TAJUK PIDATO : AJUK ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

AJUK PIDATO :  ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA 
 
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, 
Barisan Panel Hakim Yang Arif Lagi Bijaksana, 
Dif-Dif Terhormat dan seterusnya hadirin hadirat sekalian. 
 
Assalamualaikum pembuka bicara. 
Kepentingan menjaga Alam Sekitar. Begitulah tajuk pidato yang akan saya sampaikan pada hari ini. 
Sebelum lidah menerus bicara, izinkan saya mendefinisikan dahulu tajuk pidato ini. 
 
Mengikut kamus dewan, alam sekitar ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan di langit. 
menjaga pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh seseorang, manakala 
bersama pula diertikan sebagai semua yang terlibat. 
 
Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar 
merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata pepatah hadirin-hadirat sekalian,  
bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Maka segala usaha untuk membersihkan dan 
mencantikkan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama. 
 
Hadirin  yang dihormati, 
 
Alam sekitar adalah anugerah Tuhan yang amat bernilai kepada kesejahteraan kehidupan.Negara kita 
Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di sana sini mata dapat 
menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan arus pembangunan yang kita 
nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin rancak, janganlah  pula kita leka dengan isu 
pembangunan alam sekitar kerana sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat. 
 
Hadirin yang dihormati, 
 
Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab itu lebih 
daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara sendirian. Semua 
pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam 
sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu 
bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, 
sungai dipenuhi sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam 
sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar. 
 
Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat alam. Mereka 
percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya juga demikian. 
 
Hadirin yang dikasihi. 
 
Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita. Alam yang cantik 
akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara tidak langsung hadirin sekalian, 
akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih ke sector pelancongan untuk menarik pelabur 
luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam 
sekitar. 
 
Hadirin yang dihormati, 
 
Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada kanak-kanak 
sehinggalah orang dewasa.  Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya mencintai alam sekitar. 
Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan muda terhadap 
kepentingan menjaga alam sekitar. Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan 
keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha mencari jalan  untuk menjadikan alam sekitar lebih 
menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan 
memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian bahawa pendidikan 
menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga Yunani, iaitu hanya 
pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan kita kepada rasa 
tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam sekitar. 
 
Hadirin sekalian. 
 
Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Sambutan 
Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan kepekaan kita terhadap alam sekitar. 
 
Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab 
menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu hidup kita diselubungi 
pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah sumber makanan dan udara yang sihat. Oleh 
itu, untuk memastikan tubuh kita sihat, semuanya  bergantung pada alam sekitar yang sihat. 
 
Akhir kata, saya menyeru kepada semua yang berada di dalam dewan ini agar sama-sama 
bertanggungjawab untuk menjaga keindahan alam sekitar. Renungilah bait-bait ini sebelum saya 
menutup bicara : 
Bumi yang tiada udara, Bagai tiada nyawa 
Dia dikelar manusia, yang jahil tentangnya. 
Sekian, terima kasih. 
 

Incoming search terms:

  • pidato menjaga alam sekitar tanggungjawab bersama
  • syarahan alam sekitar tanggungjawab bersama
  • syarahan menyayangi alam sekitar
  • teks debat penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama
loading...