Pidato Sayangi Alam Sekitar.docx

Sayangi alam sekitar

Terima kasih saudara peneraju acara.Yang dihormati barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana,guru-guru besar,guru-guru dan seterusnya sidang hadirin yang saya hormati sekalian. Selamat pagi dan salam perpaduan diucapkan.Berdirinya pokok kerana akarnya, berdirinya rumah kerana tiangnya, berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan pidato saya yang bertajuk Sayangi alam sekitar.

Hadirin yang saya hormati,

Sebelum sauh dinaikkan, sebelum bahtera dilayarkan, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato pada pagi yang berbahagia ini. Sayangi menurut Kamus Dewan bermaksud mengasihi atau mencintai. Manakala alam sekitar pula bermaksud dunia atau bumi. Secara umumnya dapatlah disimpulkan bahawa setiap kita perlu menyayangi alam sekitar.

Sidang hadirin yang saya hormati,

Pada masa kini, arus modenisasi menderaskan lagi pembangunan negara. Pelbagai projek sosioekonomi dijalankan dengan begitu rancak namun secara tidak sedar, alam sekitar sudah terjejas.Satu kemelut yang terpaksa dihadapi oleh Negara kita.Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara,bak kata pepatahditelan mati mak,diluah mati bapa.Kehidupan manusia banyak bergantung kepada persekitaranya.Alam sekitar yang bersih dan tidak tercemar akan menjadikan hidup kita lebih selesa dan bahagia

Sebaliknya,jika alam sekitar tempat kediaman kita kotor,maka kita akan menghadapi pelbagai masalah yang tidak menyenangkan hidup.Alam sekitar yang kotor akan menyebabkan hidup kita terdedah kepada pelbagai penyakit.Alam sekitar yang tercemar pula akan menyebabkan udara yang kita hirup dan air yang kita minum dipenuhi dengan pelbagai bahan yang boleh membahayakan tubuh kita.Oleh itu,kita harus sentiasa menjaga supaya alam sekitar kita tidak tercemar.

Hadirin sekalian,

Sekiranya kita membiarkan sampah-sarap tidak dibuang dengan teratur,maka hidupan seperti tikus,lalat,lipas,dan sebagainya akan membiak.Haiwan-haiwan ini boleh mengakibatkan pelbagai jenis penyakit yang membahayakan kesihatan kita. Lalat boleh mengkibatkan kita terkena penyakit taun dan cirit-birit.Tikus pula boleh mengakibatkan demam kancing gigi.Di samping itu,kawasan sekitar yang tidak dibersihkan akan menjadi kawasan tersebut tempat pembiakan nyamuk.Nyamuk adalah punca utama penyakit demam denggi yang telah mengorbankan banyak nyawa di negara kita.

Selain daripada itu,alam sekitar yang tercemar pula menyebabkan kehidupan kita tidak selesa. Asap yang dihasilkan oleh asap kenderaan dan kilang-kilang perindustrian menyebabkan udara yang kita sedut telah tercemar.Contohnya gas-gas beracun yang terperangkap hasil daripada asap kenderaan ,dan jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka.Hal ini akan menyebabkan kita terdedah kepada penyakit barah dan sesak nafas .Kesan yang amat dirasai sekarang akibat pencemaran udara ialah pemanasan global yang semakin meningkat dari hari ke hari.Pemanasan global ini telahh mengubah cuaca dan system iklim dunia.

Pencemaran air yang diakibatkan oleh pembuangan sisa-sisa kilang,kegiatan penyemburan racun serangga dan rumpai di kawasan perladangan dan tumpahan minyak juga menyebabkan air yang kita minum tercemar.Ini mengakibatkan sungai-sungai tersebut menjadi busuk,hidupan akuatik dan tumbuhan akuatik pupus serta menjadi punca pembiakan nyamuk yang membahayakan kesihatan penduduk sekitarnya.

Hadirin yang saya hormati,

Kesimpulannya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan ini untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar.Kita tidak seharusnya meletakkan masalah ini di atas bahu kerajaan semata-mata.Sewajarnya kita sedar akan bumi ini sahajalah tempat tinggal kita .

Sekian sahaja pidato yang dapat saya sampaikan pada hari ini.Saya akhiri pidato ini dengan serangkap pantun

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh saya menumpang mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.