Pidato ASAT SK DB.doc

Tajuk: Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.

Bahasa Melayu indah nan santun,
     Mekar-megah di pentas dunia,
Jari sepuluh kemas kususun,
     Mohon bicara nan menyusun kata.

Sidang hadirin yang dihormati,

Sambutlah Salam Sejahtera,Salam Satu Malaysia. Semarak kasih,sekalung budi Tuan Pengerusi Majlis,barisan panel hakim yang arif lagi berkarisma,penjaga masa setia pada saat dan ketikanya, seterusnya para hadirin pencetus revolusi minda yang saya muliakan.

Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Sebelum kaki mengorak langkah lebih jauh,izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya. Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama.

Mengikut kamus dewan, alam sekitar ditakrifkan sebagai segala yang ada di bumi dan di langit.

Tanggungjawab pula ditakrifkan sebagai amanah dan tugas yang perlu dipikul oleh seseorang, manakala bersama pula diertikan sebagai semua yang terlibat.

Oleh itu dapatlah disimpulkan bahawa menjaga kebersihan, keindahan atau mencorakkan alam sekitar merupakan satu kesedaran dan tanggungjawab semua pihak. Bak kata pepatah hadirin-hadirat sekalian,  bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Maka segala usaha untuk membersihkan dan mencantikkan alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

Warga dewan yang dilasihi,

Negara kita Malaysia sedang dilimpahi dengan arus pembangunan yang maha hebat. Di sana sini mata dapat menikmati bangunan pencakar langit. Kita amat berbangga dengan arus pembangunan yang kita nikmati. Namun di sebalik pembangunan yang semakin rancak, janganlah  pula kita leka dengan isu pembangunan alam sekitar kerana sesungguhnya kedua-dua pembangunan ini amat berkait rapat.

Sidang dewan sekalian,

Menjaga alam sekitar bukanlah semudah menjaga haiwan ternakan. Rasa tanggungjawab itu lebih daripada yang dituntut kerana menjaga alam sekitar tidak boleh dilakukan secara sendirian. Semua pihak wajib mencintai alam sekitar. Kita tidak mahu menuding jari ke arah pihak lain sekiranya alam sekitar tercemar. Yang perlu kita lakukan adalah melihat ke dalam diri kita sendiri dan perlu bertanggungjawab untuk memulihara alam. Tahukah hadirin sekalian, fenomena tanah runtuh, jerebu, sungai dipenuhi sampah-sampah sarap dan dipenuhi toksid dan seribu lagi masalah berkaitan alam sekitar mencerminkan sikap masyarakat kita yang tidak menyayangi alam sekitar.

Kita sewajarnya mencontohi sikap masyarakat Jepun yang yang mempercayai semangat alam. Mereka percaya sekiranya alam sekitar sihat dan segar, manusia dan penghuninya juga demikian.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Wajah kita sebenarnya dapat dilihat daripada alam sekitar. Alam sekitar ialah imej kita. Alam yang cantik akan menjadi daya penarik kepada pelancong luar. Keadaan ini secara tidak langsung hadirin sekalian, akan membantu dasar ekonomi Negara. Kita boleh beralih ke sector pelancongan untuk menarik pelabur luar. Oleh itu amat wajar sekiranya kita mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk memelihara alam sekitar.

Warga pendengar yang budiman,

Siapakah yang perlu menjaga alam sekitar ?Sudah tentulah jawapannnya merujuk kepada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa.  Kanak-kanak perlu diberi pendidikan supaya mencintai alam sekitar. Manakala golongan dewasa pula diingatkan supaya menjadi teladan kepada golongan muda terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Para pengusaha perlu beringat dan jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya berusaha mencari jalan  untuk menjadikan alam sekitar lebih menarik. Mereka perlu berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk sama-sama menjaga dan memelihara alam sekitar agar kelestariannya terpelihara. Jelaslah hadirin sekalian bahawa pendidikan menjadi teras kepada rasa tanggungjawab ini. Benar kata seorang pujangga Yunani, iaitu hanya pendidikan sahaja yang dapat mengubah alam ini. Kata-kata itu mengingatkan kita kepada rasa tanggungjawab yang lebih besar maknanya dalam konteks mencintai alam sekitar.

Hadirin yang dimuliakan,

Malaysia juga sebenarnya sudah mulai sedar tentang pentingnya pemeliharaan alam sekitar. Sambutan Hari Alam Sekitar yang disambut pada setiap 23 April menunjukkan kepekaan kita terhadap alam sekitar.

Berdasarkan hujah yang telah saya sampaikan tadi, maka tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab menjaga alam sekitar ialah tanggungjawab kita bersama. Kita tentu tidak mahu hidup kita diselubungi pencemaran. Yang kita perlu untuk tubuh badan kita ialah sumber makanan dan udara yang sihat.

Oleh itu,bukalah mata seluasnya dan sama-sama kita memulakan anjakkan paradigma dangan menanamkan semangat cintakan alam sekitar.ingatlah alam cemerlang,hidup gemilang. Jadi anda bayangkan andainya alam boleh berbicara dan mungkin inilah luahan perasaan sebatang pokok meranti ataupun seekor semut merah. Konklusinya, manusia mengancam manusia yang terancam. Persoalannya demi mengejar sesuatu kemajuan,haruskah alam menjadi taruhan? Renungilah bait-bait ini sebelum saya menutup bicara :

Harus dikejut mana yang lena,

Harus ditegur mana yang alpa,

Sebelum manusia ditimpa bencana,

Sebelum alam mulai bicara.

Sekian, Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.