahkan kejayaan dalam setiap urusan dan tindakan kita. Oleh itu, disiplin menjadi jurupandu untuk seseorang memperoleh kejayaan dalam mencapai sesuatu sama ada belajar, bekerja dan melunaskan rutin harian kita. Pesan orang tua-tua yang berbunyi, Mengaji dari alif, membilang dari esa, hujan berpokok, dan kata berpangkal jelas menunjukkan bahawa segala-galanya perlu melalui suatu proses dan sistem yang betul untuk meraih kejayaan kerana yang bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang.

Sidang hadirat yang berfikiran maju ke depan,

Sejarah telah menjadi sumber rujukan yang paling penting kepada kita akan kejayaan tokoh-tokoh yang terkemuka. Kejayaan yang telah dikecapi oleh mereka adalah dengan berkat disiplin yang tinggi. Sama ada dalam bidang keilmuan atau kerjaya semuanya memerlukan disiplin. Lihatlah betapa sengsaranya Thomas Alva Edison dalam usahanya untuk menyumbangkan cahaya kepada alam sejagat. Beliau memerlukan ketelitian dan disiplin yang amat tinggi. Begitulah tokoh-tokoh dalam bidang keilmuan seperti Socrates, Plato, Aristotle, Imam Al Ghazali, Imam Shafie dan sebagainya. Mereka bangkit sebagai personaliti dunia yang menyemarakkan budaya ilmu melalui disiplin yang tinggi. Jadi, jelaslah bahawa disiplin yang tinggi akan memberikan peluang kepada setiap individu untuk mencapai kejayaan yang diingini tanpa rasa mustahil.

Ketika sedang mendaki tangga kejayaan, ingatlah tiada tonik lain yang lebih mujarab yang boleh membantu kita mencapai matlamat. Tanpa disiplin hasrat kita akan terbantut, urusan kita tidak langsai, justeru impian kita akan berkecai. Kita akan kecundang di tengah-tengah medan perjuangan. Kita perlu bermuhasabah diri untuk memilih segala-gala yang baik dengan mengetepikan perkara-perkara yang dangkal. Uruslah diri kita dengan merancang masa dengan bijak dan mengurus personel yang baik. Kita perlu memiliki hala tuju yang betul, cita-cita yang jelas, dan sanggup menterjemahkan matlamat hidup dalam perancangan yang teliti. Dengan sumber ini, kita pasti berjaya.

Sidang dewan yang dimuliakan,

Alah bisa tegal biasa. Sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya individu tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kecemerlangan Diri".

Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap diri kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang.. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.

Sidang hadirin, Celik-celikkan mata, tajam-tajamkan minda..

Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri kita. Disiplin mengajar kita supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral itu sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pastinya kita akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang rumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.

Hadirin,

Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara kita supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa kita sedari. Tanpa disiplin, kita tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab kita yang sebenar. Tanpa matlamat yang jelas ini, kita cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan matlamat sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.

Hadirin, kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata tentang nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas. Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin, tidak perlulah kita berangan-angan bagaikan mat jenin bermimpi untuk meraih kejayaan.

Sidang hadirin,

Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Sebelum saya mengundur diri, mengorak langkah, ingin saya tegaskan bahawa Disiplin Asas Kecemerlangan Diri. Bukan omongan kosong semata, tetapi realiti yang wajar kita aplikasi bersama, Sekian. Terima Kasih.