Skrip Pidato : Terima Kasih Saudara Pengerusi Majlis.

Terima kasih saudara pengerusi majlis.

Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh dan salam sejahtera .

Bismillahirrahmanirrahim . Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w , kekasih Allah yang menjadi guru tauladan dan contoh kepada kita umat sekalian alam. Kesantunan Guru Pembentuk Generasi Berbudi Bahasa, begitulah indahnya tajuk pidato yang bakal menitip di bibir saya.

Santun guru berakhlak sopan,

Menjadi ikutan anak bangsa,

Berbudi bahasa berakhlak sopan,

Itulah generasi harapan kita.

Bunga melati di tepi lembah,

Diambil sang ayu untuk diguna,

Sebelum lidah meneruskan wadah,

Izinkan hamba menghuraikan makna.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, santun ataupun kesantunan membawa maksud halus, beradab, dan sopan samada dari aspek pakaian,budi bahasa atau budi pekerti dan guru pula membawa erti seseorang yang kerjayanya sebagai pengajar atau pendidik.Manakala, pembentuk bererti orang yang membentuk dan generasi merupakan kumpulan individu yang lahir pada waktu yang tidak jauh beza. Budi bahasa menurut takrifan Ainon Mohd & Abdullah Hassan(2010) pula ialah sebagai satu etiket,adab sopan, pekerti akhlak yang beradat dan berbahasa.Secara generalnya, maksud tajuk pidato saya pada hari ini ialah guru yang mempunyai kesantunan dari segi perwatakan, bahasa dan pemakaian merupakan pendidik yang akan membentuk modal insane yang berbudi bahasa.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesungguhnya yang terbaik dalam kalangan kamu ialah yang terbaik akhlaknya.Berdasarkan hadis ini dapat kita lihat bahawa akhlak atau tingkah laku yang baik merupakan aspek utama dalam menilai peribadi seseorang.Sebagai seorang guru yang menjadi tunjung pembentukan modal insan yang berakhlak mulia, mereka perlulah menunjukkan dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.Contohnya, guru mengamalkan konsep 3S iaitu senyum, salam dan sapa ketika bertemu dengan warga sekolah samada pelajar atau rakan-rakan pendidik.