Pidato Spontan 5

PIDATO SPONTAN
Masalah Buli Dalam Kalangan Murid

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pelajar, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh Omar berkata :

Kita akan melancarkan perang habis-habisan terhadap sebarang perlakuan buli di sekolah
Teraju Perdana Majlis nan budiman, panel juri penjunjung kesaksamaan, penjaga masa yang setia dengan detik waktunya, dan seterusnya kulasentana dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.

Kulasentana dewan yang saya muliakan,
Tampil dengan wajah yang sama, kostum yang serupa, bertemu kita dalam arena pidato spontan berpaksikan mauduk Masalah Buli Dalam Kalangan Murid. Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjuk-nunjukkan kekuatan sehingga menjadikan mangsa buli itu menghormati dan tunduk kepada pembuli. Impak perbuatan buli boleh menyebabkan mangsa buli ketakutan dan kesakitan serta menghadapi masalah dari segi nilai diri, psikologi, akademik dan perhubungannya dengan orang lain.

Kulawarga dewan penggerak wawasan,
Lontaran idea pertama, masalah buli di sekolah bertitik tolak daripada perasaan dendam dan iri hati dalam diri pembuli kepada orang yang dibuli. Contohnya, dalam kes seorang Ketua Pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Yaacob Latif di Taman Maluri Cheras yang ditumbuk dan diugut di hadapan guru disiplin selepas dia menyerahkan telefon bimbit yang mengandungi gambar lucah milik pelajar berkenaan. Tidak kurang juga kes pelajar yang cemerlang dalam akademik menjadi sasaran buli kerana berkelakuan sombong dan tidak mahu berkongsi maklumat dengan pelajar lain. Fenomena buli yang biasa berlaku ialah pelajar kaya disuruh membayar wang kantin kepada pembuli. Jika si mangsa tidak berbuat demikian maka si mangsa akan ditumbuk. Fenomena ini wajar diberikan perhatian yang serius agar masalah buli dalam kalangan murid dapat ditangani sehingga ke akar umbi.

Kulasentana dewan, kluster ilmuan,

Lontaran idea kedua, masalah buli di sekolah perlu ditangani melalui komitmen semua pihak terutamanya pelajar, guru dan ibu bapa. Guru haruslah memiliki kemahiran pedagogi untuk mengesan dan melayan mangsa buli agar berani menyuarakan masalah mereka. Menurut , Noran Fauziah pendekatan campurtangan yang telah lama diaplikasikan di England boleh diimplementasikan di Malaysia dalam menangani buli. Semoga kejadian buli yang melibatkan Mohammad Farid dan Matius Mering anak August yang dibelasah oleh pelajar senior sehingga berakhir dengan kematian tidak akan berulang lagi. Meskipun, Kementerian Pelajaran Malaysia melaporkan kejadian buli hanya melibatkan 0.03 peratus daripada sejumlah 5 juta orang pelajar tetapi kesannya pada masa hadapan harus kita renung secara serius .

Intihanya, masalah buli tidak akan berakhir selagi kita tidak bersatu menanganinya kerana api yang makan lalang kering tidak dapat dipadamkan lagi. Sewajarnya kita berusaha menangani masalah ini hingga ke akar umbi demi masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Jangan sampai angin berputar, ombak bersabung baru kita hendak mengambil jalan penyelesaian.

Sekian, pemidato bestari mohon permisi.

Leave a Reply