Teks Pidato : EKS PRA U PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2012

EKS PIDATO PRA U PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2012

SMKA PEDAS, REMBAU (28 MAC)

Terima kasih saudara/i pengacara majlis.

Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana.

Dif-dif kehormat.

Rakan-rakan seperjuangan.

Sidang hadirin warga dewan, aspirasi negara.

Assalamualaikum WM WB dan salam 1 Malaysia.

Prof. Dr Awang Sariyan ada menyatakan bahawa kisah kegemilangan Bahasa Melayu (BM) pada zaman silam telah membuana di jagat rayanamun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak mungkin dapat mengangkat martabatnyaJusteru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya BAHASA JIWA BANGSA.

Bahasa, menurut Kamus Dewan, adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam satu kelompok manusia. JIWA, BERMAKSUD nyawa atau roh. Manakala, bangsa pula bermaksud, kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan. Dalam konteks pidato saya, konsep bangsa dan bahasa secara total merujuk kepada bangsa Malaysia dan bahasa kebangsaan kita, yakni BM.

Persoalannya sidang dewan sekalian, mengapakah bahasa itu dikatakan jiwa @ roh bangsa? Apakah keistimewaan BM kita yang sekian lama diagung-agungkan dalam adikarya seantero dunia. Marilah bersama-sama saya, merungkai persoalan ini satu persatu melalui empat nirmala kata, inspirasi mahakarya.

Sidang hadirin sekalian

Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, bahasa menunjukkan bangsa. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama; BAHASA MELAYU MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA.

Jati diri @ identiti sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa.Tahukah anda? Rakyat Switzerland menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa        was-was. Tuntasnya, realiti BM sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Hadirin yang saya muliakan.

Nirmala kata saya yang kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.

Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa BM pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, undang-undang, sastera dan agama.

Sehingga mutakhir ini, BM telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika BM kini sedang diajar dan dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini. Inilah citra BM sebagai bahasa ilmu.

Meniti kita kepada nirmala kata saya yang ketiga; BAHASA MELAYU PEMANGKIN PERPADUAN.

Konsep perpaduan telah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehingga hari ini, perpaduan masih lagi menjadi agenda utama negara di bawah Gagasan 1 Malaysia. Dengan bahasa yang sama, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang agama, adat resam dan budaya yang berbeza. Selepas negara mencapai kemerdekaan, BM telah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

BM juga telah menjadi agen penyatuan rakyat dari segenap ceruk rantau, kesatuan dan persatuan, sama-sama melupakan perbezaan ras dan dogma dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari belenggu kolonial serta meredakan kemelut perkauman dalam era pasca kemerdekaan. Bukankah Herodotus ada berpesan bahawa, bangsa yang melupakan sejarah, akan mengulangi  sejarah. Oleh itu, fikir-fikirkan.

Nirmala kata saya yang keempat dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA.

BM telah menjadi asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong, maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, BM telah mendukung peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, BM digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang.

Ironisnya, di Malaysia kita tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan BM sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya.

Sidang dewan sekalian

Ingin saya simpulkan, bahawa BM bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya.

Akhir kata dari saya.

Anak jati Negeri Sembilan

Untuk menjadi bangsa yang dihormati dan disegani, BAHASA perlu dijulang tinggiYakinlah (nyanyi), Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah.

Teks Pidato : Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu indah nan santun,
     Mekar-megah di pentas dunia,
Jari sepuluh kemas kususun,
     Mohon bicara nan menyusun kata.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,  salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Salam aprisiasi saudara pengatur majlis,
Barisan panel penghakiman penuh berkarisma,
Guru-guru seterusnya rakan-rakan yang sentiasa celik akal minda  dan penerus  wadah tonggak negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

Tajuk pidato saya Bahasa Melayu Citra Bangsa Malaysia.   Bahasa sangat luas pengertiannya, bahasa tidak hanya merujuk sebagai satu sistem linguistik  semata-mata, tetapi bahasa juga  citra  budaya bangsa Malaysia dan fungsi bahasa  itu sendiri sebagai alat perhubungan sosial dalam masyarakat.  Menurut Pendeta Bahasa  Zaaba  , bahasa merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi, jiwa atau roh sesuatu bangsa.  Keintelektualan dan tamadun bangsa membuktikan peranan terbesar bahasa sesuatu bangsa. Melalui bahasa orang dapat mengenal sesuatu bangsa  atau petunjuk kepada sesuatu kebudayaan.  Sebagai warga Malaysia, kita seharusnya menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan citra jati diri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya .  Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

Bicara saya yang pertama,
Bahasa Melayu Citra Bangsa 1 Malaysia

Bahasa Melayu merupakan wasilah  terpenting  dalam  menyatukan bangsa Malaysia. Sesungguhnya, apa yang termaktub dalam Perkara 152 yang menyediakan peruntukkan-peruntukkan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan .Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi-kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, bahasa Melayu bukan lagi menjadi milik tunggal pribumi Melayu. Malah, bahasa Melayu menjadi milik bersama seluruh warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Justeru niat murni mendaulatkan bahasa Melayu dapat  menyatupadukan kaum-kaum, yang terdiri dari kaum Melayu, Cina, India, dan lain-lain di bawah satu bahasa.  Cuba kita bayangkan, bagaimana selepas hampir 55  tahun merdeka, jika kaum Melayu hanya dengan bahasa Melayunya, dan kaum Cina dengan bahasa Mandarin,Tionghua, ataupun Hokkien nya, dan kaum India pula dengan bahasa Tamil nya sahaja, maka bagaimanakah kewujudan bangsa Malaysia dapat direalisasikan?  Justeru, jika seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan asal-usul mendaulatkan bahasa  Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka akan terzahirlah citra dan keperibadian kita sebagai satu bangsa, iaitu bangsa  1 Malaysia. Sebaliknya, jika kitamendaulatkan bahasa-bahasa asing, akan terpancarlah `jati diri asing’. Lantas, akan terencatlah pembentukan jati diri  kita sebagai bangsa 1 Malaysia.  Ayuh , marilah k ita berbahasa Melayu   sebagai  bahasa kebangsaan – 1 bahasa,  1 bangsa, 1 nusa  dalam  merealisasikan wawasan 2020.

Hadirin hadirat sekalian,
Bicara  saya yang kedua,
Bahasa Melayu Memajukan Bangsa Malaysia,

Bahasa Melayu menjadi pemancu   ke arah kemajuan bangsa. Sesungguhnya untuk mewujudkan satu bangsa itu bukanlah mudah. Suka saya tegaskan di sini, bahawa dalam konteks  pembinaan bangsa Malaysia dan pemajuan negara menurut acuan kemalaysiaan sendiri, pendaulatan hanyalah kepada bahasa kebangsaan, bukannya bahasa-bahasa asing.  Walaupun kita mempelajari bahasa asing sebagai bahasa  global, namun kita tidak seharusnyamembiarkan jiwa dan pemikiran kita dikuasai oleh bahasa asing.  Cuba kita teladani , Kejayaan pembentukan negara-bangsa Jepun, Korea,  negara-bangsa di benua Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka terbukti telah berupaya memodenkan negara sekali gus membina bangsa dengan mendaulatkan bahasa kebangsaan negara-bangsa masing-masing . Nah , sewajarnya kita menjadikan bahasa Melayu  sebagai bahasa ilmu, teknologi dan peradaban moden.  Justeru, akan tercapailah gagasan pemajuan negara dan pembinaan bangsa Malaysia, jika kita sebagai rakyat Malaysia tidak mendaulatkan bahasa kebangsaan kita sendiri, siapa lagi?
Inilah prinsip umbi yang seharusnyakita junjung, jika kita benar-benar serius untuk mewujudkan bangsa Malaysia, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Seterusnya, izinkan saya meneruskan  bicara saya yang ketiga
Bahasa Melayu Memartabatkan Bangsa Malaysia

Bahasa Melayu memartabatkan bangsa Maysia . Bahasa adalah penanda identiti atau jati diri sesuatu bangsa.Tetapi malangnya,dewasa kini kita dapat lihat bangsa kita sendiri telah memusnahkan kesantunan bahasa Melayu itu dengan pelbagai aspek yang tidak bermoral. Kesannya, bagaimana untuk kita memartabatkan bangsa kita? Bagaimana untuk dunia memandang tinggi bangsa kita? jika kita sendiri tidak tahu menghargai keunikan dan keindahannya. Pembudayaan bahasa Melayu harus nyata .Di plaza tol lebuh raya kini terdapat bahasa tanda yang berbunyi, Lorong Touch n Go. Bahasa apa ini? Inilah dia bahasa rojak rasmi. Inilah yang dikatakan pandai meniru tetapi tidak menuras. Inilah juga kerja yang memalukan bangsa. Kenapa tidak dipakai saja istilah Lorong pacu segera Sudahkah kita betul-betul menggeledah kamus bahasa ibunda sebelum sewenang-wenang menggunakan touch n go Jika tiada azam perjuangan yang kental untuk menggunakan bahasa sendiri lantaran istilahnya cukup dalam bahasa sendiri, kita juga nanti akan dipanggil bangsa touch n go. Tepuk dada, tanya selera.
Sudah sampai masanya semua pengiklanan dalam negara menggunakan bahasa Melayu dengan betul daripada aspek hukum nahu bahasa Melayu.  Penggunaan  bahasa Melayu yang diselangi perkataan dan nilai bahasa asing secara melulu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang penting ialah kita mesti terus memupuk rumpun yang ada dan memperkayakannya dengan bimbingan, hala tuju dan apresiasi bahasa Melayu yang berterusan. Bahasa Melayu yang baik akan memartabatkan bangsa Malaysia.

Kesimpulannya, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai  satu bangsa.Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah. Bahasa itu citra sesuatu bangsa.

Akhir kata;

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa

Sekian, wabillahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warah matullahiwabarakatu.